Sony dan Naughty Dog telah melancarkan satu siri video terbaharu bagi mempromosikan The Last of Us Part II. Ia akan mengumpulkan komen-komen para pembangun Naughty Dog terhadap bagaimana mereka membangunkan game ini, atau dalam kata lain, siri video di sebalik tabir pembikinan.
Empat video akan dikeluarkan sepanjang siri ini, yang akan dipecahkan kepada jalan cerita, gameplay, perincian dan dunianya. Video pertama, digelar ‘Inside the Story’, telahpun dimuatnaik, dan korang boleh tontonnya di bawah.
Berikut ialah jadual yang telah diumumkan untuk siri video ini:
13 Mei: Inside the Story
20 Mei: Inside the Gameplay
27 Mei: Inside the Details
3 Jun: Inside the World
Video dimulakan dengan pengarah game ini, Neil Druckmann, bercakap tentang apakah tema utama yang akan digunakan dalam game ini — iaitu mencipta sebuah cerita yang membuat ulasan tentang putaran keganasan, dan bagaimana pelbagai tindakan boleh mengakibatkan tindakan lain serta memaparkan semua aspek berbeza yang boleh terhasil daripada itu.
Pastinya tarikan utama dalam penjelasan daripada Druckmann ini ialah beliau mengatakan yang sekuel ini akan menjadi sebuah game yang “memecahbelahkan” pemain berbanding game pertamanya.
“Akan sentiasa ada ketakutan apabila kamu membikin sesuatu yang menakjubkan, dan apabila kamu kembali kepadanya [sekuel], kamu akan merosakkannya. Kamu merosakkannya adalah apa yang membuatkan ia istimewa,” kata Druckmann.
Para peminat yang berpecahbelah pastinya sesuatu yang sudah boleh kita jangkakan kerana sejak jalan cerita game ini telah tertiris bulan lalu, kebanyakan yang sudah mengetahuinya tidak berpuas hati dengan apa yang disajikan Naughty Dog dalam sekuel ini.
Kemarahan mereka ini telah membuatkan Sony terpaksa menutup komen dan nisbah like/dislike di video-video The Last of Us Part II di Youtube, termasuk jugalah video terbaharu ‘Inside The Story’ ini.
The Last of Us Part II akan dilancarkan pada 19 Jun ini, eksklusif untuk PS4.
Comments
Loading…