Horizon Chase Turbo: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Horizon Chase Turbo merupakan sebuah game racing dengan gaya dan grafik retro 16-bit, berinspirasikan daripada game-game arcade yang pernah ada ketika era 80-an dan 90-an — boleh dimainkan di PC, PS4, Xbox One dan Switch.

Gaya dan inspirasinya mungkin bertemakan retro, namun kandungannya diberikan dengan nafas moden. 32 buah kereta untuk di-unlock, 109 trek di 48 lokasi untuk dimainkan — semuanya dalam sentuhan visual yang jauh lebih moden, resolusi tinggi dan 60 fps.

Penuh Nostalgia

Horizon Chase Turbo: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Dari saat pertama apabila membuka game ini, kita disajikan dengan hasil seni yang sangat berinspirasikan kepada sebuah game retro. Trek yang membengkok dan latar belakang yang bergerak pantas, bermacam jenis kereta (kereta khas untuk berlumba atau kereta bersiar-siar), runut bunyi dan muzik yang kuat seperti 90-an. Jangan kata gameplay, buka menu saja sudah menampakkan segala memori kita bermain di konsol-konsol atau arcade yang lama dahulu.

Janganlah pula apabila bermain game ini, mengharapkan agar ia mempunyai sistem fizik dan customizations seperti game-game racing masakini kerana kawalan dan butang-butang yang dicipta dalam Horizon Chase Turbo juga adalah bersifat retro. Hanya ada butang tekan minyak, brek, turbo dan kawalan kiri/kanan.

Split-Screen

Apa yang membuatkan game ini benar-benar mengimbau kenangan masa silam ialah apabila ia menampilkan keupayaan untuk bermain local multiplayer secara split-screen sehingga 4 orang pemain — satu mode yang jarang ada dalam kebanyakan game-game racing pada waktu ini.

Lebih menarik adalah mode utama dan paling seronok dimainkan, World Tour turut dibenarkan untuk bermain secara split-screen. Maknanya, kita akan bermain bersama rakan atau ahli keluarga di sebelah, sama-sama menghabiskan progress perlumbaan dari satu negara ke satu negara lain. Bukan setakat suka-suka bermain secara split-screen, tapi World Tour ini boleh membangkitkan kerjasama antara pemain.

Horizon Chase Turbo: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Multiplayer dalam World Tour sangat menghiburkan kerana pemain-pemain split-screen ini boleh bekerjasama untuk mengumpulkan markah bersama. Sebagai contoh, seorang pemain boleh mengejar tempat pertama, manakala seorang pemain lagi lebih perlahan dalam memandu kerana ingin mengumpul coins untuk menaikkan markah. Maka, dalam satu-satu perlumbaan, markah pemain yang mendapat pertama (tempat lebih tinggi) akan mendapatkan markahnya itu, dan pemain yang mengumpulkan coins akan mendapat markahnya itu — dan kedua-dua markah ini akan digabungkan.

Senang kata, untuk memudahkan kita untuk melengkapkan World Tour ini dengan lebih cemerlang, ia harus dimainkan secara split-screen.

Sesuai Untuk Kanak-Kanak

Horizon Chase Turbo: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Anak buah-anak buah penulis, yang berumur dari 7 hingga 11 tahun, sangat sukakan game ini. Mereka yang lebih banyak menghabiskan masa bermain game ini berbanding penulis sendiri. Melalui grafik berwarna-warni yang mudah untuk dihadam serta butang kawalan yang sangat, sangat mudah — ia sememangnya menarik perhatian kanak-kanak.

Apabila melihat keterujaan mereka bermain Horizon Chase Turbo, penulis seolah-olah sedang berada dalam mesin masa dan sedang menyaksikan sendiri keseronokan penulis suatu ketika dahulu apabila bermain game-game seperti ini. Mereka akan teruja apabila berjaya mendapat nombor satu, melanggar kereta-kereta lawan, bergelak ketawa ketika terbabas, dan melompat kegirangan apabila berjaya unlock kereta-kereta baharu.

Kekurangan?

Rindukan Game Racing Gaya Retro 90an? Memperkenalkan Horizon Chase Turbo

Sejujurnya, penulis tidak menemui sebarang kekurangan yang ketara dalam Horizon Chase Turbo. Kita tidak boleh nak mengecam grafiknya yang ringkas, kawalannya yang mudah, atau kandungannya yang sedikit kerana semua ini merupakan ciri-ciri sebuah game racing retro ketika era 90-an dahulu.

Mungkin, satu kekurangan yang penulis boleh fikirkan ialah harganya. Ya, harganya tidaklah seperti game-game AAA (RM250), kerana ianya bukan. Namun, harga game ini juga (RM158) mungkin terasa agak mahal kepada sesetengah pemain memandangkan kandungannya yang agak sedikit.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Rindukan Game Racing Gaya Retro 90an? Memperkenalkan Horizon Chase Turbo

Horizon Chase Turbo semestinya sebuah game BOLEH BELI untuk korang yang ingin mengimbau kembali kenangan bermain game racing retro 90-an melalui grafiknya yang berwarna-warni dan kawalannya yang sangat mudah.

Walau bagaimanapun, bagi korang yang tidak mahu membelanjakan RM158 untuk game yang ringan ini, ia adalah game BOLEH BLAH untuk korang.

+ Mengimbau nostalgia
+ Menarik perhatian kanak-kanak
+ Kehadiran split-screen sehingga 4 pemain

– Harga mahal kepada sesetengah pemain

JomKomen!