Video game mungkin adalah satu hobi yang cukup sinonim dengan anak-anak muda. Tetapi ia bukan penghalang bagi wanita berumur 67 tahun yang berasal dari Poland ini untuk turut menjadikan video game sebagai hobinya.

Bogumiła Bartnik, merupakan seorang pengatur perjalanan kereta api yang telah bersara. Beliau merupakan seorang gamer tegar, di mana game-game seperti siri Uncharted, Assassin’s Creed dan Grand Theft Auto V adalah antara game kegemarannya.

Dalam satu video temuramah bersama Project Humans, beliau telah bersara selama 10 tahun, tetapi tidak meluangkan masa seperti mana-mana pesara yang lain. Bogumiła lebih gemar untuk ‘terperap’ di dalam rumah – menghasilkan rekaan-rekaan seni sulaman, bermain dengan kayu, dan semestinya, bermain video game. Di samping itu, beliau juga mengajar di universiti dalam subjek Psikologi dan Pelajaran Agama.

Pengalaman gaming Bogumiła bermula apabila anak lelakinya membawakan DreamCast kepadanya. Anak lelakinya mengatakan bahawa bermain video game adalah baik untuk sendi-sendi, dan Bogumiła hanya bermain atas nasihat anaknya itu.

“Tetapi selepas setahun, saya akhirnya membeli PlayStation 3 dan segalanya bermula. Anak lelaki saya memanggilnya sebagai ketagihan, namun saya memanggilnya sebagai passion,” kata Bogumiła.

“Saya mempunyai jenis game kegemaran saya sendiri. Ia mestilah game yang kelihatan seperti filem di skrin, tetapi kamu boleh mengawal watak utamanya. Selalunya saya akan kembali untuk bermain Assassin’s Creed Brotherhood. Semasa saya membeli game ini, saya tidak sukakannya, kerana ia sangat sukar bagi saya. Sekarang saya akan kembali ke Assassin’s Creed setiap kali saya mahu berehat daripada bermain game lain.”

Bogumiła juga mula bermain multiplayer kira-kira 5 tahun lalu. Kini, beliau memiliki sebuah pasukan tetap yang beliau sering main bersama. Dalam pasukan itu, terdapat dua pemain tetap lain yang tahu mengenai umurnya.

Kata Bogumiła, anak lelakinya sangat menggalakkan beliau untuk bermain video game. Malah, cucunya turut memanggilnya “nenek gamer”.

“Sekarang, apabila dia (anak lelakinya) tiada platinum trophy dan mempunyai 500 atau 700 trophy, manakala saya memiliki 12 platinum trophy, dia tidak mahu bercakap tentang game dengan saya lagi,” katanya sambil berseloroh.

Antara koleksi game yang dimilikinya.

“Disebabkan saya adalah seorang gamer, saya boleh berfikir secara strategik, daya ingatan saya semakin kuat, saya tiada lagi masalah reumatik di tangan saya, walaupun saya mempunyai masalah itu di kaki dan siku saya. Ia mungkin mempunyai 12-14 butang di pad, saya gunakan 6 jari dalam game, jadi game itu sendiri seperti latihan koordinasi dan refleks,” kata Bogumiła sambil menunjukkan aksinya bermain Uncharted 4.

Antara harapan yang beliau impikan sekarang adalah untuk berjumpa dengan gamer yang berumur hampir dengannya. Beliau turut mendedahkan bahawa beliau ada membuat Facebook Group untuk mencari gamer-gamer konsol yang sudah berumur, namun sayangnya, ia tidak mendapat sambutan.

Nasihatnya kepada warga senior, “jangan terikut-ikut dengan stereotaip. Persaraan bukan hanya sekadar menonton televisyen, menjaga taman atau cucu-cucu, dan duduk di klinik atau gereja. Kamu harus mencari cara kamu sendiri, mencari sumber keseronokan sendiri.”

JomKomen!