in , , ,

GigaBash: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Secara keseluruhannya, GigaBash boleh dikatakan sebuah game indie yang berjaya mencapai objektinya.

Game brawler ini membawakan gameplay yang mudah difahami, dalam masa sama mempunyai kombat yang agak mendalam. Ia juga merupakan sebuah party game yang sesuai dimainkan bersama rakan-rakan dan sanak saudara untuk sama-sama bergelak ketawa.

Walaupun begitu, penulis tidak nampak bagaimana GigaBash akan mampu untuk membuatkan para pemain terus bermain selepas 5 atau 10 jam permainan.

Senang kata, GigaBash menawarkan gameplay yang menghiburkan, namun sukar untuk membuatkan kita terus melekat dalam jangka waktu yang lama.

Hentak-Hentak Raksasa

GigaBash merupakan sebuah game brawler dengan pandangan isometrik dari atas (top-down).

Untuk bagi senang faham, bayangkan game-game brawler seperti Super Smash Bros. Ultimate dan Brawlhalla, tapi GigaBash bukanlah dalam bentuk 2D platformer, sebaliknya dalam bentuk 3D isometrik.

Disebabkan bentuk 3D isometrik itu, penulis merasakan yang GigaBash merupakan sebuah game brawler yang lebih menyeronokkan berbanding game-game brawler yang dimainkan dalam bentuk 2D platformer.

Melalui 3D isometrik juga, lebih banyak jenis gerakan dan serangan yang boleh dibawakan ke dalam gameplay. Setiap karakter mempunyai sekurang-kurangnya 10 serangan asas. Itu belum dicampur lagi skil blok dan gabungan gerakan-gerakan lain.

Macam Permainan Kecil

Tarikan utama GigaBash adalah tema karakter dan latar belakangnya. GigaBash membawakan karakter-karakter raksasa-raksasa besar atau titan yang sering kita nampak dalam cerita-cerita yang diinspirasikan daripada filem genre kaiju.

Oleh itu, setiap arena yang ditampilkan adalah sangat menarik kerana latar belakangnya kelihatan seperti kawasan-kawasan mini. Karakter-karakter yang kita sedang gunakan adalah raksasa-raksasa gergasi, maka, di sekeliling kita pula adalah bangunan-bangunan di bandar yang sama saiz dengan karakter kita.

Disebebkan perspektik tersebut, penulis merasakan seolah-olah kita sedang bermain sebagai patung-patung permainan. Kita gunakan karakter-karakter hero atau raksasa kegemaran, kemudian menghentak dan memusnahkan segala persekitaran di sekeliling. Ditambah pula dengan destructions yang mantap, memang puas!

Cerita Berskala Kecil

GigaBash menampilkan tiga mode iaitu Cerita, Couch Play dan Online.

GigaBash membawakan 10 karakter. Namun, dalam Cerita, ia hanya menyediakan kisah untuk 4 buah karakter sahaja iaitu Gorogong, Pipijuras, Woolley dan Thundatross. Harus diingat, cerita yang disajikan dalam GigaBash hanyalah dalam skala kecil sahaja. Kalau korang mencari kisah yang mendalam dan panjang, korang takkan dapat dalam game ini.

Daripada 4 kisah yang dibawakan, penulis hanya tertarik dengan satu kisah sahaja iaitu Thundatross. Bermain Cerita yang disajikan untuk Thundatross umpama membaca komik-komik mini. Jalan cerita yang pendek, tetapi tetap memberikan semangat, ilustrasi dan animasi yang mengujakan.

Lagi 3 kisah karakter itu agak membosankan yang membuatkan penulis tidak peduli pun tentang apa yang terjadi.

Party Game Menghiburkan

Mode kedua yang ada dalam GigaBash adalah Couch Play.

Bagi penulis mode ini adalah kekuatan GigaBash kerana ia adalah mode yang paling menghiburkan. Kita boleh sambungkan sehingga 4 controller, dan 4 pemain ini boleh bergocoh antara satu sama lain dalam arena yang sempit itu.

Couch Play ini dibahagikan kepada 3 lagi mode di dalamnya iaitu Free-for-All, Tempur Berpasukan dan Onar.

Free-for-All adalah mode 1v1v1v1, Tempur Berpasukan adalah mode 2v2, dan Onar pula adalah mode party game yang sebenar. Dalam Onar kita boleh memilih bermacam-macam party game yang mencuit hati seperti Lohong Durjana, Bom Jangka, Lava Membara dan banyak lagi. Sememangnya kita akan bergelak ketawa bermain mode ini dengan karakter-karakter raksasa yang comel.

Online Harus Ditambahbaik

Mode ketiga dalam GigaBash adalah Online. Mode Online merupakan mode yang sama sahaja dengan mode Couch Play, cuma ia boleh dimainkan bersama rakan-rakan secara online.

Memiliki Couch Play dalam sesebuah game masakini sudah semestinya memberikan nilai tambah kepada GigaBash. Namun, game ini akan menjadi lebih lengkap sekiranya dapat menggabungkan local dan online dalam sesi game yang sama.

