Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ghost of Tsushima merupakan sebuah game action-adventure open-world yang dibangunkan oleh Sucker Punch Productions, diterbitkan eksklusif untuk PS4.

Sucker Punch cukup terkenal sebagai sebuah studio yang membangunkan francais Infamous. Selepas kali terakhir melancarkan siri itu pada tahun 2014 (Infamous First Light), Ghost of Tsushima menjadi pertaruhan yang besar untuk studio ini.

Mampukah Ghost of Tsushima, game pertama Sucker Punch yang menggunakan latar belakang zaman pertengahan Jepun ini menambat hati penulis? Jom kita ikuti reviu ini – Boleh Beli or Boleh Blah!?

https://youtu.be/sjBk14t8MRo

Apa Cerita?

Karakter-karakter yang dicipta dalam game ini adalah fiksyen, namun latar belakang dan peristiwa yang dibawakan adalah berdasarkan kejadian sejarah sebenar. Ghost of Tsushima membawa semula kita melawat ke abad ke-13 di kala Empayar Mongol berada di kemuncak keluasan jajahannya.

Dalam game ini, Empayar Mongol dalam ekspedisi ketenteraan untuk menawan tanah besar Jepun. Sebelum ingin mara ke kawasan itu, mengikut logik geografinya, seperti yang berlaku dalam sejarah, Mongol perlu menawan Pulau Tsushima terlebih dulu kerana ia merupakan pulau Jepun yang paling hampir dengan semenanjung Korea — satu kawasan yang sudahpun berjaya ditawan Mongol.

Jalan Cerita Menarik

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Dari segi penceritaannya, Ghost of Tsushima menyajikan satu jalan cerita yang cukup menarik. Ia sebenarnya satu kisah peperangan yang ringkas, mudah dijangka (predictable) dan agak klise. Namun, game ini membuktikan bagaimana sesebuah jalan cerita yang berpotensi untuk menjadi bosan, tetap mampu menjadi menarik melalui penulisan dan garapan yang bagus.

Ghost of Tsushima mengisahkan tentang seorang Samurai, bernama Jin Sakai, yang merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil Samurai yang terselamat daripada serangan pertama Mongol ke atas Pulau Tsushima.

Sebagai seorang yang meminati sejarah, semakin banyak butiran sejarah yang dimasukkan ke dalam game, semakin penulis gemarkannya. Antara elemen sejarah yang digunakan kuat dalam game ini ialah bagaimana ketika Mongol menyerang Tsushima, masyarakat Jepun, terutamanya pahlawan Samurai amat terkejut dengan cara Mongol bertempur serta taktik-taktik yang digunakan Mongol.

Melalui peristiwa sejarah inilah game ini gunakannya untuk dijadikan premis utama jalan ceritanya. Jin Sakai, seorang Samurai muda merasakan falsafah dan strategi peperangan masyarakat Jepun perlu berubah bagi menyelamatkan bangsa mereka daripada terus dijajah Mongol. Jin percaya untuk mengusir Mongol durjana ini keluar dari pulau itu, Samurai harus meninggalkan cara berlawan mereka yang terlalu mementingkan ‘maruah’.

Bertitik tolak dari sinilah, Jin perlahan-lahan bertukar menggunakan taktik serangan yang lebih ‘kotor’ dan ‘tak bermaruah’ melalui serangan-serangan gerila (stealth) ke atas kem-kem Mongol yang bertebaran di seluruh Pulau Tsushima. Maka disebabkan Jin menghancurkan kem-kem Mongol ini secara gerila dan berselindung di sebalik topengnya, masyarakat pulau itu mula memanggil hero yang mereka tidak kenali ini sebagai ‘The Ghost’. Inilah Ghost of Tsushima.

Dilema Seorang Samurai

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Semestinya, tindakan dan taktik serangan gerila melalui watak Ghost oleh Jin ini tidak disenangi oleh kepimpinan Samurai yang lebih senior kerana tidak menggambarkan falsafah mereka yang mengutamakan musuh perlu ditentang secara bermaruah — iaitu berhadapan dengan secara bertentang mata, bukannya mensabotaj seperti Ghost.

Jin akan mengembara ke seluruh Pulau Tsushima untuk mencari sekutu bagi meneruskan misinya untuk mengusir Mongol. Pengembaraan Jin ini akan bertemu dengan pelbagai watak, sama ada yang ingin sama-sama membantu Jin atau ada yang mengkhianatinya dan menjadi tali barut Mongol.

