Apakah kandungan paling utama, yang membezakan antara dua game bola sepak paling popular di dunia — FIFA dan PES? Perang lesen. Ya, lesen.

Sumber gambar: JOHOR Southern Tigers.

Saban tahun, kedua-dua EA Sports dan Konami akan mempromosikan game masing-masing dengan menyenaraikan lesen rasmi yang akan dibawakan — sama ada lesen kelab satu per satu ataupun liga keseluruhan.

Membuatkan perang lesen antara dua game bola sepak ini menjadi hangat ialah apabila terdapat lesen eksklusif yang dipegang oleh siri FIFA dan PES. Lesen eksklusif ini bermakna, sekiranya FIFA memegang lesen tersebut, PES tidak akan dibenarkan untuk menggunakannya, dan sebaliknya.

Salah satu lesen eksklusif yang dipegang oleh siri PES ialah AFC Champions League (ACL), kejohanan kelab bola sepak paling berprestij di benua Asia.

Seperti yang kita semua tahu, kelab yang berada di puncak kegemilangannya pada masa ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjadi kelab dari Malaysia pertama yang berjaya layak ke peringkat kumpulan dalam ACL. Semalam, JDT telah berjaya mengikat Gyeongnam FC dari Korea Selatan, menjadikan ia merupakan mata pertama dalam sejarah kejohanan itu untuk kelab Harimau Selatan itu.

Persoalan yang bermain di minda penulis pada ketika ini, adakah JDT akan dimasukkan secara rasmi dalam PES 2020 nanti?

Jika kita lihat kepada bagaimana Konami menampilkan kandungan AFC dalam beberapa siri PES sebelum ini, PES 2020 akan menampilkan 32 pasukan lengkap yang berjaya layak ke peringkat kumpulan dalam musim AFC 2019. Ya benar, 32 pasukan, termasuklah JDT.

Walau bagaimanapun, kemasukan JDT hanya akan menjadi realiti sekiranya Konami masih lagi memegang lesen untuk menampilkan pasukan-pasukan AFC dalam PES. Melalui pembacaan penulis, AFC pertama kali ditampilkan dalam siri game ini ialah dalam PES 2014. Perjanjiannya ialah ia akan turut tampil dalam empat kali siri PES selepas itu — bermakna PES 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Kemudian, untuk PES 2019, Konami telah memperbaharui lesen AFC. Namun, apa yang menjadi tanda tanya ialah mereka tidak mendedahkan perjanjian baharu ini akan dianjakkan sehingga siri PES yang ke berapa. Maka timbul teka-teki — adakah PES 2020 akan menampilkan kandungan AFC? JomGaming telahpun cuba menghubungi pihak Konami untuk mendapatkan komen mereka.

Sekiranya AFC masih lagi akan tampil ke dalam PES 2020, bermakna, tidak dapat disangkal lagi bahawa JDT akan dimasukkan secara rasmi ke dalam game tersebut. JDT bakal mencipta sejarah, bukan sahaja sebagai kelab Malaysia pertama yang layak ke peringkat kumpulan AFC, malah menjadi kelab Malaysia pertama dimasukkan secara rasmi ke dalam mana-mana game bola sepak AAA sejak kali terakhir Liga Malaysia pernah ditampilkan dalam FIFA 98.

Sumber gambar: JOHOR Southern Tigers.

Apa-apa pun, kalau korang tidak sabar untuk menunggu kemunculan JDT dalam PES 2020, korang boleh dapatkan terlebih dahulu patch PES 2019 yang menyajikan 20 pasukan Liga Malaysia, yang semestinya terdapat JDT juga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.