The Last of Us Part II Ditunda Ke Satu Tarikh Pelancaran Yang Tidak Dinyatakan

Hari ini, 19 Jun 2020 merupakan tarikh pelancaran The Last of Us Part II — sebuah game yang menjadi perbualan hangat sejak pertama kali diumumkan pada akhir tahun 2016.

Pelancaran penuh game sekuel dari Naughty Dog ini sekaligus menandakan bahawa media kini sudah tidak mempunyai sebarang kekangan untuk bercakap tentang apa sahaja plot dan butiran yang ada dalam game ini.

Bagi yang tidak tahu, pihak media telah menerima salinan reviu game ini beberapa minggu awal sebelum tarikh pelancaran, dan telah mengeluarkan reviu masing-masing pada minggu lalu dengan beberapa panduan ketat — secara kasarnya, tidak dibenarkan menyebut karakter-karakter lain selain Joel dan Ellie serta hanya boleh menyentuh jalan cerita yang kira-kira dua jam pertama sahaja.

Salah satu perbualan gaming paling panas pada tahun ini, setakat ini, ialah kejadian hampir keseluruhan jalan cerita Part II telah tertiris secara online, dan apa yang mengejutkan ialah ia telah menaikkan kemarahan ramai peminat setia game pertama The Last of Us yang dikeluarkan pada tahun 2013.

Maka, dalam artikel ini, kita akan menelusuri dengan lebih mendalam terhadap spoiler yang tertiris itu tanpa sebarang kekangan daripada pihak Sony dan Naughty Dog kerana game ini sudahpun dilancarkan sepenuhnya di seluruh dunia.

AMARAN! Bermula dari sini, teks akan dipenuhi dengan SPOILER dalam The Last of Us Part II.

Hilang Kepercayaan

Pertama sekali, korang perlu tahu bahawa ketika spoiler tersebut telah tersebar, penulis sendiri pada awalnya tidak mahu membacanya kerana masih ‘sayangkan’ game ini dan tidak mahu memusnahkan penantian selama beberapa tahun dengan hanya membaca spoiler tersebut. Namun, disebabkan ia telah mewujudkan satu kemarahan luar biasa yang sangat mengejutkan, penulis tidak mampu lari daripada membacanya kerana ingin tahu benar apakah yang teruk sangat dengan jalan ceritanya.

Seperti kebanyakan daripada korang yang telah turut membacanya, penulis menjadi begitu marah dan mula skeptikal terhadap sekuel ini dan Naughty Dog. “Mengapa perlu mewujudkan satu karakter transgender, iaitu Abby, yang lebih menyerlah daripada Ellie? Kita akan bermain sebagai Abby dan membunuh Ellie? Tidak cukup lagi agenda LGBT dalam DLC Left Behind? Oh ini adalah sampah sesarap-sarapnya!”

Itulah kata-kata yang pernah keluar daripada mulut penulis.

Walau bagaimanapun, di sebalik kemarahan membuak-buak ini, penulis masih meletakkan secebis harapan terhadap game ini dan masih lagi mempunyai kepercayaan, walaupun nipis, terhadap Naughty Dog.

Dan ternyata, setelah habis bermain Part II, Naughty Dog masih lagi mempunyai magisnya yang tersendiri. Seperti yang penulis tegaskan dalam reviu, Part II bukanlah sebuah game yang sempurna, masih banyak kekurangan yang penulis telah sebutkan, namun ia tidaklah seteruk atau ‘sesampah’ seperti yang kita baca dalam spoiler tertiris itu.

Untuk menjawab pertanyaan yang bertalu-talu ditanyakan korang kepada JomGaming ketika menerbitkan reviu pada minggu lalu, dan akhirnya kami boleh jawab sekarang. Ya, ada beberapa butiran yang ada dalam spoiler itu adalah benar, dan ada juga butiran lain yang bagi penulis tidak berasas.