Jin akan mengingatkan clan-clan Samurai untuk bersatu, bangkit semula daripada dimalukan Mongol dan tidak lagi berbalah sesama sendiri supaya musuh dapat dihambat keluar dari pulau itu. Ya, seperti yang penulis katakan tadi, ia merupakan satu cerita peperangan yang klise, tapi tetap mempunyai auranya yang tersendiri.

Antara side quest yang ada ialah Jin akan membantu masyarakat Tsushima yang sudah kehilangan tempat tinggal masing-masing kerana sudah dibakar hangus oleh Mongol. Jin akan bertembung dengan kem-kem pelarian yang terselamat ini — seterusnya menjadi hero di mata mereka.

Senang cerita, Ghost of Tsushima mewujudkan satu suasana peperangan yang sangat realistik. Ada ketakutan, ada penindasan, ada sinar harapan. Secukup rasa.

Pengalaman Penuh Sinematik

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Jika ditanyakan tentang apakah yang membuatkan game ini benar-benar menambat hati, jawapannya pastilah pengalaman sinematik yang disajikan.

Sinematografi, runut bunyi, skor muzik dan gameplay — kesemua aspek ini begitu mantap sehingga berjaya digabungkan menjadi satu pengalaman sinematik yang cukup memukau. Elemen-elemen yang sungguh baik ini berjaya membangkitkan pengembaraan dan penerokaan di Pulau Tsushima yang begitu mengasyikkan.

Guiding Wind

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ghost of Tsushima telah memperkenalkan satu mekanisme yang memberikan nafas baharu ke dalam genre open-world, yang mana penulis pasti ia akan menjadi perintis kepada lebih banyak idea yang akan dikembangkan daripada mekanisme ini dalam game-game open-world lain akan datang.

Buat pertama kalinya, Ghost of Tsushima merupakan sebuah game open-world yang tiada minimap, tiada kompas dan tiada waypoint di skrin semasa gameplay seperti kebiasaan game-game open-world lain. Maka, persoalan yang timbul, bagaimana pemain bergerak dari satu lokasi ke destinasi yang ingin dituju?

Sucker Punch telah memperkenalkan satu mekanisme yang digelar Guiding Wind. Apabila sudah menandakan satu lokasi yang ingin dituju di map (ketika di menu, perlu tekan butang OPTIONS), kita akan dibimbing oleh angin, yang mana angin yang berada di sekitar pemain akan meniup ke arah lokasi yang ditandakan tadi. Oleh itu, untuk sampai ke destinasi tersebut, pemain hanya perlu mengikut ke arah manakah angin itu bertiup, dan tahu-tahu saja kita sudah sampai ke lokasi.

Ketiadaan minimap, kompas mahupun waypoint ini membuatkan skrin ketika gameplay begitu bersih, sekaligus menambah nikmat sinematik yang begitu menenangkan. Kita akan sentiasa dibuai dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, diselitkan lagi dengan muzik yang mampu membuatkan perasaan yang marah pun boleh sejuk semula.

Lebih menariknya, ketamadunan Jepun mempunyai ikatan yang signifikan kepada elemen angin, khususnya dalam sejarah kepulauan Jepun berjaya mempertahankan diri daripada penjajahan Mongol. Bagi yang tidak tahu, dalam kedua-dua serangan Mongol bersama sekutunya untuk menjajah Jepun pada abad ke-13, ia telah digagalkan oleh taufan yang menyapu habis armada laut Mongol. Peristiwa tersebut menjadi titik tolak kepada penggunaan terma ‘kamikaze’ (kami = dewa, kaze = angin) oleh Jepun sebagai mengenang ‘dewa angin’ (taufan) yang telah melindungi mereka. ‘Kamikaze’ kemudiannya telah digunakan oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua sebagai propaganda.

Oleh demikian, penggunaan Guiding Wind dalam Ghost of Tsushima sememangnya memiliki satu kisah latar belakang tamadun Jepun yang begitu menarik untuk kita selami dalam game ini.

Dibimbing Haiwan

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Selain Guiding Wind, satu lagi cara Sucker Punch menyajikan skrin yang bersih tanpa UI yang berat ialah kehadiran haiwan pula untuk membimbing pemain ke lokasi-lokasi tersembunyi.

