in , , , ,

It Takes Two: Boleh Beli or Boleh Blah!?

It Takes Two merupakan game kedua yang dibangunkan oleh Hazelight Studios, iaitu studio pembangunan yang diasaskan dan diketuai oleh insan penuh kontroversi, Josef Fares.

Selepas menerima sambutan dan jualan yang begitu baik melalui A Way Out, pastinya EA dan Hazelight Studios tidak teragak-agak untuk membikin sebuah lagi game yang memiliki banyak persamaan dengan A Way Out.

Kedua-dua A Way Out dan It Takes Two merupakan sebuah game co-op yang hanya boleh dimainkan oleh dua orang pemain, sama ada secara online ataupun local. Tidak boleh lebih, tidak boleh kurang. Apa yang membezakan dua game ini adalah jalan cerita, seni konsep dan mesej yang ingin cuba disampaikan.

Tanpa membuang masa, jom kita teruskan reviu ini — It Takes Two: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Apa Ceritanya?

It Takes Two hanya mempunyai tiga watak utama, iaitu Cody (suami), May (isteri) dan Rose (anak perempuan). Game dimulakan terus dengan konflik yang ingin digunakan, iaitu hubungan suami isteri antara Cody dan May yang sudahpun renggang dan mereka kini berada di ambang penceraian.

Mereka kini memiliki tugas yang amat berat, yang mana mereka ingin memberitahu Rose tentang niat mereka untuk berpisah. Sebagai seorang kanak-kanak yang masih mentah, tentunya sukar untuk menerangkan situasi tersebut.

Cody dan May akhirnya menyatakan yang mereka tidak lagi boleh ‘berkawan’, dan ia terus membuatkan Rose sedih. Rose pun pergi ke tempat permainan rahsianya dan terus memegang dua anak patung yang diciptanya, mewakili ibu bapanya. Dalam keadaan sedih, air mata Rose yang menitis terus jatuh ke kedua-dua anak patung itu.

Tidak semena-mena, Cody dan May yang tidak tahu apa yang sedang berlaku, telah disumpah menjadi anak patung tersebut. Maka bermulalah ‘sesi terapi suami isteri’ antara May dan Cody menerusi satu pengalaman yang cukup aneh dan menghiburkan.

Magis Luar Biasa

Apabila Cody dan May bertukar menjadi anak patung bersaiz kecil itu, maka di sinilah bermulanya segala magis It Takes Two.

Cody dan May akan menerokai semula hubungannya, di seluruh kawasan rumah menerusi cara yang begitu unik. Seolah-olah berada dalam dunia filem Toy Story, game akan membawa kita berjalan dari satu ruang ke satu ruang lain di dalam rumah — dalam saiz mereka yang sebesar permainan anak patung itu.

Penulis cukup gemarkan rekaan-rekaan kawasan sekeliling di dalam rumah yang kelihatan cukup besar kerana karakter yang pemain kawal sekarang adalah bersaiz anak patung. Misalnya, apabila berada di dalam bilik Rose, kita akan bertemu dengan mainan-mainannya, buku-bukunya, dan barangan-barangan lain yang kelihatan bersaiz gergasi.

Kemudian, apabila bertukar ke level yang berada di kawasan luar rumah, kita akan bertemu dengan haiwan-haiwan, serangga, rumput, pokok-pokok yang kelihatan cukup berbeza dari perspektif ‘seorang anak patung yang hidup’. Sangat menarik berjalan-jalan di dalam dunia fantasi It Takes Two.

Identiti Hazelight Adalah Co-Op

Penulis secara peribadi cukup kagum dengan gameplay yang Hazelight pernah sajikan dalam A Way Out. Pengalaman bermain game itu membuatkan penulis dan rakan sentiasa terpegun dengan idea-idea co-op yang di luar jangkaan. Dan percaya atau tidak, gameplay yang ditampilkan dalam It Takes Two adalah berganda-ganda lebih mengagumkan daripada A Way Out.

Bolehlah penulis katakan bahawa para pembangun yang berada di belakang game ini adalah sangat kreatif dan inovatif, dan tidak keterlaluan penulis katakan, melalui dua game co-op mereka setakat ini, Hazelight telah mencipta satu sub-genre tersendiri dalam genre co-op yang lebih besar.

Sejak dari minit-minit pertama lagi, sehinggalah ke saat terakhir game ini, kita telah disajikan dengan gameplay yang sangat, sangat menyeronokkan.

Sejujurnya, penulis sudah tidak sabar untuk melihat apakah game co-op seterusnya yang sedang dibangunkan oleh Hazelight.

Dibikin Khas

Bagi yang belum pernah main A Way Out, mungkin sukar untuk menggambarkan bagaimana gameplay co-op yang disajikan. It Takes Two bukanlah sebuah game yang mempunyai gameplay co-op sebagai gameplay sampingan. Tapi ia merupakan seratus peratus game co-op.

Setiap babak, setiap tahap, setiap saat — semuanya direka khas untuk dimainkan bersama dua orang pemain. Dan ia direka dengan cukup bijak.

Setiap cabaran yang dihadapi akan dibikin khas untuk kedua-dua pemain mempunyai tugasnya tersendiri, pada setiap masa. Tiada mana-mana detik dalam game ini di mana pemain 1 perlu menunggu pemain 2 melakukan sesuatu sehingga akan membuat salah seorang pemain bosan. Walaupun kadang-kala pemain akan terpisah antara satu sama lain melalui jalan yang berbeza, pemain tetap akan perlu bekerjasama dalam caranya tersendiri.