Harus Adil

Ia sebenarnya umpama langit dan bumi apabila membandingkan teks (spoiler) pendek yang hanya mempunyai beberapa patah perkataan itu dengan pengalaman yang dinikmati selama kira-kira 30 jam gameplay dalam sesebuah video game.

Ya benar. Joel mati dalam tempoh 1 jam pertama. Ellie dalam game ini penuh dengan kebencian dan dendam. Selain Ellie, kita akan turut bermain sebagai Abby. Ini semua adalah benar, namun ia perlu dihadam dalam bentuk yang lebih adil. Setiap asbab musabab, setiap sub-plot, setiap karakter yang mempunyai backstory tersendiri, dan melihat tema dan pengajaran game ini secara keseluruhan, bukan mencelop sedikit-sedikit plotnya — semua ini membuatkan apa yang dibaca dalam spoiler awal itu boleh dicampak ke luar tingkap.

Apa Kisahnya?

Ceritanya begini. Susur masa Part II ini mengambil kira-kira empat tahun selepas kejadian penghujung game pertama. Joel dan Ellie, bersama-sama dengan ratusan manusa lain, kini menetap kekal di Jackson, sebuah pekan yang boleh dikatakan aman dan mempunyai sistemnya yang teratur. Seperti kebanyakan mana-mana komuniti manusia, setiap individu dalam pekan ini mempunyai tugas masing-masing — antaranya melakukan rondaan di sekitar perimeter pekan Jackson bagi memastikan tiada kumpulan-kumpulan zombi yang menghampiri.

Sama seperti kebanyakan remaja yang kini semakin meningkat dewasa, hubungan Joel dan Ellie pada ketika ini sudah semakin renggang. Mengapa? Penulis tidak mahu mendedahkan spoiler sepenuhnya dalam artikel ini.

Pada suatu hari, Joel ditugaskan bersama Tommy untuk membuat rondaan ke satu kawasan, manakala Ellie dan Dina pula ditugaskan ke satu kawasan lain. Dijadikan cerita, rondaan Joel-Tommy seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana telah lari daripada jadual yang sepatutnya. Ellie yang mula risau, telah keluar untuk mencari Joel (dan Tommy) secara berseorangan. Maka terjadilah detik yang cukup kontroversi itu, Joel telah dibunuh oleh Abby di depan mata Ellie.

Tolak tepi segala butiran spoiler yang pernah kita baca. Bayangkan korang sebagai seorang yang langsung tidak membaca spoiler. Pasti korang akan cukup tertanya-tanya, siapakah wanita muda yang cukup kasar dan sasa ini, yang tiada angin, tiada ribut, begitu berdendam untuk membunuh Joel? Harus diingat, hanya Joel. Ellie dan Tommy dibiarkan hidup.

Ellie dan Abby?

Ya, kita akan bermain sebagai Abby juga, selain Ellie. Boleh dikatakan 1 per 3 daripada gameplay, kita akan menggunakan Abby. Dengan membaca spoiler sahaja, kita pasti akan mempersoalkan dengan penuh kemarahan — mengapa kita perlu menggunapakai seorang karakter yang membunuh hero yang kita semua sayang daripada game pertama?

Part II bukanlah sebuah kisah yang amat ringkas untuk disimpulkan begitu sahaja. Kita akan dibawa oleh Naughty Dog untuk menerokai kisah di sebalik Abby. Apakah setiap faktor yang mempengaruhi Abby untuk membunuh Joel sebegitu rupa? Apa yang Abby perlu lalui daripada tindakan lalu Joel yang telah memberi kesan mendalam kepada kehidupan Abby? Sebenci-bencinya kita untuk bermain sebbagai Abby, namun penulis tidak dapat menafikan bahawa backstory Abby ini ditulis dengan begitu baik.

Penulis bukanlah ingin menyokong tindakan Abby yang membunuh Joel, tapi Naughty Dog mempunyai premis ceritanya yang kuat, iaitu memperlihatkan kesan buruk terhadap sifat dendam. Seperti yang penulis katakan dalam reviu, game ini bukan sahaja akan menyeksa karakter-karakter yang ada dalamnya, tetapi akan turut “menyeksa” para pemain dengan naratif penceritaan yang sangat kompleks lagi merumitkan.

