in ,

Ini Beberapa Game Online Popular Yang Tak Boleh Dimainkan Di Steam Deck, Buat Masa Ini

Walaupun Valve mencanang bahawa Steam Deck dengan mudahnya akan boleh memainkan kesemua game yang ada dalam Steam, ia nampaknya bukan seratus peratus tepat.

Sebagai sebuah platform gaming yang menggunakan sistem berasaskan Linux, SteamOS (sistem operasi Steam Deck) mempunyai sesetengah game yang tidak serasi untuk dimainkan. Untuk mengatasi isu ini, Valve telah membangunkan sebuah fungsi yang dipanggil Proton, yang akan memudahkan game-game yang pada asalnya dibikin untuk Windows, mampu dimainkan di Steam Deck.

Menurut PC Gamer, Walaupun fungsi ini berjaya membenarkan sebahagian besar game dimainkan di platform bimbit itu, ada satu lagi isu lain timbul yang menghalang beberapa game. Ia berkaitan dengan software anti-penipuan (anti-cheat).

Secara asasnya, game-game ini sudahpun boleh berjalan di Steam Deck, namun software anti-penipuan masing-masing pula tidak dapat dihidupkan, atau dalam kata lain ia tidak disokong dalam sistem berasaskan Linux. Sebagai sebuah game yang memfokuskan kepada online multiplayer, apabila software anti-penipuan tidak dapat dihidupkan, maka pemain tidak dibenarkan untuk log masuk ke dalam game tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, menurut Comicbook.com, game-game yang termasuk dalam senarai ini adalah:

  • Destiny 2
  • Apex Legends
  • Rainbow Six Siege
  • PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG)
  • Dead by Daylight
  • DayZ
  • Smite
  • Fall Guys
  • Paladins
  • Black Desert Online
  • Hunt: Showdown

Valve tentunya sudah ambil maklum tentang isu ini. Seperti tertera jelas dalam laman web rasmi Steam Deck, mereka kini sedang menambahbaik keupayaan Proton untuk menyokong solusi anti-penipuan bagi menambah bilangan keserasian game untuk platform itu. Oleh itu, tidak mustahil game-game ini boleh saja dimainkan kelak, sekiranya mereka dapat menyelesaikan isu ini dengan segera.

Walaupun senarai game di atas tidak boleh dimainkan, buat masa ini (walaupun ia belum dilancarkan), Steam Deck boleh dikatakan berupaya memainkan hampir kesemua game lain. Maka, ia tidak menjadi isu yang begitu besar sebenarnya sekiranya korang bukanlah peminat game-game online multiplayer.

Steam Deck akan dilancarkan pada Disember 2021 untuk negara-negara Amerika Utara dan Eropah terlebih dulu. Valve mengatakan yang ia akan dipasarkan secara rasmi ke rantau-rantau tambahan pada tahun 2022.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ubisoft Umum Tom Clancy’s XDefiant – Game Shooter Percuma 6v6 Gabungkan Splinter Cell, Ghost Recon, Division

Netflix Sahkan Penglibatan Dalam Pembangunan Game, Fokus Mobile Dulu, Tiada Kenaikan Harga Langganan