Rockstar Games dilaporkan sedang membangunkan siri Grand Theft Auto (GTA) yang seterusnya tetapi ia masih dalam pembangunan awal dan terlalu jauh daripada pelancaran.
Laporan ini datang daripada Kotaku, yang mengatakan GTA yang seterusnya itu nanti akan dilancarkan dalam skala yang lebih kecil berbanding game-game Rockstar sebelum ini kerana syarikat itu sedang mengamalkan budaya kerja baharu.
Syarikat yang turut dikenali sebagai penerbit dan pembangun siri Red Dead Redemption itu sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila dilaporkan mengamalkan budaya kerja yang terlalu menekan staf mereka.
Oleh sebab itu, Rockstar kini telah mengubah budaya kerja mereka yang tidak lagi terlalu ‘menyeksa’ pembangun mereka, maka disebabkan itu pembangunan GTA akan perlahan.
Malah, apabila GTA 6, atau apa sahaja judul yang akan digunakan, dilancarkan, ia akan berskala kecil. Dari skala kecil itu, mereka akan mengembangkan game tersebut dari semasa ke semasa melalui penambahan kandungan selepas pelancaran. Walau bagaimanapun, memikirkan Rockstar sebagai salah satu syarikat gaming gergasi dalam industri ini, ‘skala kecil’ yang diperkatakan itu mungkin tidaklah terlalu kecil seperti yang kita bayangkan.
Laporan ini turut mengatakan disebabkan ianya masih dalam pembangunan awal, budaya kerja baharu ini mungkin boleh berubah sedikit sebanyak apabila pembangunan telah beralih ke tahap seterusnya, dan dalam situasi untuk mengejar satu-satu tarikh pelancaran.
Perubahan budaya kerja yang tidak terlalu menekan ini pastinya sesuatu yang harus diambil positif. Sebagai gamer, kita tak seharusnya menekan penerbit dan pembangun untuk melancarkan game-game baharu dalam jangka waktu yang singkat kerana insan-insan di sebalik pembangunan game itu juga manusia biasa.
Comments
Loading…