Di kala It Takes Two dicalonkan dan menjadi pilihan untuk menang sebagai game terbaik tahun ini dalam pelbagai majlis anugerah, antaranya The Game Awards 2021, muncul butiran mengenai apa yang telah dilalui oleh game itu selama ini.
Pembangun game co-op itu, Hazelight telah diarahkan untuk meninggalkan permohonan tanda dagang untuk ‘It Takes Two’ selepas menerima tuntutan daripada Take-Two Interactive, iaitu syarikat induk kepada kepada banyak francais terkemuka seperti Grand Theft Auto, Red Dead Redemption, Borderlands dan banyak lagi.
Menurut Eurogamer, tuntutan tanda dagang ini sebenarnya berlaku sebelum pelancaran It Takes Two lagi, iaitu sebelum Mac 2021.
Seorang jurucakap dari Hazelight telah memberitahu Eurogamer bahawa syarikat itu tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap pertikaian tuntutan itu, dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan.
Kenyataan dari Hazelight juga tidak menyebutkan bagaimana ia akan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk menjual atau memasarkan It Takes Two pada ketika ini — sama ada perlu menukar judul game tersebut, atau kebenaran untuk menggunakan judul sama dalam sekuelnya (sekiranya ada).
Rekod-rekod dari Pejabat Paten Amerika Syarikat menunjukkan Take-Two menuntut lebih banyak perkataan seperti “rockstar”, “social club”, “mafia”, “civilization” dan banyak lagi.
Menurut Eurogamer lagi, sebuah jenama buku muzik yang membicarakan tentang persembahan secara langsung, “Think Like A Rockstar”, juga telah meninggalkan tanda dagang mereka kerana menerima tuntutan undang-undang daripada Take-Two.
Ketika artikel ini ditulis, Take-Two belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini.
Sebagai peminat game-game yang dibangunkan Hazelight, kami berharap tuntutan ini tidak akan memberikan apa-apa kesan besar kepada game mereka akan datang.
Dalam reviu Boleh Beli or Boleh Blah!?, kami menyatakan:
“Seandainya korang ingin mencari sebuah game co-op yang sungguh menghiburkan dan penuh aksi mendebarkan, dengan idea-idea menggila yang mampu membuatkan mulut ternganga, ditambah pula dengan mini game sampingan yang melucukan, It Takes Two adalah game BOLEH BELI. Korang dan pasangan/rakan co-op akan dibawa ke satu alam fantasi bermula dari bilik tidur, stor, taman di hadapan rumah, bawah tanah, sehinggalah ke angkasa yang amat menyeronokkan.”
Comments
Loading…