Apabila berjalan-jalan di Pulau Tsushima yang luas ini, kita akan terserempak dengan burung dan musang. Dua jenis haiwan ini akan berterbangan atau berkeliaran di sekitar pemain, menandakan bahawa terdapat satu lokasi tersembunyi berdekatan, dan kita perlu mengikutinya untuk sampai ke lokasi tersebut. Lokasi-lokasi tersembunyi ini ialah tempat-tempat untuk pemain menaikkan skill Jin (digelar Technique dalam game ini) atau lokasi collectibles seperti tugu sembahan, kolam air panas atau pokok-pokok istimewa.

Bimbingan haiwan sememangnya satu cara yang menarik untuk menikmati open-world yang luas dalam persekitaran dan suasana alam semula jadi.

Gameplay Mantap

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Secara kasarnya, terdapat dua gameplay utama yang ditampilkan untuk Jin Sakai, iaitu permainan pedang (swordplay) dan serangan jarak jauh (busur/panah). Keseluruhannya, game ini menyajikan gameplay yang memuaskan dan menyeronokkan.

Sekiranya ingin membuat perbandingan, gameplay dan sistem upgrade (customization, skill-tree) dalam Ghost of Tsushima mempunyai banyak persamaan dengan gameplay siri-siri Assassin’s Creed yang terbaharu (Origins, Odyssey). Namun, permainan pedang, iaitu Katana, dalam Ghost of Tsushima jauh lebih memuaskan dan menghiburkan daripada Origins atau Odyssey.

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Tiada sebarang kejutan dari segi permainan pedangnya, tapi ia digilap dengan sangat baik. Ada block, ada parry, ada dodge, ada heavy dan light attack, ada senjata-senjata yang lebih berbahaya seperti Kunai, bom letupan, bom asap, dan semestinya busur dan panah.

Penulis sukakan bagaimana Sucker Punch menggunakan setiap button layout di DualShock 4 dengan sebaik mungkin bagi membawakan satu gameplay yang sangat mendalam. Permainan pedang dan busur/panah dalam game ini menggunakan keseluruhan butang yang ada dengan bijak sekali, sehingga membuatkan penulis mudah untuk menghafal setiap fungsi sesuatu butang itu. Game ini meletakkan senjata dan gerakan jarak jauh di butang-butang sebelah kiri (L2, L1), manakala senjata dan gerakan jarak dekat diletakkan di butang-butang sebelah kanan (R2, R1).

Sucker Punch memberikan tips ini kepada para media: Kiri = Left = L = Long Distance // Kanan = Right = R = Right Here.

https://youtu.be/MeXGlno6Pso

Gameplay semasa bertarung dengan ramai musuh pada satu-satu masa kadang-kala terasa terlalu kelam-kabut, sehingga membuatkan pandangan kamera terlindung oleh objek di sekeliling dan terhalang daripada pandangan pemain, seterusnya menimbulkan rasa tidak selesa. Itu sajalah kekurangan ketika permainan pedang, manakala lain-lain aspek terasa sangat mantap.

Keindahan Boss Fight

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Bertarung dengan lebih daripada satu musuh mungkin kadang-kala terasa sedikit huru-hara, namun kemuncak permainan pedang adalah apabila pertempuran dengan watak-watak penjahat utama (boss fight). Setiap pertarungan dengan bos terasa cukup mendebarkan kerana setiap langkah, setiap serangan, setiap strategi pertahanan, setiap keputusan yang diambil memerlukan timing yang tepat. Tersilap langkah sahaja, musuh akan terus menyempurnakan kombo-kombo serangannya sehingga Jin tinggal nyawa-nyawa ikan.

Boss fight juga menyajikan satu pengalaman sinematik yang sangat mengasyikkan. Melalui visual persekitaran yang memukau, pencahayaan yang indah, skor muzik yang sempurna, penceritaan yang mantap — kesemua elemen ini membuatkan setiap boss fight itu unik dan cukup mengagumkan.

Setiap boss fight itu bersifat peribadi. Ianya tidak seperti boss fight dalam game-game lain, The Witcher 3 misalnya, apabila boss akan melontarkan pelbagai kuasa sakti atau mantera-mantera yang terlalu kuat. Disebabkan game ini mengutamakan aspek realistik, maka setiap boss fight dalam Ghost of Tsushima adalah definisi sebenar 1-lawan-1, bertarung secara berhadapan wajah — memfokuskan kepada permainan pedang yang sangat teliti.

