Sama seperti mana-mana sukan tradisional yang lain, esports bukan sahaja memerlukan skil-skil teknikal sama ada secara individu atau berpasukan yang mantap, malah kekuatan mental juga memainkan peranan yang cukup penting.

Melangkahkan kaki pentas esports, terutamanya dalam peringkat antarabangsa, tanpa memiliki mental yang kental adalah umpama masuk ke kandang harimau. Anda pasti akan dibaham sehingga licin oleh gergasi-gergasi esports yang semestinya mempunyai keyakinan yang jauh lebih tinggi daripada anda.

Begitulah apa yang pernah terjadi kepada pasukan esports Counter Strike: Global Offensive (CSGO) dari Denmark, iaitu Astralis. Mereka bukanlah tidak mempunyai skil-skil teknikal yang mengagumkan, tetapi apabila pertandingan kian memasuki tahap yang lebih tegang, mental mereka mula goyah.

Di kejohanan-kejohanan besar, mereka sering terkandas tanpa sempat melayakkan diri ke peringkat akhir. Antaranya, di ESL One Cologne 2016, mereka menduduki tempat ke 5-8, manakala di MLG Major Championship: Columbus, mereka kecundang di peringkat separuh akhir (kedudukan ke 3-4).

Maka, pasukan ini mula mencari jalan penyelesaian kepada sumpahan mereka ini – dengan membawa ahli psikologi dari Finland, Mia Stellberg ke dalam pasukan mereka.

“Pertama sekali, kami mula membentuk semangat pasukan. Kemudian saya fokuskan kepada kerja-kerja individu bersama mereka kerana setiap daripada mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan sebagai pemain,” kata Stellberg dalam satu dokumentari pendek terbitan Marshable.

“Ia sentiasa tentang hari demi hari. Kamu perlu lihat mereka ini berkembang, dan mereka perlu menyesuaikan diri dengan itu. Jadi, setiap hari adalah berbeza.”

“Saya pertimbangkan untuk mereka ini sentiasa aktif. Bermakna, mereka ada gaya hidup sendiri, mereka berlari, pergi ke gim, makan bersama, ya, ia sangat penting – untuk mereka cergas.”

Apa kesannya kepada pasukan Astralis selepas mengambil Mia Stellberg sebagai ahli psikologi mereka? Mereka layak ke peringkat akhir kejohanan besar buat kali pertama! Apa terjadi di perlawanan akhir ELEAGUE Major 2017 itu? Mereka bergelar JUARA!

Astralis, juara ELEAGUE Major 2017.

Perlawanan tersebut, Astralis telah berjaya menewaskan sebuah pasukan yang bukan calang-calang, iaitu Virtus.pro – dengan keputusan 2-1.

Mengulas tentang esports, Stellberg berkata, “secara umum, esports adalah sangat dramatik, ia tegang, sukan yang memberikan tekanan, dan tidak boleh hilang fokus walaupun satu saat.”

“Saya berikan penghormatan yang tinggi kepada semua atlet esports.”

Kata ketua pasukan Astralis, “saya masih ingat kita mengadakan perbincangan di pejabat dengan ahli psikologi sukan kami. Katanya, dalam beberapa bulan, kamu akan menjadi pasukan terbaik di dunia – dan kebanyakan dari kami seperti tidak yakin dengan kata-katanya disebabkan tahap kami sekarang.”

“Kini kami telah mencapainya. Dan apa yang penting sekarang adalah kami mahu kekal di sini, sesuatu yang sangat sukar, jadi kami akan terus berjuang, teruskan memperbaiki diri dan berharap tahun ini akan menjadi milik kami.”

Tambah Stellberg pula, “Kini mereka adalah pasukan nombor satu dunia. Ia mudah untuk pergi ke posisi itu, tetapi ia lebih sukar untuk mengekalkannya, dan tugas saya sebenarnya bermula di sini.”

JomKomen!