Selain sering melaporkan berita-berita mengenai Battlefield dan Call of Duty, orang dalam industri tersohor, Tom Henderson kini ada butiran baharu tentang satu lagi francais gaming yang besar.
Henderson dalam satu video baharunya di Youtube telah melaporkan bahawa Grand Theft Auto 6 akan menggunakan latar belakang Vice City versi moden, dan mungkin akan dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun 2025.
Menurutnya lagi Rockstar dikatakan telah memberikan kebebasan sebanyak mungkin kepada para pembangunnya untuk mencipta kandungan GTA Online sedia ada, sekaligus mematahkan ura-ura sebelum ini yang mengatakan GTA seterusnya akan menggunakan latar belakang Amerika pada tahun 1980-an.
Henderson mengatakan lagi bahawa Rockstar mungkin akan menggunakan strategi perubahan peta dan lokasi dari semasa ke semasa seperti yang dilakukan Epic Games dalam Fortnite.
Untuk single-player story pula, GTA 6 dikhabarkan akan mempunyai beberapa karakter yang boleh dimainkan, termasuk seorang wanita pakar teknologi.
Henderson pada asalnya menjangkakan yang GTA 6 akan dilancarkan pada 2023, namun kini beliau merasakan ia mungkin dilancarkan selewat-lewatnya pada 2025. Antara sebab utama mengapa terdapat penundaan ini adalah disebabkan Rockstar tidak mahu menekan para pekerjanya dengan terlalu banyak kerja selepas banyak laporan sedemikian baru-baru ini ketika membangunkan Red Dead Redemption 2.
GTA 6 hanya akan dilancarkan, menurutnya, untuk PC, PS5 dan Xbox Series. Rockstar dikatakan mahu konsol generasi terkini itu terjual dengan meluas terlebih dulu sebelum mereka melancarkan GTA 6.
Mengapa Rockstar sehingga kini masih belum mengumumkan GTA 6 walaupun sudah berada dalam pembikinan? Hal ini kerana Rockstar tidak mahu sebarang penundaan tarikh pelancaran diumumkan kerana ia masih lagi dalam fasa awal, menurut Henderson.
Butiran-butiran yang disebutkan Henderson ini sebenarnya ada banyak persamaan dengan ura-ura yang pernah dilaporkan pada tahun 2018.
Apa-apa pun, seperti biasa, walaupun Henderson sering mendedahkan info awal yang akhirnya menjadi sahih, kita tetap perlu mengambil berita ini sebagai hanya satu khabar angin selagi ia belum disahkan secara rasmi oleh Rockstar.
Comments
Loading…