Photo Mode

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Secara peribadi, Photo Mode adalah antara mode kegemaran penulis, walaupun sejujurnya penulis tidaklah berapa mahir menangkap gambar-gambar dalam mode ini.

Sebelum ini, penulis meletakkan Photo Mode yang ada dalam Horizon Zero Dawn adalah Photo Mode yang terbaik pernah penulis mainkan. Kini, penulis meletakkan Photo Mode dalam Ghost of Tsushima sebaris dengan apa yang ada dalam Horizon Zero Dawn. Kalau dibandingkan Photo Mode yang ada dalam kedua-dua game ini, ada fungsi yang Horizon Zero Dawn lebih baik, dan ada juga fungsi yang Ghost of Tsushima lebih bagus.

Pelbagai fungsi baharu yang diperkenalkan dalam Ghost of Tsushima — antaranya dalam Photo Mode itu sendiri, terdapat beberapa filter animasi yang boleh diubahsuai. Kita boleh mengubah arah angin, berapa kuat angin itu bertiup dan menambah partikel-partikel (daun berterbangan, percikan api). Sucker Punch telah membawakan inovasi dalam Photo Mode untuk konsol, menampilkan sesi bergambar yang tidak lagi statik, tapi bergerak dengan animasi yang boleh dilaraskan mengikut kreativiti pengguna.

Kemudian, kita boleh meletakkan muzik (tersedia) dalam Photo Mode itu. Maka, kita boleh membikin video terus dari dalam Photo Mode itu sendiri.

https://youtu.be/MY1HORaNOhY
https://youtu.be/fUmsp4NKM8E

Mini Game

Ghost of Tsushima menampilkan beberapa mini game yang boleh dikatakan seronok untuk dimainkan. Antaranya ialah memotong buluh dan mengarang puisi Haiku.

Mini game memotong buluh kononnya seperti melatih Jin untuk lebih mahir dalam mengendalikan Katana-nya. Dari segi gameplay, ianya seronok kerana memerlukan pemain untuk menekan beberapa butang yang tertera di skrin dalam masa yang sangat singkat agar Jin dapat memotong 3, 5 atau 7 batang buluh dengan sekali libas.

https://youtu.be/2NtukTh_jRs

Mini game mengarang puisi Haiku juga agak unik. Haiku ialah sejenis puisi pendek tradisional Jepun yang mesti terdiri daripada 17 suku kata, dibahagikan kepada 3 rangkap dengan setiap rangkap terdiri daripada 5, 7 dan 5 suku kata. Pemain akan diberi pilihan untuk memilih beberapa ayat untuk dijadikan puisi Haiku, sambil disajikan dengan pemandangan persekitaran yang sangat indah dan muzik yang syahdu. Sungguh menenangkan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Ghost of Tsushima merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada pengalaman sinematik untuk setiap pemain nikmati. Semangat untuk bangkit selepas diserang musuh, sinematografi yang cantik, skor muzik dan runut bunyi yang meremang, grafik yang memukau (walaupun hanya menggunakan PS4 biasa, belum lagi PS4 Pro), gameplay yang mendebarkan — semua elemen ini telah membuatkan ia satu game bersifat sinematik yang cukup mengasyikkan. Ia sememangnya game yang BOLEH BELI untuk korang yang mencari sebuah game yang menggabungkan segala elemen ini.

Walau bagaimanapun, sekiranya korang ingin mencari sebuah kisah yang kompleks, ini mungkin game yang BOLEH BLAH untuk korang kerana apabila menyajikan sebuah cerita peperangan yang realistik dan bersandarkan kepada sejarah, ia akan menjadi sebuah kisah yang ringkas, mudah dijangka dan mungkin terasa bosan kepada pemain yang kurang meminati sejarah.

Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

+ Pengalaman sinematik mengasyikkan
+ Kisah sejarah yang realistik
+ Membawakan falsafah tamadun Jepun
+ Pengenalan Guiding Wind
+ Skrin yang bersih
+ Dunia yang cantik dan tenang
+ Skor muzik yang meremang
+ Permainan pedang mantap
+ Penggunaan button layout menyeluruh
+ Boss fight bersifat peribadi
+ Photo Mode terbaik

+ Mini game yang seronok

– Jalan cerita ringkas
– Kamera ketika bertarung kadang-kala tidak selesa

JomKomen!