Dua wakil Malaysia di sukan demonstrasi esports di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang telah mencipta sejarahnya tersendiri.

Pemain Pro Evolution Soccer (PES) dari Malaysia, Muhammad “Keron” Khairul dan Mohd “Haikal” Haikal telah berjaya mara sejauh separuh akhir, sebelum terpaksa akur dengan kekuatan Jepun. Kemudian, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, duo negara ini telah tumpas di tangan Vietnam selepas mengheret mereka ke perlawanan ketiga dalam aksi yang penuh mendebarkan.

Memerhatikan ruangan komen di livestream acara ini, ada segelintir peminat yang melontarkan kata-kata yang tidak sedap dibaca. Lebih menyedihkan apabila ia adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan oleh para pemain atau sesuatu yang tiada asasnya sama sekali.

Dalam artikel ini, kami cuba untuk merespon kepada beberapa kenyataan tersebut.

Kenapa Malaysia Hantar Diorang Ni?

“Noob lah”, “Takda pemain yang lebih baik ke?”, “Kenapa Malaysia hantar diorang ni main?” — itu antara komen-komen yang dilontarkan apabila melihat pemain kita mula tewas kepada pasukan Jepun di separuh akhir.

Untuk pengetahuan korang yang tak tahu, pemilihan Keron dan Haikal bukan dipilih secara tangkap muat. Ia melalui proses kelayakan yang panjang.

3 bulan yang lalu, mereka berdua yang bertanding atas tiket clan Alpha Gaming telah memenangi pusingan kelayakan peringkat Malaysia — kejohanan yang semestinya disertai oleh jaguh-jaguh PES negara.

Seterusnya, membawa nama Malaysia ke peringkat kelayakan rantau Asia Tenggara, mereka beraksi dengan cukup cemerlang. Malaysia dan Vietnam adalah wakil Asia Tenggara secara merit, manakala Indonesia turut bertanding di acara kemuncak apabila layak secara automatik sebagai tuan rumah.

Itu cerita gandingan mereka. Ini kami ceritakan pula apa pencapaian mereka secara individu.

Kepada yang tidak kenal dengan Keron, mari kami perkenalkan. Beliau adalah pemain PES nombor satu Malaysia untuk musim 2017/2018. Selain pelbagai kejohanan yang dijuarainya sepanjang musim ini, beliau baru-baru ini telah turut menduduki tempat keempat dalam Kejohanan Akhir PES Asia Tenggara (PES SEA Finals) 2018 — yang mana ia adalah pencapaian terbaik yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain tanah air dalam kejohanan tahunan itu.

Sumber: Wanro Syazwan
Haikal pula dalam musim ini juga tidak kurang hebatnya. Beliau menduduki tangga ke-17 di ranking PESMalaysia.com — sebuah ranking yang dibarisi pemain kompetitif yang ramai, dinilai melalui kejohanan tempatan yang berlangsung selama setahun panjangnya.

Melalui proses pemilihan yang panjang ini, maka, pertanyaan “mengapa Malaysia menghantar mereka ini?” adalah pertikaian yang tiada asasnya langsung.

Kami berani mengatakan insan-insan yang memberikan cemuhan seperti ini adalah mereka yang tidak pernah terlibat dengan arena kompetitif PES tempatan kerana jika tidak, pasti mereka akan mengetahui tahap kemampuan yang dimiliki pemain yang terpilih ini.

Pemilihan Kelab

Ramai yang mempersoalkan. “Mengapa tidak guna Real Madrid atau PSG?”, “kenapa asyik pilih Barcelona dan Arsenal?”, “Itulah berlagak nak guna Inter?”.

Untuk pengetahuan saudara-saudari sekalian, sebelum sepak mula, pemilihan pasukan dalam game diikat dengan peraturan atau format yang sangat ketat. Formatnya ialah:

1. Hanya 9 pasukan yang dibenarkan — Barcelona, Arsenal, Liverpool, Schalke, Inter Milan, River Plate, Ac Milan, Corinthians dan Colo-Colo.
2. Satu pasukan hanya dibenarkan dipakai sekali sahaja dalam satu-satu pertemuan (satu lawan = 3 perlawanan — best-of-3). Bermakna setiap pertemuan dengan negara lain, 3 pasukan berbeza perlu digunakan.
3. Tidak boleh gunakan pasukan yang sama dengan pihak lawan.

Jadi, 3 peraturan ini sahaja sudah menjelaskan dengan sendiri. Setiap negara perlu memikirkan taktik dan strategi yang terbaik bagi menyesuaikan setiap pasukan yang dipilih — apatah lagi ia menampilkan format 1v1, 2v2 dan 1v1.

Kesimpulannya, kita usahlah terlalu mudah menghukum. Menaip di hadapan komputer dan telefon adalah cukup mudah berbanding mereka yang bertarung di atas pentas, disaksikan ribuan penonton, sama ada penyokong di venue kejohanan atau di rumah.

Kami ingin mencabar “pakar-pakar” ini untuk turun beraksi di kejohanan-kejohanan esports tempatan jika benar korang lah jagoan yang lebih layak. Turun ke arena permainan sebenar jika ingin melihat sendiri bagaimana industri ini dibangunkan secara langsung.

Jangan berkokok di luar gelanggang, bila diajak ke tengah menyusup di bawah kelangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.