Tunggu kehangatan isu ini reda baru penulis mampu ulas dan jawab secara waras dan tenang.

Apa Cerita Sebenarnya?

Bagi korang yang tak tahu, minggu sudah, dunia media digital tempatan digegar dengan kontroversi artikel-artikel esports yang di-copypaste/plagiat daripada JomGaming, WTMToday, Astro Awani, MyGameOn dan munkin juga beberapa laman lain – lalu disiarkan di portal dan laman sosial syarikat media digital Oh! Media.

Kontroversi ini bermula apabila Senior Editor JomGaming terbaca sebuah artikel di Oh! Media Gaming berkaitan Pro Evolution Soccer (PES) 2020 yang anehnya sejibik menyerupai artikel penulisan beliau – tanpa olahan mahupun suntingan, cuma tajuk artikel yang diubah.

Siasatan lanjut mendapati, beberapa artikelnya juga ditempel tanpa suntingan. Lalu beliau suarakan rasa hangin ini di Twitter beliau. Di sinilah bermulanya pembongkaran artikel-artikel esports lain yang diciplak daripada portal-portal esports lain di saluran Oh! Media.

Link

Alhamdulillah, penulis Oh! Media tersebut dan pihak Oh! Media sendiri menyedari kesilapan mereka berkenaan isu ini, dan bertindak menurunkan kesemua artikel esports dan mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi.

Di atas kesempatan ini, penulis ingin mengambil peluang untuk menimbulkan kesedaran tentang etika kewartawanan media digital dari kacamata JomGaming, selaku media digital kecil-kecilan yang memperjuangkan aktiviti gaming sebagai aktiviti sihat dan menguntungkan.

Sebelum itu, jom kita kenali Senior Editor JomGming, Tobeng, yang menjadi punca bermulanya kontroversi ini.

Siapa Tobeng?

Sumber

Ini Ahmad Faiz bin Abdul Hassan, atau lebih mesra dikenali sebagai Tobeng/Tobeng94 di kalangan kawan-kawan, keluarga dan juga pengikut channel YouTubenya.

Beliau juga adalah Senior Editor JomGaming sejak dari awal penubuhan JomGaming lagi.

Penulis mula mengenali Tobeng saat kitorang berperang bersama dan menentang clannya [WolfPack] di dalam Battlefield 3 sekitar tahun 2012. Untuk berkata bahawa Tobeng sangat passionate tentang gaming dan bolasepak seperti tidak cukup menggambarkan Tobeng yang penulis kenali. Korang boleh baca artikel beliau di bawah bagi memahami sudut pandangan beliau dengan lebih mesra gitu.

Seperti penulis-penulis JomGaming yang lain, hari-hari beliau dipenuhi dengan mendapatkan berita-berita best dari sumber-sumber yang pelbagai, lalu ditulis dan diolah supaya mesra dengan anak tekak gamers tempatan.

Semua ini bukan mudah.

Untuk menulis, mengalihbahasa, menyunting supaya mudah difahami tanpa menjejaskan kredibiliti sumber, sambil mengekalkan etika kewartawanan – boleh makan berjam-jam beb.

Paling beliau bersemangat adalah apabila ada berita-berita berkenaan game bolasepak Pro Evolution Soccer. Berita lain tolak tepi dulu. Haha.

Beliau bukan sahaja menulis berita, beliau pernah menganggotai barisan admin PESMY (badan yang mengelola aktiviti PES di Malaysia), beliau turut menyertai tournament-tournament PES tempatan dan artikelnya turut dikongsi dan dipetik komuniti PES negara jiran.

Berkat usahanya juga menulis berita-berita PES, JomGaming dijemput Konami Asia ke acara-acara PES di Singapura. Terbaru adalah acara demo eFootball PES 2020 yang diadakan di Singapura tempoh hari.

Nah, apa lagi yang kalian mahukan untuk buktikan kesetiaan Tobeng terhadap PES?

