Dalam acara Future Games Show, SloClap telah berkongsikan trailer baharu untuk game akan datang mereka, Sifu.
Secara kasarnya, trailer ini memaparkan rakaman yang sama dengan trailer pertama, namun kali ini diiringi oleh penerangan daripada CEO SloClap, Pierre Tarno, berkongsikan beberapa info baharu.
Jalan cerita yang akan dibawakan adalah sebuah geng yang kejam telah membunuh semua ahli keluarga protagonisnya, dan sebagai seorang anak muda yang mempelajari seni beladiri Kung Fu, dia sedang dalam misi untuk mencari dalang dan membalas dendam.
Lima orang pembunuh upahan adalah individu yang dicari. Setiap pembunuh upahan ini merupakan lima bos utama dalam game ini kelak, yang setiap seorang daripadanya mewakili lima elemen dalam Kung Fu iaitu kayu, api, air, besi, dan bumi.
Untuk bertemu dan bertarung dengan kelima-lima bos ini, pemain perlu berhadapan dengan konco-konco bawahannya terlebih dulu, dalam masa sama dijadikan sebagai latihan untuk memperbaiki pertempuran.
Walaupun trailer setakat ini menampakkan hanya pertarungan tangan kosong, Sifu sebenarnya nanti akan menampilkan lebih banyak senjata yang akan digunakan berdasarkan persekitaran sekeliling.
Lebih menarik, setiap kali pemain gagal dalam mana-mana pertarungan, pemain akan hidup semula dengan umur (dan penampilan) yang lebih berusia daripada sebelumnya.

Sifu akan dilancarkan untuk PS4, PS5 dan PC (Epic Games Store) pada tahun ini.
Comments
Loading…