Pelbagai Abiliti, Pelbagai Genre

Ya, It Takes Two boleh didefiniskan sebagai game co-op, tetapi untuk mengatakan sama ada game ini adalah platformer atau shooter atau apa lagi pecahan genre lain, ia sukar.

Hal ini kerana It Takes Two membawakan bermacam genre ke dalam pelbagai babak berlainan dan diadun dengan sungguh bijak, istimewa dan di luar jangkaan. Kadang-kala penulis dan rakan akan terkagum dan berkata-kata seperti “Eh ini macam Diablo, eh ini macam Street Fighter, ini macam game shooter ini, ada pula macam Spider-Man, macam Plants vs Zombies pula.” Macam-macam ada.

Menjernihkan Hubungan

Penulis sendiri masih lagi bujang, dan tidaklah bermain game ini bersama pasangan kekasih. Namun, penulis dan rakan, @kamilgeekz dapat rasakan yang It Takes Two sedikit sebanyak mampu menjernihkan hubungan suami isteri yang keruh.

Banyak cabaran dan teka-teki yang apabila diperhatikan betul-betul, sememangnya dibentuk istimewa untuk menjentik pasangan kekasih yang sedang melalui fasa berombak.

Menguatkan lagi alasan untuk gamer di luar sana mengajak pasangan untuk bermain It Takes Two adalah game ini sangat mudah difahami dan dimainkan oleh seseorang yang bukan gamer. Cabaran dan teka-teki yang perlu diselesaikan bersama bukanlah hal-hal yang hanya gamer boleh memahaminya. Malah, butang-butang yang perlu ditekan juga boleh dikatakan agak mudah.

Ini bukan bermakna game itu sendiri mudah. Ia lebih kepada mudah difahami apa yang perlu dibuat, tetapi untuk mencantumkan info-info yang ada dan menemui jalan penyelesaian untuk setiap cabaran, ia memerlukan kerjasama dan komunikasi yang sangat lancar.

Malah, bagi penulis, ada sesetengah babak di mana ia akan membuat kedua-dua pemain ‘bergaduh’, tetapi dalam cara yang positif kerana di kala pemain cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi, maka di situlah kita akan lebih memahami antara satu sama lain, mengenali apakah kekuatan dan kekurangan masing-masing.

Cerita Yang Biasa-Biasa

Apabila bercakap tentang jalan cerita It Takes Two secara keseluruhan, ianya bagus, namun tidaklah begitu menyentuh perasaan dan kurang meninggalkan kesan mendalam.

Bagi penulis, tema cerita ‘sesi terapi suami isteri’ itu hanyalah asas jalan cerita yang digunakan untuk membenarkan mereka menghidupkan idea-idea co-op mereka yang menggila itu.

Maknanya, mereka memerlukan satu cerita yang di mana dua karakter ini sedang bermasam muka, dan mahu gunakan hubungan renggang itu untuk mencipta babak dan gameplay co-op yang mereka inginkan. Maka, mereka gunakan hubungan suami isteri yang sedang renggang itu. Tidak lebih daripada itu.

Jalan cerita keseluruhannya amat ringkas. Tidak banyak latar belakang cerita atau kisah-kisah sampingan yang dikuatkan. Kita lebih difokuskan kepada ‘sesi terapi’ itu dan gameplay co-op itu sahaja. Mesej mulia yang ingin disampaikan itu dapat kita rasai namun tidak begitu mendalam impaknya.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Game Baharu Dari Pembangun A Way Out Berjudul It Takes Two - Co-Op Aksi Platformer

Seandainya korang ingin mencari sebuah game co-op yang sungguh menghiburkan dan penuh aksi mendebarkan, dengan idea-idea menggila yang mampu membuatkan mulut ternganga, ditambah pula dengan mini game sampingan yang melucukan, It Takes Two adalah game BOLEH BELI. Korang dan pasangan/rakan co-op akan dibawa ke satu alam fantasi bermula dari bilik tidur, stor, taman di hadapan rumah, bawah tanah, sehinggalah ke angkasa yang amat menyeronokkan.

Lebih menarik, sama seperti A Way Out, It Takes Two mempunyai Friend Pass. Kalau ingin bermain game ini secara online co-op, hanya seorang sahaja yang perlu membelinya. Pemain kedua boleh dijemput dan mainkannya secara percuma.

Walau bagaimanapun, sekiranya korang mahukan satu jalan cerita keseluruhan mantap, yang mampu memberikan satu memori yang bermakna, ini mungkin game BOLEH BLAH untuk korang. Apatah lagi sekiranya korang tidak mempunyai rakan yang ingin bermain game ini, maka korang memang tidak akan dapat main game ini secara solo.

+ Konsep co-op yang kreatif dan unik
+ Sangat mengiburkan dengan idea menggila
+ Menggabungkan pelbagai genre game
+ Setiap babak direka khas untuk kerjasama
+ Memperbaiki hubungan yang keruh
+ Dunia fantasi yang cantik

– Jalan cerita keseluruhan yang kurang padu

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Sebab Kenapa Naughty Dog Mahu Bikin The Last of Us Remake Didedahkan

Jangan Merungut Tiada Sekuel Kalau Tak Beli Game Pada Harga Penuh, Kata Pengarah Days Gone