Kalau dah trailer pun tunjuk jadi posmen / jejaka courier aje, bila masa nak tembak-menembak pun! lol
Seperti kebiasaan trailer-trailer Hideo Kojima sebelum ini, trailer terbaru Death Stranding yang dipertontonkan di E3 2018 baru-baru ini turut dipenuhi misteri dan persoalan!
Dalam trailer yang dipertontonkan di E3 2018 baru-baru ini, karakter Sam yang dilakonkan oleh Norman Reedus dilihat merentasi pelbagai lanskap planet ataupun dunia asing Death Stranding dengan membawa bungkusan dan barangan. Ada satu ketika, Sam dilihat turut mengangkat mayat (?).
Selepas sekuens tersebut, baru kita dapat melihat bagaimana Sam cuba melepasi ancaman musuh-musuh bebenang asap hitam, menggunakan kuasa janin dalam tabung kaca dan sinaran lampu IKEA yang dipakai di bahu Sam – sebelum akhirnya lenyap dibaham kuasa gelap. Percayalah, penjelasan penulis tak sepelik imaginasi Hideo Kojima dalam menyampaikan babak tersebut. Korang kena tengok sendiri untuk percaya.
Bagaimanapun, gameplay trailer tersebut tidak pula menunjukkan babak berlawan dengan musuh-musuh gelap tersebut. Kenapa ye?
Hideo Kojima menjawab persoalan ini dalam satu temuramah bersama Geoff Keighley di E3 2018. Beliau berkata, pemain tidak patut mengambil pendekatan berperang di dalam game Death Stranding ini – walaupun terdapat elemen gameplay tembak-menembak di dalamnya.
Jika dilihat kepada francais Metal Gear Solid yang diarahkan beliau sebelum ini, Kojima akan cuba memberikan kebebasan kepada pemain untuk menyelesaikan misi-misi dalam game tersebut melalui pelbagai cara. Samada melalui taktik berperang tembak-menembak, ataupun pendekatan stealth tanpa bunuh – semuanya boleh dilakukan, jika pemain tersebut menginginkannya atau boleh terfikirkannya.
Dalam satu temuramah lain, Mads Mikkelsen berkata, “Death Stranding adalah sebuah game kolaborasi. Tujuan utama game ini bukanlah untuk berlawan dan menewaskan musuh – sebaliknya menghubungkan dunia!”
Kitorang sendiri masih tertanya-tanya walaupun sudah sekian lama mengikuti subReddit Death Stranding yang masih cuba merungkai misteri trailer-trailer, poster-poster yang telah diumumkan oleh Kojima Productions.
Yang pasti, Hideo Kojima sudah berjaya mencipta fenomena misteri menyelubungi game terbarunya ini. Hanya masa akan menentukan samada ianya akan serasa berbaloi apabila berjaya dirungkai nanti. Harap Kojima-san akan mula menjawab beberapa persoalan yang masih buat kita semua kelam ini.
Death Stranding sedang dibangunkan bagi platform PlayStation 4. Tiada tarikh pelancaran diumumkan buat masa ini.
Comments
Loading…