Momen paling menyeksakan sepanjang game ini ialah waktu di mana kita akan terus-menerus memakai Abby di kala kita tahu insan inilah yang telah membunuh Joel dengan begitu kejam. Saat-saat ini, penulis memang benar-benar meletakkan controller kerana tidak sanggup untuk meneruskannya.

Naughty Dog akan memerahkan otak para pemain berfikir tentang apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai sesuatu yang bermoral atau tidak bermoral. Dalam sekuel ini, tiada perbuatan yang dimaksudkan dengan baik atau jahat, apa itu garis “hitam” atau garis “putih” — yang ada hanyalah garis “kelabu” yang berada di tengah-tengah antaranya — kerana setiap keputusan yang diambil dalam game ini mempunyai sebab dan naratifnya yang tersendiri.

Transgender?

Satu butiran dalam spoiler tertiris sebelum ini yang pada pandangan penulis adalah salah ialah Abby bukanlah seorang transgender. Abby hanyalah seorang wanita yang berbadan sasa yang mempunyai kekuatan fizikal lebih hebat berbanding purata wanita. Namun, Abby belum lagi sampai ke tahap “transgender” yang menukar jantina dari perempuan ke lelaki. Malah, Abby dalam game ini turut bercinta dengan lelaki dan masih dipanggil “she” atau “her”.

Walau bagaimanapun, seperti yang penulis banyak kali sebutkan dalam reviu, penulis tidak nafikan bahawa Naughty Dog tetap memasukkan agenda LGBT yang kuat dalam Part II. Seperti yang kita dapat lihat dengan jelas dalam trailer (serta pertama kali didedahkan dalam DLC Left Behind), Ellie merupakan seorang yang cenderung ke arah hubungan sejenis, dan beberapa karakter sampingan lain juga mendokong representasi golongan LGBT.

Sebagai sebuah naskhah barat yang mengangkat budaya-budaya songsang seperti ini, semestinya ia bukan satu elemen yang mengejutkan. Kita dapat saksikan dalam bermacam filem dan siri televisyen dari Barat yang mempunyai agenda seperti ini, namun pada pandangan penulis, agenda dalam The Last of Us Part II tidak terlalu kuat seperti naskhah-naskhah lain.

Bukan ingin menghalalkan apa yang Naughty Dog cuba selitkan dalam sekuel ini, cuma penulis ingin menyatakan bahawa tema agenda LGBT dalam game ini masih tidak mengatasi dua tema utamanya — iaitu tema hubungan Joel-Ellie dan tema implikasi daripada melayan perasaan dendam yang tidak berkesudahan.

Penamat Masih Lagi Misteri

Perkara paling mustahak yang korang perlu tahu tentang spoiler tertiris itu ialah ia hanya mendedahkan lebih kurang 3 per 4 sahaja daripada keseluruhan jalan cerita. 1 per 4 atau penamat kepada Part II tidak disebut langsung dalam spoiler tertiris tersebut.

Itu belum lagi disentuh tentang banyak lagi plot-plot awal yang sebenarnya juga tidak disebut dalam spoiler tertiris itu. Pegang kata penulis ini bahawa di sebalik Joel telah ditamatkan riwayat seawal satu jam pertama, plotnya tetap disulam dengan banyak flashback. Kita akan dapat saksikan bagaimana hubungan antara Joel dan Ellie berkembang dari penghujung game pertama dengan empat tahun itu (antara game pertama dengan sekuel). Plot tidak langsung menghilangkan atau mensia-siakan tempoh waktu empat tahun itu kerana ia akan diisi dengan flashback yang menyentuh emosi peminat game pertama. Senang cerita, kita masih lagi akan disajikan dengan aktiviti-aktiviti bersama menarik antara Joel dan Ellie.

