in ,

Jualan PS5 Warna Hitam Bertemakan PS2 Dibatalkan, Staf Terima Ancaman Keselamatan

Minggu lalu, JomGaming ada melaporkan tentang sebuah syarikat, Sup3r5 yang merekacipta dan menjual konsol PS5 berwarna hitam seakan bertemakan konsol PS2.

Ramai menjangkakan yang jualan ini walaupun akan mendapat sambutan hangat, tetap tidak akan berjaya kerana akan menerima tindakan undang-undang daripada Sony.

Ya betul, nampaknya jualan konsol PS5 hitam ini telah dibatalkan, namun ia bukan disebabkan oleh tindakan undang-undang oleh Sony.

Menurut VGC, akaun Twitter syarikat tersebut kini sudahpun dipadamkan. Sebelum itu, mereka sempat mengeluarkan kenyataan yang memberitahu bahawa jualan konsol tersebut tidak berjalan seperti yang dirancang. Para pembeli telah dicaj tanpa diberi pengesahan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan konsol itu.

“Malam tadi, pasukan kami menerima ancaman terhadap keselamatan kami yang boleh dipercayai,” kata syarikat itu. “Kami mengambil ancaman ini secara serius. Kami tidak akan mengambil risiko terhadap keselamatan dan kebajikan pasukan kami, atau kesan yang boleh berlaku dalam usaha kami untuk menyampaikan tempahan anda.”

Disebabkan jualan yang cacamarba di laman web tersebut, beberapa staf syarikat tersebut telah menerima ancaman keselamatan. Apabila membuka laman web sup3r5.com, tertera mesej mengatakan yang pelancaran konsol dengan rekaan retro itu telah ditunda. Syarikat itu telah membatalkan pra-tempah semua pembeli dan akan mengembalikan wang mereka sepenuhnya dalam masa beberapa hari mendatang.

Pada asalnya, harga yang ditawarkan untuk rekaan bertemakan PS2 ini ialah USD99 (sekitar RM398) untuk controller DualSense dan USD649 (sekitar RM2,610) untuk konsol PS5. Pra-tempah ini hanya dibuka untuk bilangan unit yang agak terhad — iaitu 500 unit DualSense dan 304 unit konsol.

Nampaknya, para pemain yang mengidam sangat nak dapatkan PS5 berwarna hitam, kenalah tunggu lama lagi. Mungkin Sony akan mengeluarkan secara rasmi rekaan seumpama ini kelak?

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Controller Xbox Masih Gunakan Bateri AA Sebab Ada Perjanjian Dengan Duracell

Controller Xbox Masih Gunakan Bateri AA Sebab Ada Perjanjian Dengan Duracell

Peminat Ini Mengcomelkan The Last of Us Dengan Rekaan Grafik Pixel Retro