Aku boleh simpulkan God of War Ragnarok sebagai sebuah game yang menepati definisi sebenar sebuah sekuel. Ia mengekalkan apa yang bagus dalam game pertama dan menambahbaik segala aspek dalam sekuelnya.
God of War yang dilancarkan pada tahun 2018 telah meletakkan satu penanda aras yang cukup tinggi untuk sesebuah game soft reboot kepada satu francais yang cukup popular. Sekuelnya ini telah melengkapkan game sebelumnya yang boleh dikatakan hampir sempurna.
Aku boleh umpamakan God of War yang keluar pada 2018 itu seperti makan nasi lemak kegemaran yang dijual berhampiran kawasan perumahan, manakala God of War Ragnarok pula seperti menikmati nasi lemak yang disajikan di hotel bertaraf 5 bintang yang disediakan oleh chef terkemuka.
Kedua-duanya adalah nasi lemak yang sedap, tapi nasi lemak hotel ini lebih berlemak, lebih banyak rencah, lebih banyak lauk pauk dan dihidangkan dengan lebih kemas.
Apa Ceritanya?

God of War Ragnarok bermula kira-kira beberapa tahun selepas God of War.
Dari segi umur, Atreus kini sudah memasuki usia remaja. Namun dari segi jalan ceritanya, God of War Ragnarok betul-betul bermula selepas apa yang terjadi dalam game sebelumnya.
Game bermula dalam situasi Kratos dan Atreus sentiasa dalam keadaan berwaspada setelah mereka menghapuskan Baldur dan dua anak Thor, iaitu Magni dan Modi. Pembukaan game disajikan dengan serangan mengejut dari Freya, iaitu ibu kepada Baldur.
Walau bagaimanapun, keadaan bertambah tegang dan lebih mengejutkan apabila Thor dan Odin singgah di rumah Kratos dan Atreus untuk berbincang tentang apa yang mereka telah lakukan terhadap anak dan cucu-cucu Odin.
Apakah tawaran Odin? Apakah reaksi Kratos? Apakah rancangan licik Atreus? Adakah dendam Thor akan terbalas? Semuanya akan terjawab dalam God of War Ragnarok.
Pelengkap Segalanya

Seperti yang aku katakan tadi, God of War yang dilancarkan pada tahun 2018 telah meletakkan satu penanda aras yang begitu tinggi. Sehinggakan, aku rasa yang Santa Monica Studio sebenarnya sukar untuk membawakan sesuatu yang lebih mengagumkan dalam sekuel ini.
Aku secara keseluruhannya amat berpuas hati dengan game ini. Namun, aku yakin akan ada sesetengah peminat yang mungkin sedikit hampa dengan game ini sekiranya mereka mengharapkan sesuatu yang jauh lebih mengejutkan berbanding game sebelumnya.
Itulah, apabila telah mengeluarkan sebuah game yang terlalu jauh ke hadapan pada tahun 2018, ia seolah-olah memakan diri sendiri. Dari satu sudut, kita boleh katakan yang Santa Monica Studio seperti tidak tahu nak tambahbaik apa lagi dalam sekuel ini kerana game sebelumnya tiada cacat cela.
Aku berpandangan, salah satu sebab mengapa tiada perbezaan yang begitu ketara antara God of War Ragnarok dengan game sebelumnya adalah disebabkan game ini masih dilancarkan untuk PS4. Apa jua yang mereka ingin lakukan, ia perlu dapat dimainkan di konsol generasi lama itu. Oleh itu, mereka tidak dapat menggunakan keupayaan sebenar PS5 dengan sebaik mungkin.

Tapi perkara ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Bukanlah bermakna God of War Ragnarok tidak membawakan sebarang perubahan. Sebaliknya, segala aspek dalam game ini telah dikembangkan dengan cemerlang sekali — namun masih dalam kerangka, konsep dan asas sama yang telah mereka pasakkan dalam game tahun 2018 itu.
Jalan ceritanya berganda lebih panjang. Gameplay jauh lebih mendalam dan lebih variasi. Grafik, persekitaran dan pemandangan sememangnya lebih menggiurkan. Semuanya diadun secukup rasa.
2 Dalam 1

Santa Monica Studio pernah mendedahkan yang mereka pada asalnya merancang untuk mengeluarkan trilogi untuk reboot God of War yang baharu ini.
Walau bagaimanapun, rancangan tersebut telah beralih arah di mana mereka memutuskan untuk menjadikan game kedua ini sebagai game terakhir dalam pengembaraan Kratos di tanah Norse ini.
Aku pada mulanya agak skeptikal dengan perubahan ini. Aku fikir mereka akan memotong banyak kandungan kerana tidak mahu meneruskan game ketiga. Tapi ternyata aku silap.
Dari segi kandungan yang disajikan, Santa Monica Studio seolah-olah menggabungkan game kedua dan ketiga ke dalam God of War Ragnarok. 2 dalam 1.
Jalan cerita utamanya sememangnya sangat panjang. Aku menghabiskan lebih 30 jam hanya untuk bermain story utamanya dan tidak menyentuh mana-mana side mission.

