Bloomberg telah mengeluarkan satu artikel yang cukup panas. Selain mendedahkan tentang projek remake The Last of Us, Bloomberg turut melaporkan tentang satu lagi francais milik Sony.
Idea sekuel Days Gone yang disediakan oleh Sony Bend Studio dilaporkan telah ditolak oleh Sony, sekaligus memaksa studio itu kini sedang membangunkan hak intelek (IP) atau game baharu.
Isi yang ditekankan dalam laporan Bloomberg ini adalah bagaimana syarikat itu mengendalikan projek-projek dengan studio-studio di bawahnya. Sony Bend Studio dikatakan telah diletakkan di bawah dua projek untuk membantu Naughty Dog, iaitu mode multiplayer The Last of Us Part II dan satu lagi projek Uncharted yang belum diumumkan.
Keputusan ini dibuat setelah Sony dikatakan menolak idea sekuel Days Gone oleh Sony Bend Studio, walaupun mencatatkan jualan yang sederhana (tidak begitu bagus, tidak begitu teruk). Disebabkan perkara ini, beberapa pekerja Sony Bend Studio telah meninggalkan studio, antaranya dua pembangun utama disahkan meninggalkan Sony Bend Studio pada Disember 2020.
Walau bagaimanapun, menurut Bloomberg lagi, ketika ini Sony Bend Studio sudah tidak lagi terlibat dalam pembangunan projek baharu Uncharted tersebut, atas preminat studio itu sendiri. Sebaliknya, mereka kini sedang membangunkan sebuah game lain serba baharu.
Dari segi jualan dan reviu, Days Gone tidaklah menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan. Namun, bagi mereka yang sukakan game ini, pastinya ini merupakan satu berita buruk.
Sama-sama kita nantikan apa-apa respon daripada Sony terhadap dakwaan ini.
Comments
Loading…