Firma penganalisis, SuperData telah mengeluarkan laporan kajian terbaru mereka, yang mana kali ini, mereka akan membawakan beberapa fakta yang memfokuskan kepada kandungan video gaming.

Mungkin masih ada lagi suara-suara sumbang daripada masyarakat luar sana yang memandang rendah terhadap apa yang industri gaming mampu sumbangkan kepada ekonomi.

Mungkin mereka tidak tahu bahawa menurut kajian terbaru daripada SuperData, pengiklanan dan perbelanjaan secara langsung daripada pengguna dalam kandungan video gaming pada tahun ini mampu mencecah kepada USD4.6B – melebihi beberapa pendapatan persatuan bola sepak terkemuka dunia seperti Bundesliga (USD3.5B) dan La Liga (USD3.2B) pada tahun 2016.

Menurut kajian tersebut, kandungan video gaming didefinisikan sebagai video online dan livestream yang berkisar tentang gaming. SuperData telah membandingkan kandungan di Youtube (kategori gaming sahaja) dan Twitch dengan kandungan media-media hiburan lain seperti HBO, Spotify, Netflix, ESPN, iHeartRadio, Pandora dan Hulu.

Kajian tersebut menyatakan bahawa jumlah penonton kandungan video gaming di seluruh dunia adalah 665 juta penonton. Sebagai perbandingan, jumlah penonton kandungan video gaming di seluruh dunia itu telah mengatasi gabungan jumlah pengguna HBO, Netflix, ESPN dan Hulu.

Berikut adalah kedudukan jumlah penonton/pengguna pada tahun 2016 yang dikeluarkan oleh SuperData:

  1. Youtube (kandungan gaming sahaja): 517 juta
  2. Twitch: 185 juta
  3. HBO: 134 juta
  4. Spotify: 100 juta
  5. Netflix: 93 juta
  6. ESPN: 90 juta
  7. iHeartRadio: 90 juta
  8. Pandora: 81 juta
  9. Hulu: 12 juta

Kajian tersebut juga menyatakan bahawa para pemuda kini lebih ramai menonton kandungan video gaming berbanding rancangan-rancangan waktu perdana di televisyen. Syarikat-syarikat yang tidak membina hubungan dengan para pemuda ini, kelak mereka akan berdepan risiko kehilangan generasi pengguna yang berbelanja besar ini.

JomKomen!