Isu ketiadaan stok PlayStation 5 di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia terus semakin membingungkan.
Hari ini, seperti yang dilaporkan semalam, Sony Malaysia telah membuka kelompok kedua pra-tempah PS5 di dua kedai utama mereka iaitu Sony Store KLCC dan Sony Store The Curve.
Sejujurnya, kami tidak pergi ke dua lokasi ini kerana malas untuk beratur panjang di awal pagi. Namun, melalui satu perkongsian di Facebook Group PlayStation Malaysia Gang oleh seorang pemain yang berjaya melakukan pra-tempah, kita dapat mengetahui beberapa info yang tidak diumumkan oleh Sony Malaysia semalam.
Menurut Sani Mamat, Sony Malaysia hanya membuka 30 unit pra-tempah PS5 dalam kelompok kedua ini. Beliau tidak menyatakan di Sony Store mana yang beliau pergi, namun kemungkinan besar, satu lagi Sony Store dijangka membuka pra-tempah dengan bilangan unit yang sama.
Dalam kata lain, dari dua Sony Store ini, Sony Malaysia mungkin hanya membuka 60 unit pra-tempah PS5.
Sani yang mula beratur dari jam 6 pagi, walaupun kedai itu hanya dibukan pada jam 10 pagi, merupakan individu yang ke-21. Maknanya, terdapat 20 individu di hadapannya yang sudah mula beratur lebih awal daripada jam 6 pagi.
Berapa pula bilangan unit pra-tempah yang bakal dibuka Sony Malaysia dalam kelompok-kelompok seterusnya? Berapa kali kelompok pra-tempah sehingga unit PS5 sudah tersedia di kedai-kedai tempatan untuk kita masuk dan beli terus konsol terkini tanpa perlu beratur?
Comments
Loading…