in ,

Kabaret: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Kabaret ialah sebuah game visual novel yang dibangunkan oleh sebuah studio tempatan, Persona Theory Games. Ia mengisahkan Jebat, seorang manusia biasa yang disumpah menjadi raksasa dan terpaksa menyelusuri hidup baru sebagai raksasa di Kabaret.

Raksasa Bukan Sebarang Raksasa

Bak kata pepatah Harvey Dent dalam filem The Dark Knight, “You either die a hero, or you live long enough to see yourself become the villain”, pepatah ini berlaku kepada protagonis kita. Hidup Jebat penuh dengan rasa kebencian meluap terhadap dunia sekelilingnya malah dia menolak identitinya dan ibunya sendiri.

Oleh sebab akibat cara hidupnya, Jebat terserempak dengan raksasa misteri yang menyumpah lalu membunuhnya. Walau bagaimanapun, dia ‘dihidupkan’ semula menjadi raksasa tetapi masih lagi mengekalkan naluri manusia. Namun, pemain ada pilihan untuk memastikan Jebat menerima identitinya sebagai raksasa atau mahu Jebat kekal berjiwa ‘manusia’.

Unsur Asia Tenggara

Sekali jumpa hantu Jepun. Banzai.. eh?

Persona Theory Games adalah studio berasal dari Malaysia, jadi sudah tentu mereka mahu mengetengahkan unsur cerita rakyat, mitos dan sejarah yang terpahat dalam kehidupan dan budaya masyarakat Asia Tenggara.

Sebaik sahaja anda tiba di Kabaret, anda sentiasa berada dalam khayalak raksasa berasal dari Asia Tenggara seperti pontianak, toyol, pelesit, jerangkung, jin, hantu Jepun dan banyak lagi.

Kabaret membawa makna yang sama ke dalam game ini. Ia adalah kelab malam dengan sedikit ‘twist’ di mana raksasa berkumpul melihat persembahan muzikal sambil bersosial dengan raksasa lain. Bila difikir-fikir balik, Kabaret seakan sama dengan filem animasi Hotel Transylvania.

Namun, Kabaret menampilkan kisah lebih berat yang menuju ke arah gelap dengan sedikit ‘dark humour’ dan mengupaskan perkara-perkara yang tidak sesuai untuk budak bawah umur seperti bunuh diri dan keganasan yang keterlaluan.

Cara Permainan

Ayuh mengeteh. Spill some tea boy!

Sebagai penghuni Kabaret, Jebat ditugaskan sebagai pembuat teh iaitu menganjurkan upacara pembuatan teh yang juga merangkap sebagai sesi hati ke hati penghuni kabaret lain. Anda berjumpa dengan pelbagai ragam raksasa-raksasa yang pada suatu masa dahulu seorang manusia biasa, dewa-dewi tiada lagi pengikut, ataupun raksasa yang dihasilkan melalui sihir.

Pemain perlu menyediakan teh yang menepati citarasa raksasa-raksasa. Terdapat pelbagai bahan untuk teh idaman mereka dan anda perlu meneliti bahan-bahan dalam jurnal Jebat serta mendapatkan reaksi raksasa semasa pembuatan teh. Jika mereka berpuas hati dengan perkhidmatan anda, mereka cenderung untuk meluahkan perasaan dan lebih dekat dengan pemain. Jika tidak, mereka meluahkan rasa jelek terhadap teh anda.

Congkak bersama ular

Selain itu, Kabaret juga mempamerkan mini games seperti guli dan congkak. Saya memang cukup suka dapat bermain congkak dalam game ini kerana ini memberi pendedahan kepada orang luar atau tidak tahu menahu tentang permainan tradisional ini. Malah, saya dapat lawan guli dan congkak dengan hantu tengkorak jerangkung dan hantu kuda tikbalang. Mini games ini berfungsi untuk menggerakkan jalan cerita Kabaret untuk mengetahui kisah tersirat raksasa-raksasa ini.

Seni, grafik, dan muzik

Keunikan Kabaret ini terletak kepada persembahan seni, grafik dan runut muzik. Kabaret ini disulami dengan contengan batik dan gaya lukisan wayang kulit untuk semua watak manusia raksasa malah latar belakang game ini turut dihiasi dengan ukiran kayu seni nusantara sama ada di dunia sebenar ataupun alam bunian.  

Turut serta, runut muzik dalam Kabaret cukup indah dengan rentak tradisional Asia Tenggara. Game ini menonjolkan muzik oleh kugiran Indonesia, Sambasunda bersama komposer Malaysia, Tay Cher Siang dengan rekaan muzik digubah oleh Hello Universe.

Malam pesta muda-mudi, bertemasya dan menari…

Alunan muzik Kabaret ini cukup memberikan suasana alam mistik yang diselitkan muzik kabaret pada zaman 50an. Saya kadangkala sengaja memberhentikan dialog untuk mendengar runut muzik Kabaret kerana muziknya sedap dengar untuk bunyi latar belakang.

Malah, pemain berpeluang untuk berinteraksi dengan raksasa sebagai pengurus pentas untuk beberapa persembahan dalam Kabaret. Anda bertanggungjawab untuk memastikan penghuni Kabaret terhibur dengan persembahan anda.

Boleh Beli Or Boleh Blah?

Untuk cinta atau dicintai? Itulah persoalannya.

Bagi saya, saya berasa seronok melihat perkembangan game ini sejak saya berkesempatan bermain demo game ini pada 2019. Lebih-lebih lagi, Persona Theory Games megah mempersembahkan unsur-unsur Asia Tenggara dan nusantara dalam game indie mereka. Ini sama seperti game tempatan lain, No Straight Roads yang juga menyelitkan unsur-unsur muzik nusantara. Saya berharap semoga ini memotivasikan lebih banyak studio tempatan untuk sentiasa berkarya dan bangga menunjukkan identiti Asia di mata dunia.

Kalau anda berminat game visual novel yang penuh dengan teks sambil mendengar muzik tradisional gabungan Asia Tenggara, tentu sekali Kabaret tergolong dalam Boleh Beli.

Bagi yang tak tahan baca teks melambak-lambak dalam permainan visual novel dan anda menguap setelah bermain 30 minit, maka Kabaret ialah game Boleh Blah untuk anda.

Kabaret sudah dilancarkan pada 5 April 2023 untuk PC (Steam dan Epic Games) dan Xbox.

+ Muzik dan grafik mempersonakan
+ Seni yang memukaukan

– Perjalanan game yang bergerak sangat perlahan
– Ada bugs yang mengganggu rentak game
– Rekaan UI tidak jelas

Written by Intan Zarthana

Peminat besar Dragon Age, The Last of Us dan Uncharted. Sukakan game yang ada jalan cerita yang bagus.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

ASUS ROG ALLY akan dilancarkan ke peringkat global lebih awal daripada sangkaan ramai

Valorant akan lancarkan Premier minggu depan – sistem kompetitif berpasukan tersedia dalam game