Menu
in , , , ,

GTA V Kini Adalah Video Game Ketiga Paling Laris Dalam Sejarah, Cecah 85 Juta Unit Jualan

Sekiranya semua pemilik Grand Theft Auto V dikumpulkan dan dijadikan sebuah negara, ia akan melebihi populasi negara Jerman.

Dalam laporan suku kedua untuk tahun fiskal 2018, menerusi laporan VG247, Take-Two, penerbit video game Grand Theft Auto V telah mengumumkan bahawa game tersebut telah mencecah 85 juta unit jualan, sejak ia dilancarkan pada September 2013.

Jualan ini merangkumi kesemua lima platform yang telah dilancarkan, iaitu di PS3, Xbox 360, PS4, Xbox One dan PC. GTA V dilancarkan di PS3 dan Xbox 360 pada tahun 2013, di PS4 dan Xbox One pada 2014 dan di PC pada 2015.

Jualan ini juga telah meningkat sebanyak 5 juta unit daripada laporan yang dikeluarkan pada Mei 2017 lalu – yang mana pada masa itu telah diumumkan bahawa GTA V telah terjual sebanyak 80 juta unit.

Hasil jualan sebanyak 85 juta unit ini sekaligus telah mengesahkan bahawa GTA V adalah game ketiga paling laris pernah dicatat dalam sejarah panjang video game di dunia – yang mana ia baru sahaja memotong kedudukan Wii Sports. Wii Sports kini telah ditolak ke tangga ke-4 dengan jualan sebanyak 81 juta unit.

Dua tangga teratas yang masih lagi gah sebagai game paling laris adalah Tetris yang berada di tangga pertama dengan 170 juta unit jualan, dan Minecraft yang berada di kedudukan kedua dengan jualan sebanyak 122 juta unit jualan.

Menurut laporan terbaru daripada Take-Two itu lagi, GTA V juga kini adalah game paling laris dalam sejarah video game Amerika Syarikat, dari segi kedua-dua penghasilan (revenue) dan unit jualan, di kedua-dua unit digital dan unit fizikal.

Dengan Rockstar yang masih aktif membawakan kandungan dan kemaskini terbaru untuk GTA V, seperti Transform Races, mampukah game ini menghampiri atau mungkin memotong pula kedudukan Minecraft sebagai game paling laris dalam sejarah video game dunia? Apa pendapat korang?

JomBaca: Rockstar Beri 3 Sebab Mengapa GTA V Tidak Akan Mendapat Kandungan Single-Player Lagi

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Leave a Reply

Exit mobile version