Senarai di atas masih belum cukup merangkumi kehebatan jejaka muda berkerusi roda ini. Kalau penulis penat membuat liputan ke acara esports, penulis hanya fikirkan tentang daya usaha Tobeng. Kalau Tobeng boleh, kenapa tidak penulis?

Sekarang korang dah kenal siapa Tobeng, dan kenapa isu ini begitu dekat di hati beliau. Perjuangan beliau di JomGaming tidak didorong kewangan semata. Ianya bersifat peribadi dan berlandaskan cinta kepada kegiatan kegemarannya.

3 Etika Asas Dalam Menerbitkan Artikel Di Zaman Digital

Sebagai passion-project, JomGaming menjadi platform untuk kitorang sebarkan berita-berita gaming tempatan dan luar negara dalam bahasa ibunda. Semestinya, kebanyakan sumber yang kitorang ambil adalah daripada laman-laman antarabangsa. Jadi, etika kewartawanan mudah tapi relevan diperlukan supaya penulis, organisasi penerbitan dan masyarakat tidak disogok dengan artikel tidak berkualiti.

Berikut adalah benda basic penerbitan digital yang kitorang kumpulkan sepanjang penubuhan JomGaming. Ini pun kitorang pelajari dan diajar pembaca-pembaca budiman – JomGaming juga masa awal-awal dulu berdosa dalam tidak mengamalkan perkara sebegini. Oh well, live, learn & move on.

1. Linkback kepada artikel asal

Apabila menulis artikel, linkback kepada artikel asal amatlah penting untuk memastikan kredibiliti artikel dan sambil mengiktiraf kerja keras penulis asal. Pembaca yang meragui kesahihan artikel boleh mencari artikel sumber bersanad dengan cara begini. Pembaca bijak pasti akan memerlukan maklumat lanjut dalam proses menghadam maklumat. Hormati mereka dan diri sendiri dalam menyediakan link ke sumber asal.

2. Petik, bukan copypaste

Apabila menulis artikel, amatlah busuk sekiranya sekadar copypaste artikel tanpa sebarang suntingan besar. Sebaliknya, petiklah sebahagian daripada artikel tersebut dan rumus/olah maklumat tersebut dengan gaya sendiri. Sebagai penulis dan bukan penempel, maka menulislah dan temui gaya penulisan kalian.

3. Jika gambar photography di-watermark, janganlah crop

Letakkan gambar tersebut, dan linkback kepada sumber asal. Lagi elok jika di-tag jurugambar asal di bawah gambar tersebut. Di dalam urusan JomGaming, kitorang akan cuba menggunakan stok gambar yang telah kitorang ambil sendiri dari acara-acara terdahulu, ataupun mengharapkan gambar dari penganjur, syarikat jenama etc masing-masing agar tiada isu sebegini berlaku. Gambar-gambar di public domain dengan Creative Commons license juga akan kitorang gunakan dengan melakukan olahan jika perlu.

Ini adalah 3 perkara paling asas bagi kitorang pertimbangkan sebelum menerbitkan sesuatu artikel mahupun content di dalam dunia digital masakini. Mudah kan? Jika ada tips yang penulis terlepas, mohon sarankan di ruangan komen, ok?

Kesimpulan

Kata-kata keramat “demi membangunkan esports negara” ini dah lama penulis dengar. Memang bagus niat sebegini. Tapi ianya juga perlu dilaksanakan dengan cara yang betul. Baru industri esports ni dilihat lebih berkredibiliti dan saling menghormati.

Kepada Oh! Media, terima kasih kerana menghormati hakcipta intelek Tobeng dan JomGaming. Kepada pengamal-pengamal media dan content creators di luar sana, teruskan berjuang membangunkan industri dengan cara yang berkredibiliti dan mulia.

Majulah gaming untuk negara.

Badd Anuar
Ketua Editor JomGaming

JomKomen!