Lebih banyak senjata dan armor untuk di-unlock. Lebih banyak side mission untuk diselesaikan. Lebih banyak karakter untuk dimainkan. Ya betul, tanpa menyebutkan sebarang spoiler, God of War Ragnarok turut membenarkan kita untuk mengawal Atreus dalam sesetengah mission.
Dari segi map pula, kalau game sebelumnya hanya membenarkan kita untuk akses beberapa Realm sahaja, kali ini dalam God of War Ragnarok, kita akan dibawa masuk ke dalam semua sembilan Realm yang ada dalam mitologi Norse. Selepas tamat story utama pun, kita boleh bergerak bebas secara open-world ke semua Realm ini.
Kisah Yang Selamat

Aku sifatkan kisah penutup kepada perjalanan Kratos di dunia Norse ini sebagai satu kisah yang selamat atau terlalu berhati-berhati. Hal ini kerana aku mudah untuk meramalkan apa yang akan berlaku kepada penamatnya, dan bagi aku ia terlalu ‘happy ending’.
Dengan apa yang mereka sajikan, ya aku berpuas hati. Tapi aku secara peribadi kurang gemar dengan kisah penamat yang terlalu gembira sebegini. Aku fikir Santa Monica Studio mungkin tidak cukup berani untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan atau sesuatu yang lain daripada yang lain.
Nak kata tiada plot twist, ada je. Tapi plot twist yang dibawakan tidaklah terlalu besar. Tidak cukup untuk membuatkan aku benar-benar terkejut.
Menjadi Seorang Bapa

God of War Ragnarok memperkenalkan dan menerokai lebih banyak karakter. Selain Kratos dan Atreus, tiga watak yang turut menyerlah dalam sekuel ini adalah Odin, Thor dan anak perempuannya, Thrud.
Tema dan pengajaran yang ditekankan dalam game ini adalah bagaimana untuk menjadi seorang bapa yang baik. God of War Ragnarok tidak memperkenalkan mana-mana karakter bapa yang sempurna. Sebaliknya, setiap bapa yang ada dalam game ini memiliki sesuatu yang boleh kita ambil iktibar.
Sama ada Kratos, Odin atau Thor, semuanya mempunyai kesilapannya yang tersendiri dalam membesarkan dan mendidik anak masing-masing. Kita dapat lihat bagaimana di setiap peringkat usia anak-anak itu, terdapat cara yang berbeza untuk mendekatinya.

Bila sebut pasal karakter, Odin merupakan karakter yang paling aku suka dalam God of War Ragnarok. Karakter Odin ini mengingatkan aku kepada Gus Fring dalam siri Breaking Bad dan Beter Call Saul.
Dari satu perspektif, kita akan nampak Odin ini satu watak yang tenang, tegas dan berdisplin. Ada sisi lembutnya. Tapi jauh di sudut hati, kita tahu yang karakter ini bukan boleh kita buat main-main kerana dia sememangnya cukup jahat. Kita akan sentiasa rasa tidak selamat dan takut walau betapa manis kata-katanya.
Gameplay Dikembangkan

Seperti yang aku katakan tadi, gameplay God of War Ragnarok menggunakan asas dan konsep yang sama dengan God of War 2018. Kalau korang dah pernah mainkan game sebelumnya, korang akan terus familiar dengan kombat dalam God of War Ragnarok.
Walaupun familiar, tetap banyak perkara-perkara baharu yang perlu kita belajar kerana ia membawakan lebih banyak senjata, kombo, dan puzzle.
Bercakap soal kombo, kita bukan sahaja perlu memikirkan tentang kombo yang boleh dilakukan Kratos. Atreus sebagai companion kepada Kratos, yang kini sudah mencecah usia remaja juga memiliki lebih banyak gerakan kombo yang lebih menarik untuk kita mahirkan.
Kombat dikembangkan lagi dengan bermacam jenis gerakan bertahan. Kratos bukan sahaja boleh evade, block dan parry, bahkan perlu juga double tap L1 untuk counter satu serangan unik musuh.
Puzzle yang disajikan juga bertambah kompleks. Apabila dapat menyelesaikan satu-satu puzzle, aku merasa cukup puas kerana aku tahu puzzle yang disediakan agak rumit. Kita perlu menggabungkan lebih daripada satu senjata Kratos dan beberapa jenis anak panah Atreus dalam satu-satu puzzle.
Sedikit Glitch

Aku mengalami satu sahaja situasi isu glitch. Ia berlaku ketika pertarungan terakhir sekali dalam story utamanya.
Game akan freeze dan terus crash apabila melakukan satu gerakan ini. Mulanya aku tak pasti mengapa glitch ini berlaku dan ia amat mengjengkelkan.
Kemudian, setelah lebih 10 kali mencuba, baru aku perasan yang game akan freeze setiap kali melakukan gerakan tersebut. Maka aku berhenti melakukannya dan bertukar kepada strategi lain.
Selain pertarungan terakhir ini, aku tidak menemui apa-apa glitch atau bug lain yang game-breaking.
Keputusan — BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Pencinta Kratos sejak zaman PS2? Dah mainkan God of War 2018? Jangan fikir panjang, God of War Ragnarok pastinya BOLEH BELI. Melalui sinematik one-shot yang dipaparkan dari awal sampai habis, sekuel ini menampilkan sebuah penutup yang cukup kemas kepada saga Kratos di mitologi Norse. Segala aspek bagus yang ada dalam God of War 2018 telah dikembangkan dan ditambahbaik dalam God of War Ragnarok.
Walau bagaimanapun, sekiranya korang mengharapkan sesuatu yang lebih “wow” berbanding game sebelumnya, mungkin game ini BOLEH BLAH untuk korang. Tiada kejutan yang begitu besar yang disajikan dalam God of War Ragnarok jika dibandingkan dengan God of War 2018 kerana ia menggunakan kerangka yang sama.
+ Penutup cerita yang kemas
+ Segala aspek ditambahbaik
+ Lebih banyak senjata, armor
+ Lebih banyak companion, kombo
+ Puzzle lebih rumit
+ Tips menjadi bapa
– Tiada sebarang kejutan
– Jalan cerita mudah dijangka
Comments
Loading…