Hujung minggu lalu, JomGaming telah dijemput oleh Konami Asia untuk ke ICC FAN ZONE yang berlangsung OCBC Square, Singapura. Bersama-sama dengan NEST Gaming, kami telah pergi ke sana untuk melihat apa yang menarik di sana.

JomGaming berpeluang untuk mencuba buat pertama kali edisi terbaru Pro Evolution Soccer yang telah diberi nafas baharu, yang mana edisi kali ini diberi nama eFootball PES 2020.

Mengapa eFootball PES2020?

Kami sempat menemuramah Pengurus Pemasaran Konami, Jacky Zhao Jian semasa berada di sesi demonstrasi PES 2020. Menurutnya edisi kali ini bukanlah penjenamaan semula ataupun rebranding, tetapi penstrukturan yang akan menumpukan perhatian kepada esports secara lebih kompetitif.

Jawapan ini semestinya senada dengan apa yang telah kami laporkan sebelum ini, yang kata Konami, mereka mahu meletakkan fokus lebih besar kepada esports untuk terus maju ke hadapan.

Pasukan-pasukan Demo PES 2020

Versi demo PES2020 yang dibawakan ke Singapura kali ini menampilkan 6 pasukan kesemuanya iaitu Juventus, Manchester United, Bayern Munich, Barcelona, Arsenal, serta Legends. Sedikit berbeza dengan versi demo yang akan dikeluarkan kepada umum pada 30 Julai nanti — yang akan mempunyai 13 pasukan untuk dimainkan.

Paling menarik perhatian utama dalam PES 2020 pastinya ialah hak eksklusif bersama Juventus memberi impak yang besar, di mana FIFA terpaksa menggunakan nama Piemonte Calcio menggantikan Juventus.

Kamera

Antara kelainan yang paling ketara adalah default camera setting yang digunakan iaitu digelar Stadium View. Kelebihan sudut kamera ini adalah lebih mirip kepada perlawanan bola sepak sebenar yang selalu kita tonton di kaca televisyen. Rata-rata pemain yang telah mencuba sudut baharu ini bersependapat kesukaran untuk membiasakan diri terutama ketika membuat perangkap offside dan bagi pemain yang menggunakan teknik sepakan advance, sukar untuk mendapatkan sudut yang jitu ketika percubaan ke arah gol.

Malah, kami sempat bertanya kepada pihak Konami, adakah pandangan kamera yang baru ini akan menjadi pandangan kamera rasmi untuk semua kejohanan rasmi PES 2020. Jawapan yang mereka berikan ialah, kemungkinan besar ya.

Formasi

Untuk tatapan formasi, tidak banyak perubahan di edisi kali ini. Untuk Advance Instructions, satu penambahan pilihan untuk serangan iaitu Anchoring. Pilihan ini membolehkan seorang pemain dikunci supaya tidak lari dari posisi asal, terutama bagi yang memilih serangan secara Flexible.

Satu lagi penambahan adalah Inspire (mungkin membawa maksud sumber inspirasi). Karakter inspirasi setiap pemain adalah unik dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Dribble Through, Low Pass, Lofted Pass. Sebagai contoh, berikut adalah tahap inspirasi untuk Messi dan juga Coutinho yang boleh dilihat di tatapan Player Details.

Apabila pemain yang mempunyai inspirasi Low Pass yang tinggi membawa bola, teman sepasukan akan mencari ruang supaya dapat mengoptimumkan kebolehan Low Pass pemain tersebut.

Gameplay

Game speed PES 2020 kali ini juga terasa lebih perlahan berbanding PES 2019. Pemain juga boleh mempamerkan kebolehan kawalan bola yang jitu dengan menggunakan analog kanan sahaja. Pertahanan AI juga lebih mantap bukan sahaja ketika bertahan tetapi juga bijak mencari ruang dan bersedia untuk menerima bola ketika rakan sepasukan mengawal bola dan bermain secara ‘posession football’.

Edisi kali ini juga menampilkan aksi tolak menolak dan tarik menarik yang pastinya akan membuatkan peminat PES sejak dahulu menjerit “script wei!”. Kebanyakan aksi ini berlaku di situasi 50-50 terutamanya ketika pemain penyerang dan pemain pertahanan mengejar through ball. Jikalau dalam PES 2019 Aubameyang akan menggunakan kelebihan larian kilatnya untuk mengejar bola jauh dari pertahanan yang perlahan seperti Pique, untuk PES 2020 pula, ia tidaklah semudah yang dijangka kerana Pique boleh menggunakan kekuatan fizikalnya untuk menolak Aubameyang.

Teknik Baharu

Teknik-teknik baharu kali ini dicipta hasil perbincangan bersama Penasihat PES 2020 yang juga legenda Barcelona, Andres Iniesta yang kini bermain bersama kelab bolasepak Vissel Kobe — seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini.

Saksikan video di bawah ini untuk mengetahui bagaimana cara-cara untuk menggayakan teknik baharu PES 2020 kali ini:

Finesse Dribble

Dummy Kick

Trick Trap

 

Rumusan

Bermula dengan anugerah game sukan terbaik di E3 2019 yang dimenangi bulan lepas dan tambahan kelab-kelab berlesen seperti Manchester United, Bayern Munich dan Juventus, pastinya akan membuatkan edisi kali ini lebih menarik berbanding PES 2019. Manakan tidak, memandangkan pada kebiasaannya hanya kelab yang berlesen sahaja dibenarkan untuk digunakan di pertandingan-pertandingan esports peringkat antarabangsa, sudah semestinya para atlet sukan elektronik ingin menggunakan pemain-pemain yang hebat seperti Messi, Ronaldo, Griezmann, Neymar, Mbappe dan sebagainya. Dengan halatuju Konami untuk menumpukan lebih perhatian kepada esports , ini adalah langkah yang cukup baik.

Gameplay yang lebih perlahan memberikan perasaan seperti permainan bola sepak yang sebenar dan tidak terlalu kartun. Terutamanya dengan penambahan Finesse Dribble, tidak kira sama ada pemain veteran atau yang baru sahaja hendak bermain PES, mereka hendaklah bermula untuk membiasakan diri dengan kawalan baru ini yang pastinya akan memberikan kelebihan di atas padang kelak.

Ada beberapa mode yang tidak ada di sesi percubaan tempoh hari seperti mode baharu Matchday, Master League yang diberi nafas baharu, CO-OP dan juga Team Lobby.

Para peminat game bola sepak, PES dan juga FIFA, boleh mula memuat-turun secara percuma versi demo eFootball PES2020 bermula pada 30 Julai ini di mana kesemua kelab berlesen yang telah diumum akan ditampilkan, mode Online dan juga mode Edit yang membolehkan para pemain membuat kustom kit atau jersey sendiri.

Baca lebih lanjut tentang apa yang dibawakan dalam versi demo eFootball PES 2020 di sini.

Jom layan detik-detik menarik yang sempat kitorang rakamkan semasa di ICC FAN ZONE di Singapura dalam album di bawah:

JomKomen!