Banyak laporan yang muncul, termasuk dari orang dalam industri tersohor, Tom Henderson, mengatakan minggu ini sepatutnya menjadi minggu di mana EA dan DICE akan memperlihatkan trailer pertama untuk Battlefield seterusnya. Walau bagaimanapun, sehingga ke hujung minggu, trailer itu masih tidak kunjung tiba.
Di sebalik pelbagai info tentang Battlefield yang beliau dedahkan sebelum ini dengan penuh kepastian, Henderson tidak mengetahui apakah sebenarnya punca kelewatan pendedahan trailer itu. Namun, beliau ada teorinya tersendiri.
Henderson berpendapat bahawa faktor mengapa DICE masih belum keluarkan trailer pertama Battlefield baharu adalah disebabkan insiden serpihan roket China yang terhempas dari ruang angkasa.
Serpihan roket China itu dikatakan telahpun terhempas berdekatan Maldives di Lautan Hindi. Walau bagaimanapun, sejak beberapa hari sebelum itu, muncul kerisauan yang mana serpihan roket tersebut mungkin terhempas di lokasi yang tidak sepatutnya dan mampu mencederakan orang awam. NASA telah mengkritik China kerana kurang bertanggungjawab dalam mengendalikan insiden ini.
Jadi, apa kaitannya dengan trailer pertama Battlefield pula?
Henderson telah mendedahkan yang trailer pertama Battlefield itu akan memaparkan babak di mana roket meletup di udara, jatuh ke bumi dan mencederakan beberapa askar. Oleh itu, mengeluarkan trailer tersebut semasa dunia sedang mengikuti satu insiden yang berpotensi mencederakan orang awam, seakan sama dengan trailer tersebut, tentunya bukan satu langkah yang sesuai.
Henderson menegaskan yang ini bukan kali pertama mana-mana syarikat game yang menangguhkan pendedahan atau pelancaran disebabkan insiden yang sedang berlaku di dunia sebenar.
Serpihan roket China itu telahpun terhempas di Lautan Hindi tanpa mencederakan seorang manusia, maka, mungkin DICE akhirnya sudah bersedia untuk mengeluarkan trailer pertama Battlefield seterusnya itu dalam masa terdekat? Sama-sama kita nantikan.
Sebelum ini, dua keping screenshot dari trailer pertama Battlefield itu telah tertiris — memaparkan pandangan udara sebuah lokasi pulau terpencil serta memaparkan di dalam helikopter dari pandagan seorang pemain yang sedang mengawalnya.
Battlefield baharu akan dilancarkan hujung tahun ini.
Comments
Loading…