Melepaslah Google.
Apabila Epic Games mengumumkan Fortnite untuk Android, mereka telah melakukan sesuatu yang agak mengejutkan. Fortnite tidak akan dilancarkan ke platform Google Play Store, sebaliknya mereka cukup yakin yang game ini mampu untuk menarik ramai pemain ke laman web rasmi Epic Games dan muat-turunnya dari sana.
Faktor utama mengapa Epic memutuskan untuk tidak membawakan Fortnite ke Play Store adalah disebabkan yuran 30% yang dikenakan oleh Google untuk meletakkan aplikasi ke platform tersebut.
Terbaru, laporan daripada Sensor Tower telah mendedahkan yang Google bakal kehilangan kira-kira USD50 juta (RM204 juta) sepanjang baki tahun 2018 ini kerana keengganan Epic melancarkan game yang sangat popular itu ke Play Store.
Indikasi ini diambil daripada anggaran yang dibayar oleh Epic kepada Apple apabila melancarkan Fortnite ke iOS melalui Apple App Store. Epic kini telah menjana sebanyak USD180 juta (RM737 juta) melalui hasil yang diterima daripada iOS sahaja. Bermakna, 30 peratus daripada hasil ini, USD54 juta (RM221 juta) telah diberikan kepada Apple, satu jumlah wang yang Epic tidak mahu berikan kepada Google.
Berbeza dengan Android yang boleh muat-turun aplikasi dari mana-mana sumber pihak ketiga, iOS pula adalah sebuah sistem operasi yang tertutup. Pengguna iOS hanya boleh memuat-turun aplikasi dari App Store sahaja.
Epic juga sebelum ini telah mendedahkan yang jika iOS membenarkan muat-turun dari sumber lain, mereka akan melakukan perkara yang sama seperti mana lakukan kepada Fortnite untuk Android.
Comments
Loading…