Ketika Gotham Knights pertama kali diperlihatkan pada Ogos 2020, aku fikir ini antara game AAA yang mempunyai sesuatu yang menarik untuk disajikan. Apatah lagi ia dipromosikan sebagai sebuah game co-op. Aku adalah pencinta game co-op tegar.
Walau bagaimanapun, setelah bermain game ini, aku lebih banyak kecewa daripada seronok.
Gotham Knights telah meletakkan satu asas dan konsep game co-op AAA yang menarik, serta mempunyai visi dan potensi yang cukup besar.
Namun, elemen penting yang perlu dititikberatkan sebagai sebuah game AAA moden, telah diabaikan dalam game ini. Jujur aku cakap, Gotham Knights terasa seperti sebuah game AAA yang dilancarkan 10 tahun lepas.
Gotham Knights — BOLEH BELI or BOLEH BLAH!? Jom ikuti review ini.
Apa Cerita?

Premis cerita dan latar belakang Gotham Knights ringkas sahaja. Batman telah mati dalam satu pertarungan menentang Ra’s al Ghul. Pembukaan game ini disajikan dengan satu babak sinematik panjang yang memperlihatkan pertarungan tersebut.
Sebelum pergi meninggalkan dunia yang fana ini, Batman nampaknya telah mempersiapkan segala kelengkapan dan video untuk terus memberi tunjuk ajar kepada anak-anak didiknya iaitu Nightwing, Batgirl, Robin, dan Red Hood.
Maka tanggungjawab membanteras jenayah di bandar Gotham kini terletak di bahu keempat-empat hero ini.
Tak Boleh Terima 30FPS

Kita sekarang berada pada tahun 2022. Aku mainkan Gotham Knights di PS5, iaitu konsol paling berkuasa yang ada di pasaran sekarang. Mengapa aku masih disajikan dengan framerate 30fps? Ini sesuatu yang aku tidak boleh terima untuk sesebuah game AAA.
Berita mengenai prestasi ini telahpun tular di Internet kira-kira seminggu sebelum pelancaran. Salah seorang pembangun WB Games Montréal, Fleur Marty telah mengesahkan di channel Discord rasmi bahawa Gotham Knights hanya akan menyokong 30fps di konsol (PS5, Xbox Series).
Marty menjelaskan bahawa disebabkan beberapa fungsi seperti pengalaman co-op dalam open-world, maka secara teknikalnya mereka hanya mampu membawakan 30fps untuk konsol.
Apabila aku mula masuk saja ke dalam game ini dan melihat ia hanya memaparkan 30fps, ia terus memotong selera aku untuk terus bermain. Jujur aku cakap, aku hanya menghabiskan game ini kerana ingin membuat review.
Keseronokan bermain game itu hilang apabila melihat sebuah game aksi AAA yang menawarkan hanya 30fps — membuatkan aku rasa pening disebabkan framerate yang begitu rendah.
Grafik Terperangkap

Kekecewaan aku bukan sahaja terhenti dengan framerate sahaja. Malah, grafik, tekstur wajah, pembinaan dunia di sekeliling juga menghampakan.
Aku tidaklah melabelkan grafik dalam Gotham Knights sebagai buruk atau teruk. Tapi ia tidak melambangkan sebuah game AAA dari sebuah francais tersohor yang dilancarkan pada 2022.
Grafiknya seolah-olah terperangkap pada 10 tahun yang lalu. Kalau aku tak tahu apa-apa pasal game ini, aku pasti akan percaya kalau ada orang kata game ini sebenarnya dilancarkan pada tahun 2012.
Kalau korang masih ingat, game ini pada asalnya dirancang untuk dikeluarkan di konsol generasi lama iaitu PS4 dan Xbox One, namun hasrat tersebut telah dibatalkan. Ramai yang menjangkakan langkah tersebut adalah untuk memacu prestasi dan grafik game ini ke arah kualiti generasi terkini. Tapi jangkaan itu hanya tinggal angan-angan.
Tiada Apa Yang Baharu