Percayalah, sejauh mana pun agenda LGBT yang cuba dimasukkan, tema hubungan Joel dan Ellie masih lagi menjadi tunjang kepada pengakhiran kisah Part II ini. Tidak keterlaluan untuk penulis katakan yang penamatnya lebih ke arah indah atau ‘bittersweet’ berbanding spoiler yang telah tertiris itu.

Pemasaran Sengaja Dikelirukan?

Antara kekecewaan yang penulis tidak dapat sebutkan dalam reviu sebelum ini ialah bagaimana kurang gemar dengan cara Naughty Dog mempromosikan game ini. Boleh kita copkan sebagai satu pemasaran yang sengaja dikelirukan (misleading).

Dalam banyak trailer yang dikeluarkan, Naughty Dog ada memaparkan banyak babak Ellie dan Joel. Namun, beberapa babak itu sengaja diubah khas untuk trailer sahaja, dan ia sebenarnya ada kelainan dalam game sebenar kerana tidak mahu mendedahkan yang Joel sebenarnya akan mati agak awal dalam game.

Antaranya ketika babak dalam gambar di bawah. Gambar pertama itu ialah dari screenshot rasmi dan trailer yang dikeluarkan sebelum pelancaran, manakala gambar kedua pula apa yang sebenarnya yang ada dalam game, yang mana ia adalah babak flashback dua tahun sebelum itu.

The Last of Us Part II Ditunda Ke Satu Tarikh Pelancaran Yang Tidak Dinyatakan
Gambar dari screenshot rasmi dan trailer yang dikeluarkan sebelum pelancaran.
Ini Artikel Untuk Korang Yang Dah Baca Spoiler Tertiris Dan Hilang Minat Terhadap The Last of Us 2
Babak dalam game yang sebenarnya flashback dua tahun sebelum itu.

Di samping itu, masih ingat satu babak dalam trailer pengumuman tarikh pelancaran seperti dalam gambar di bawah? Dalam trailer kita disajikan dengan Joel menutup mulut Ellie. Namun sebenarnya dalam game bukan Joel, tetapi Jesse yang mana pada ketika Joel sudahpun mati.

Rasmi! The Last of Us Part II Bakal Dilancarkan Pada 21 Februari 2020, Saksikan Trailer Terbaru

Apa Kesimpulannya?

Kesimpulannya, The Last of Us Part II merupakan sebuah sekuel yang mesti dimainkan oleh korang yang sayangkan game pertama. Game pertama diakhiri dengan Ellie bertanyakan kepada Joel tentang apakah sebenarnya yang berlaku di hospital ketika Joel membawa Ellie pergi. Tidakkah korang mahu mengetahui sejauh mana Joel akan berahsia dengan Ellie? Sekiranya Ellie mendapat tahu apa sebenarnya yang berlaku, apakah reaksi Ellie? Semua itu bakal terjawab dalam sekuel ini — satu perasaan yang hanya berharga seandainya dinikmati melalui video game, bukan melalui pembacaan teks (spoiler) sahaja.

Ya, akan ada pemain yang tidak akan suka dengan jalan cerita. Ia akan membuatkan para peminat berpecah-belah. Ia bukan sebuah kisah yang para pemain idam-idamkan, tetapi sebuah perjalanan realistik dan matang yang perlu ditempuhi oleh karakter-karakter ini dalam dunia pasca-apokalips.

Namun, sekiranya korang tidak mampu untuk menghadam sedikit pun agenda LGBT yang mereka cuba tanamkan, maka cubalah jangan menghalang pemain lain menikmatinya. Penulis berpendapat, apa jua bentuk naskah — sama ada buku, kitab, esei, novel, persembahan teater, filem, siri televisyen mahupun video game, apa jua agenda, ideologi dan falsafah — tidak salah untuk kita baca, perhati, tonton, dan yang paling penting, kaji, untuk diambil iktibarnya, dan dijauhi sempadannya.

Malah game ini, merupakan sebuah game yang mempunyai rating 18 tahun ke atas, maka ia adalah satu peringkat umur yang cukup matang untuk membezakan yang baik dan mana buruk.

Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh.

JomKomen!