Sebelum ini, kita sudahpun mendengar khabar angin tentang game eksklusif PlayStation ini akan dilancarkan ke PC. Terkini, satu lagi laporan lain yang menyatakan perkara sama telah muncul, dan kali ini ia menyatakan sekali tentang waktu pelancaran.
Menurut Kotaku, yang mendapat maklumat daripada beberapa sumber yang mereka percayai, Horizon Zero Dawn akan dilancarkan ke platform PC pada tahun ini. Game ini dikatakan akan keluar di kedua-dua platform Steam dan Epic Games Store.
Sekiranya laporan ini adalah sahih, ia bakal menjadikan game pertama daripada Guerrilla Games yang dilancarkan ke platform bukan PlayStation sejak Sony membeli studio berpangkalan di Belanda itu pada tahun 2005.
Jika Horizon Zero Dawn dilancarkan ke PC, ia boleh dikatakan sebagai game pertama yang “benar-benar eksklusif PlayStation” yang dilancarkan ke platform selain PlayStation. Untuk Death Stranding, ya, ia akan dikeluarkan ke PC pada tahun ini juga namun harus diingat bahawa Kojima Productions adalah studio yang bukan di bawah Sony (studio indie), malah pelancarannya ke PC juga bukan diterbitkan oleh Sony, tetapi oleh 505 Games.
Satu persamaan antara Death Stranding dan Horizon Zero Dawn yang boleh kita ambil untuk menguatkan ura-ura ini ialah kedua-dua game dibangunkan menggunakan Decima Engine, enjin game kepunyaan Guerrilla Games.
Selain itu, tiga game serangkai, Heavy Rain, Beyond: Two Souls, dan Detroit: Become Human dari Quantic Dream, yang kini bukan lagi di bawah kendalian Sony, juga diterbitkan ke PC secara persendirian tanpa campur tangan Sony.
Laporan ini datang daripada Kotaku, maka kita boleh pegangnya sebagai satu laporan yang agak kukuh. Apa-apa pun, selagi ia belum diumumkan secara rasmi oleh Sony, anggap sajalah ia masih satu khabar angin.
Comments
Loading…