in ,

Ghost of Tsushima: Director’s Cut: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setahun yang lalu Sucker Punch telah melancarkan game mereka, Ghost of Tsushima sebagai salah satu game eksklusif untuk PlayStation 4, dan ianya merupakan satu kejayaan apabila menerima pujian dan rating yang tinggi ketika itu.

Kini, Ghost of Tsushima telah diberikan satu suntikan baru dari pihak Sucker Punch apabila mereka melancarkan Ghost of Tsushima: Director’s Cut yang mengandungi DLC Iki Island untuk peminat-peminat GOT sebagai satu langkah untuk mengembangkan jalan cerita game ini serta penambahbaikan yang lain.

Adakah DLC ini mampu memberikan sesuatu yang baru kepada game Ghost of Tsushima?

Sedikit nota tambahan, untuk review kali ini penulis hanya akan menyentuh perihal DLC Iki Island versi PS5 sahaja oleh kerana review penuh untuk game Ghost Of Tsushima telah pun diterbitkan setahun yang lalu di laman ini. Jika anda berminat untuk membaca review penuh Ghost Of Tsushima, anda boleh terus klik pautan ini.

Ayuh kita terus ke review.

Apa yang berlaku di Iki Island?

Sebagai peringatan awal kepada mereka yang baru mula bermain Ghost of Tsushima, anda perlu menghabiskan sekurang-kurannya Act 1 untuk mendapat akses ke penceritaan Iki Island ini. Setelah tamat Act 1, menu Tales of Iki akan muncul di menu Journal anda dan boleh teruskan kepada penceritaan tersebut dari menu.

Setelah mendapat khabar berita bahawa puak Mongol yang diketuai oleh The Eagle telah mendarat di Pulau Iki dan memulakan penjajahan mereka di sana, Jin Sakai terus berlayar menuju ke pulau tersebut berseorangan untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Namun pulau tersebut menyimpan 1001 sejarah hitam dalam diri Jin Sakai di mana di situlah tempat ayahanda beliau mati dibunuh oleh puak Raiders ketika beliau masih muda. Sepanjang penceritaan Iki Island ini Jin Sakai bukan sahaja perlu berlawan dengan puak Mongol, malah beliau juga bergelut dengan kisah silam yang menghantui beliau di pulau tersebut.

Lebih menarik lagi pergelutan peribadi tersebut juga memberi impak kepada pemain dalam mengawal Jin Sakai ketika dalam situasi pertempuran.

Penulis berpendapat DLC Iki Island berjaya memberikan satu kesinambungan cerita yang menarik dan baik dari penceritaan asal kerana tidak bercanggah dan lebih fokus kepada perkembangan watak Jin Sakai itu sendiri. Dalam penceritaan ini juga kita dapat lihat pendirian Jin Sakai sebagai seorang samurai yang berbeza dengan pendahulunya dalam menghadapi situasi konflik.

Namun penulis juga merasakan DLC Iki Island ini agak pendek penceritaan utamanya dan watak-watak penting baru di dalam DLC ini tidak dapat dikembangkan dengan baik. Penulis hanya menghabiskan dalam 9-10 jam sahaja fokus untuk menghabiskan penceritaan utama. Ianya agak sedikit kecewa kerana DLC sebegini mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan penceritaan utamanya. Walau bagaimanapun, pemain masih boleh bergantung kepada side quest di dalam DLC ini untuk meneroka Iki Island yang penuh misteri ini.

Apa yang menarik tentang DLC ini?

Satu benda menarik mengenai DLC ini ialah ianya menawarkan sebuah perjalanan baru untuk meneroka kepulauan Iki yang terletak tidak jauh dari Kepulauan Tsushima.

Iki Island ini tidaklah sebesar seperti Kepulauan Tsushima tetapi ianya padat dengan penceritaan baru yang anda boleh teroka sendiri. Iki Island juga memberikan dinamik dan persekitaran yang baru untuk pemain yang juga penting untuk membezakan pengalaman bermain di Tsushima dan Iki Island.

Walaupun terdapat beberapa mini game yang sebelum ini sudah ada di game penuh GOT seperti Bamboo Strikes dan Haiku Poetry, namun terdapat mini game yang baru dimuatkan di dalam DLC ini seperti Archery Challenge di mana anda boleh membuat latihan memanah serta membuat cabaran memanah di tempat-tempat yang disediakan dan juga Animal Sanctuary yang memerlukan anda untuk bermain seruling untuk menarik perhatian haiwan-haiwan di kawasan tersebut.

Selain aktiviti tersebut, Iki Island juga menawarkan Tales atau side quest yang banyak untuk anda teroka serta beberapa Mythical Tales baru yang memberi ganjaran dalam bentuk armory jika anda berjaya menyelesaikannya.

Dari segi pertempuran pula, terdapat beberapa elemen baru yang diterapkan dalam DLC Iki Island ini. Sebagai contoh, kini pihak musuh Mongols mempunyai watak baru yang dipanggil Shaman. Shaman akan membuat satu ritual di setiap pertempuran di mana ia akan memberikan rakan musuh satu rangsangan untuk lebih agresif dan bersemangat ketika menyerang.

Selain itu, musuh Mongol di Iki Island ini juga boleh mengubah stance mereka di tengah-tengah pertempuran. Daripada menyerang anda menggunakan pedang, mereka juga boleh berubah ke senjata lembing di tengah-tengah pertempuran. Dengan perubahan ini juga sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada anda untuk mengubah dan menggunakan stance yang sesuai ketika bertempur.