Penulis turut menikmati Online dengan baik. Dapat mengalahkan pemain online lain yang tidak dikenali pastinya lebih bermakna. Walau bagaimanapun, teramatlah sukar untuk menemui pemain online lain dalam sesebuah perlawanan (matchmaking). Antara punca kepada kesukaran ini pastinya disebabkan ketiadaan fungsi cross-play antara PC dan PlayStation.

Untuk makluman, Steam dan Epic Games Store berada dalam takungan matchmaking yang sama, manakala PS5 dan PS4 pula dalam satu takungan matchmaking yang berbeza. Sekiranya dapat digabungkan kesemua platform ini, semestinya akan lebih memudahkan untuk bertemu dengan pemain lawan online lain.

Tetapi, penulis memahami. Sebagai sebuah game indie, menambah gabungan lokal/online serta fungsi cross-play tentunya memerlukan kos yang lebih tinggi.

Buatan Malaysia

Kepada korang yang tidak tahu, GigaBash dibangunkan oleh Passion Republic. Siapa Passion Republic?

Passion Republic merupakan sebuah studio pembangun game tempatan yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Mereka cukup terkenal kerana sering menjadi studio sokongan kepada studio-studio besar membangunkan game-game AAA.

Passion Republic memiliki portfolio yang begitu besar, antaranya pernah terlibat membikin animasi dan pemodelan untuk Elden Ring; animasi dan seni konsep untuk Diablo II: Resurrected; aset persekitaran dan kostum untuk Marvel Spider-Man Remastered; dan banyak lagi.

GigaBash merupakan game pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh Passion Republic, dan kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya turut berbangga dengan kejayaan ini.

Bahasa Melayu

Sebagai sebuah studio tempatan, Passion Republic nampaknya telah mengambil inisiatif untuk menampilkan Bahasa Melayu ke dalam GigaBash. Malah, mereka turut menyediakan bahasa negara jiran seberang kita, iaitu Bahasa Indonesia.

Bermain GigaBash dalam Bahasa Melayu sememangnya memberikan satu rasa yang amat unik. Dari menu utama, UI dan dialog-dialog (teks) dalam penceritaan, semuanya tersedia dalam Bahasa Melayu.

Kami terhibur dengan tahap kesukaran (difficulty) yang boleh dipilih, iaitu Santai, Seimbang, Ribut dan Kiamat. Bahkan, beberapa simpulan bahasa dan peribahasa tempatan turut digunakan untuk lencana dan dialog seperti lipas kudung, pantang maut sebelum ajal, pulang paku buah keras, agi idup agi ngelaban (pepatah Iban) dan sebagainya.

Apa Seterusnya?

Penulis tidak fikir yang Passion Republic membangunkan GigaBash dengan hasrat untuk menjadikannya sebuah game esports. Namun, melalui gameplay kombat yang disajikan dalam game ini, ia sebenarnya amat sesuai untuk bergerak ke arah esports.

Penulis sudah terbayang-bayang sesebuah perlawanan kompetitif GigaBash dijalankan — mempunyai pengulas yang begitu rancak memberikan ulasan terhadap setiap serangan yang dikeluarkan dalam perlawanan 1v1v1v1.

Melalui kombat yang rumit dan mendalam, pastinya seronok sekiranya dapat melihat bagaimana pemain-pemain esports melakukan gerakan-gerakan memukau.

Malah, GigaBash juga mempunyai potensi untuk menjadi sebuah game live-service yang baik. Passion Republic boleh bekerjasama dengan francais-francais berkaitan raksasa seperti Ultraman, Godzilla, Kong, Attack on Titan dan banyak lagi untuk membawakan kandungan crossover bagi terus menerus tarik minat pemain.

Tapi ia tentunya sukar. Payah untuk sesebuah game berbayar, apatah lagi indie, menjadi sebuah game esports atau live-service yang mampu menarik ramai peminat.

GigaBash boleh didapati di Steam dengan harga RM85.49, serta di PlayStation Store dengan harga RM149.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Peminat cerita-cerita kaiju? Jangan fikir panjang. GigaBash semestinya BOLEH BELI. Ia mungkin adalah game brawler bertemakan raksasa yang paling menghiburkan ada di pasaran sekarang. GigaBash juga adalah antara pilihan terbaik kalau korang sedang mencari party game menyeronokkan yang sesuai dimainkan kanak-kanak dan seisi keluarga.

Namun, kalau korang mencari sebuah game yang membawakan story yang panjang dan mendalam, GigaBash tentunya BOLEH BLAH. Jalan ceritanya boleh dikatakan hanya seperti pengenalan untuk para pemain mengenali butang-butangnya. Kesukaran untuk bertemu dengan pemain online juga boleh mengecewakan korang.

+ Kombat menghiburkan
+ Rekaan karakter comel
+ Party game menyeronokkan
+ Ada couch play
+ Destructions mantap
+ Ada Bahasa Melayu

– Jalan cerita kebanyakannya bosan
– Tiada gabungan local/online
– Tiada cross-play

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Excel Esports Membuka Pintu Untuk Kejuaraan 2022!

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Pengarah Filem Ghost of Tsushima Mahu Sepenuhnya Pelakon, Bahasa Jepun