in ,

Gamers Hideout Dilaporkan Meminta Pekerja Cuti Tanpa Gaji Semasa PKP

Seperti yang diperkatakan Perdana Menteri, negara sedang menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan pada waktu yang sama. Oleh itu, ketika dunia sedang dilanda wabak pandemik COVID-19, kerajaan ingin memastikan rakyat tidak hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, sebuah rangkaian kedai gaming terkemuka tempatan, Gamers Hideout (GH) dilaporkan telah meminta para pekerjanya untuk menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji dalam usaha mereka untuk terus kekal di rumah mengikut perintah kerajaan.

Perkara ini didedahkan oleh salah seorang bekas pekerja GH, Danial Ashman di laman Twitter, yang mana turut berkongsikan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh syarikat jualan barangan gaming gergasi tempatan itu. Dalam surat itu, para pekerja telah diberi pilihan sama ada untuk menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji, dan perlu menyambung semula operasi pada 1 April 2020 (sebelum kerajaan melanjutkan tempoh PKP).

Tindakan ini semestinya bercanggah dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu. Beliau berkata:

“Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja. Dalam keadaan yang sukar ini, saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan. Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan. Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020. Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan. Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja. Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.”

Dalam satu tweet lain pula, beliau mendedahkan bahawa pihak GH telah menekan Danial agar memadamkan perkongsian tersebut dan memberi amaran yang mereka akan mengenakan tindakan undang-undang kerana para pekerja telah terikat dengan NDA (non-disclosure agreement).

GH turut dilaporkan tetap mendesak dan meminta para pekerja mereka untuk menandatangani satu lagi perjanjian yang menyatakan para pekerja sanggup untuk mengambil cuti tanpa gaji semasa PKP.

JomGaming telah menghubungi Danial sendiri untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Katanya, beliau sendiri telah dijadualkan berhenti bekerja di GH pada 1 April (keputusan yang dibuat sebelum PKP, tiada kena-mengena dengan isu berbangkit dalam artikel ini). Maka disebabkan surat pertama dari GH itu dikeluarkan pada 17 Mac, beliau masih lagi pekerja GH yang sah, dan turut menerima surat tersebut.

Danial berkata bahawa beliau telah menerima slip gaji untuk bulan Mac, dan apa yang mengejutkan ialah gaji hanya dikira sehingga 17 Mac kerana 18 Mac telah bermulanya PKP. Pemotongan gaji yang bermula dari 18 Mac ini bukan hanya terjadi kepada dirinya, malah kepada pekerja lain atau kenalan rapatnya yang masih bekerja di GH.

Beliau mendedahkan lagi bahawa pemotongan gaji yang bermula pada PKP ini hanya terpakai kepada para pekerja yang bekerja di ‘outlet’ (yang semasa PKP tidak lagi bekerja). Sebaliknya, para pekerja lain yang bekerja dari rumah (work from home) dan yang bekerja di ibu pejabat (HQ) masih mendapat gaji penuh.

Malah, menurut rakannya yang lain, insentif seperti kehadiran awal, insentif jualan dan lain-lain juga telah dipotong daripada slip gaji.

Danial turut menegaskan yang bukan niat asalnya untuk menularkan isu ini sesuka hati. Tetapi beliau dan beberapa pekerja lain telah cuba berbincang perkara ini secara baik, sebelum menekan pihak atasan lebih tegas secara dalaman. Namun, desakan mereka ini tidak diendah, seterusnya telah ditendang keluar dari group rasmi ‘GH Crew’ dan telah di-block.

Maka, keputusan untuk menularkan perkara ini telah diambil dan mula menghubungi tweetfamous untuk bantu menularkannya.

Kami masih lagi menunggu sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Gamers Hideout terhadap isu ini.

GH nampaknya telah menjadi salah satu rangkaian kedai jualan barangan gaming yang paling kontroversi di Malaysia. Kira-kira tiga tahun lalu, GH pernah menjadi bualan ramai melalui insiden pengurus kedai di cawangan 1 Utama telah menuduh salah seorang pelanggannya mencuri, yang mana kemudiannya telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Koleksi Game Percuma PlayStation Plus Untuk April 2020

Koleksi Game Percuma PlayStation Plus Untuk April 2020

The Last of Us Part II Ditunda Ke Satu Tarikh Pelancaran Yang Tidak Dinyatakan

The Last of Us Part II Ditunda Ke Satu Tarikh Pelancaran Yang Tidak Dinyatakan