Aku bukan sahaja tidak berpuas hati dengan grafik dan framerate. Bahkan jalan cerita dan misi-misi yang ditukang dalam game ini juga semacam ada sesuatu yang tidak kena.
Aku cuba juga untuk melupakan visual yang aku sedang lihat dan menyelami ke dalam naratifnya. Mungkin grafiknya sahaja sebegini rupa, mungkin ada sesuatu yang lebih baik, kata benak hati aku.
Namun, sekali lagi, harapan aku dikecewakan. Tiada apa-apa pembaharuan yang disajikan dalam game ini sama ada dari aspek jalan ceritanya, animasi aksinya, gameplay kombatnya, mahupun misi-misi yang perlu dilengkapkan.
Penceritaannya terasa hambar dengan dialog-dialog yang terasa terlalu mendatar. Plot kematian Batman juga tidak memberikan impak. Keempat-empat hero baharu ini seolah-olah terlalu cepat move on dan terlalu cepat ingin meneruskan misi membanteras jenayah di bandar Gotham.
Animasi aksi dan gameplay kombat juga terasa kaku. Sekali lagi aku sebutkan, terasa macam terperangkap dengan teknologi 10 tahun lepas. Misi-misi di jalanan juga membosankan. Elemen RPG dan progression juga biasa-biasa saja. Segala-galanya terasa seperti separuh masak.
Bukan ingin bersikap terlalu negatif, tetapi Batman: Arkham Knight yang dilancarkan pada 2015 itu merupakan game yang jauh lebih baik dari segi gameplay berbanding Gotham Knights.. Jauh lebih puas.
Membuka Ruang

Di sebalik kesemua cacamarba ini, sebagai pencinta game-game co-op, aku melihat keberanian WB Games ini sesuatu yang boleh dipuji.
Gotham Knights sebenarnya mempunyai visi dan potensi yang besar. Walaupun tidak berjaya menambat hati aku, tapi konsep game yang cuba diangkat dalam game ini sebenarnya agak menarik.
Aku sukakan bagaimana kita boleh bertukar kepada mana-mana hero untuk level up, dan setiap hero itu mempunyai style dan abiliti yang tersendiri, membuatkan kita akan berfikir terlebih dulu ingin menggunakan karakter mana sebelum memulakan misi.
Pengalaman co-op yang disediakan juga boleh dikatakan agak smooth. Para pemain mudah untuk invite rakan-rakan lain ke dalam sesi, dan kita juga mudah untuk join mana-mana public session. Sepanjang percubaan aku, matchmaking co-op juga agak pantas, dan ini amat mengejutkan memandangkan aku bermain game ini sebelum pelancaran.
Pelbagai kesilapan yang dibuat dalam Gotham Knights boleh menjadi perintis dan membuka lebih banyak ruang kepada lebih banyak game co-op superhero. WB Games tentunya ingin menebus kemarahan ramai pemain, lebih-lebih lagi dalam kemaskini co-op 4-pemain yang akan dilancarkan pada hujung November kelak.
Pesaing ketat francais DC, iaitu Marvel pastinya ingin memberitahu seluruh dunia bahawa mereka sebenarnya lebih baik dalam menghasilkan game-game co-op. Ini membuatkan aku lebih teruja.
Keputusan — BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kepada peminat tegar DC yang tidak terlalu peduli tentang grafik dan framerate, game ini BOLEH BELI. Walaupun kebanyakan misinya agak hambar, namun ia memberi peluang kepada korang untuk co-op dengan rakan dalam open-world, berganding bahu membanteras jenayah di Gotham dengan empat pilihan superhero yang mempunyai pelbagai abiliti unik tersendiri.
Walau bagaimanapun, sekiranya korang mencari sebuah game AAA moden yang menyajikan kualiti generasi terkini, dengan bermacam penambahbaikan signifikan, korang takkan jumpa dalam game ini. Game ini pastinya BOLEH BLAH. Sekiranya korang bermain di PS5, korang akan tertanya, “kenapa aku macam main game PS3 ek?”
+ Potensi co-op besar
+ 4 pilihan karakter
– Hanya 30fps untuk konsol
– Grafik 10 tahun lepas
– Kombat kaku
– Jalan cerita hambar
– Misi bosan
Comments
Loading…