Lebih menarik lagi, kuda kesayangan anda juga akan dibawa ke Iki Island dan mendapat satu penambahbaikan yang baru. Kini anda boleh membuat serangan Charge menggunakan kuda apabila bertempur dengan musuh yang ramai namun serangan ini akan mengorbankan beberapa bilangan Resolve yang ada. Anda hanya perlu hold L1 untuk membuat serangan Charge apabila menaiki kuda dan meluru menuju musuh untuk kuda anda menyerang musuh menggunakan tendangan.

Fungsi Next-Gen yang subpar dan harga yang mengelirukan

Bagi pemain konsol next-gen PlayStation 5, sudah semestinya terdapat fungsi baru jika anda membeli GOT: Director’s Cut versi Playstation 5. Fungsi baru itu termasuklah gameplay dalam 4K 60fps, Haptic Feedback serta Adaptive Trigger.

Bagi penulis, penambahbaikan ini merupakan sesuatu yang memberi pengalaman bermain yang agak berbeza akan tetapi ianya sesuatu yang sudah agak biasa dan secara asasnya ianya hanyalah optimized PS4 game yang dinaiktaraf untuk pemain PS5.

Terdapat satu fungsi di ruangan setting di mana anda boleh mengubah antara Better Frame Rate atau Higher Resolution dan fungsi tersebut bagi pendapat penulis tidak memberikan signifikan dan terlalu minimal kepada permainan kerana kedua-dua fungsi tersebut masih di dalam 60fps. Tiada penambahbaikan ray-tracing berlaku di dalam Director’s Cut ini yang penulis rasakan itulah game changer sebenar dalam membezakan game next-gen dengan konsol sebelumnya.

Signifikan yang minimal itu membawa kepada persoalan penulis tentang Director’s Cut ini iaitu harga.

Ketika pihak Sony mengumumkan harga untuk Director’s Cut ini, berlaku kekeliruan dan ketidakpuasan hati daripada peminat-peminat game ini. Mana tidaknya, setiap naik taraf mempunyai harga yang berbeza dan keliru. Berikut merupakan harga yang ditetapkan oleh pihak Sony untuk Ghost of Tsushima: Director’s Cut:

  • Ghost Of Tsushima berserta Director’s Cut untuk PS4: RM249
  • Ghost Of Tsushima berserta Director’s Cut untuk PS5: RM299
  • Ghost of Tsushima PS4 naik taraf ke Director’s Cut PS4: RM89
  • Ghost of Tsushima PS4 naik taraf ke Director’s Cut PS5: $29.99 (~RM120) (Tiada harga rasmi dalam PS Store Malaysia)
  • Ghost of Tsushima Director’s Cut PS4 naik taraf ke Director’s Cut PS5 : $9.99 (~RM40) (Tiada harga rasmi dalam PS Store Malaysia)

Jika kita lihat harga di atas, terdapat terlalu banyak jenis harga yang mengelirukan mereka yang ingin membeli Director’s Cut ini. Pada pendapat peribadi penulis yang bermain Director’s Cut versi PS5, harga yang ditawarkan untuk menaik taraf terutama untuk mereka yang bermain konsol PS5 adalah terlalu mahal dan agak tidak berbaloi dengan content yang diberikan.

Ianya seperti anda perlu membayar sejumlah wang yang banyak hanya untuk menggunakan fungsi yang anda sudah beli bersama konsol PS5 anda sebelum ini. Sekitar RM120 untuk sebuah naik taraf merupakan hampir separuh harga base game Ghost of Tsushima itu sendiri. Penulis merasakan ianya satu langkah yang tidak adil untuk pemain konsol next-gen PS5 yang sudah bermain base game Ghost of Tsushima sebelum ini.

Jadi, boleh beli atau boleh blah?

Secara keseluruhan, Ghost of Tsushima Director’s Cut ini merupakan satu expansion game yang baik dari segi penceritaan dan gameplay pertempurannya yang cukup memuaskan.

Akan tetapi bagi pendapat penulis DLC ini tidak memberikan satu kesan yang menakjubkan atau wow factor kepada pemain. Penulis tidak menyatakan bahawa game ini tidak bagus tetapi bagi sebuah expansion ianya tidak menakjubkan.

Berbalik kepada persoalan di atas, sebenarnya persoalan ini terpulang kepada keutamaan anda dalam bermain game ini. Jika anda merupakan seorang pemain yang lebih fokus kepada penceritaan dan menghabiskan seberapa banyak side quest di dalam game ini untuk mengejar trophy, maka naik taraf ke Director’s Cut versi PS4 sudah cukup untuk anda.

Namun, jika anda lebih cenderung dengan fps dan resolusi yang lebih baik serta ingin menggunakan sepenuhnya fungsi Haptic Feedback dan Adaptive Trigger dari Dualsense dan mempunyai wang saku yang cukup maka anda boleh terus dapatkan Director’s Cut versi PS5 tanpa rasa bersalah dan menyesal.

+ Penceritaan yang baik.
+ Penambahbaikan pertempuran yang memberi cabaran baru.
+ 4K 60fps yang membuatkan visual lebih menarik.
+ Mini games dan side quest yang banyak
untuk diteroka.

– Tanda harga yang agak keliru bagi sebuah DLC.
– Fungsi next-gen yang biasa sahaja.
– Penceritaan utama yang pendek.

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Call of Duty: Vanguard Memperlihat Trailer Penuh Era Perang Dunia Kedua, Tarikh Pelancaran Diumumkan

Black Myth: Wukong Kongsi 12 Minit Gameplay Baru, Paparkan Pelbagai Jenis Pertempuran Bos Mitos Cina