Tanpa angin, tanpa ribut. Dua seteru gergasi gaming sejak azali ini umumkan kerjasama strategik.

Dua syarikat ini merancang untuk berkongsi teknologi dan maklumat ke hadapan dan membina perkongsian infrastruktur untuk beberapa inisiatif mereka pada masa akan datang. Walaupun dalam pengumumannya tidak menyatakan secara spesifik tentang PlayStation dan Xbox, tetapi apa yang dinyatakan adalah kerjasama antara dua syarikat ini untuk fokus kepada platform hiburan pengguna seperti gaming.

Mereka akan bekerjasama untuk membangunkan solusi fungsi cloud pada masa hadapan melalui Microsoft Azure. Sony juga akan menggunakan Microsoft Azure untuk servis kandungan streaming dan game mereka sendiri.

“Sejak sekian lama, Microsoft telah menjadi rakan kongsi bisnes yang penting untuk kami, walaupun semestinya dua syarikat ini juga bersaing dalam banyak cabang,” kata Presiden Sony, Kenichiro Yoshida. “Saya yakin yang kerjasama pembangunan untuk solusi fungsi cloud ini akan menyumbang besar kepada kemajuan kandungan interaktif.”

“Sony sentiasa menjadi peneraju kepada kedua-dua hiburan dan teknologi, dan kolaborasi yang kami umumkan hari ini akan mencipta sejarah inovasi,” ujar CEO Microsoft, Satya Nadella.

Memandangkan dua syarikat ini berkerjasama dalam cabang gaming dan cloud, sangat menarik untuk saksikan apakah perancangan mereka untuk servis cloud streaming kepunyaan masing-masing — PlayStation Now dan xCloud.

Adakah ini rancangan mereka untuk bersaing dengan Google Stadia?

JomKomen!