Dua hari lalu, Square Enix telah mengeluarkan 18 minit video gameplay dari game yang sedang dibangunkan mereka, Marvel’s Avengers.

Dalam gameplay ini, secara tepatnya pada minit 11:25, kelihatan seseorang yang cukup menarik perhatian — iaitu kanak-kanak perempuan berkulit sedikit gelap yang memakai t-shirt Ms. marvel. Ramai yang tertanya, adakah ini karakter Ms. Marvel, atau nama sebenarnya Kamala Khan?

Ya, sangkaan kita semua sememangnya benar. Bercakap kepada Comicbook.com, Square Enix telah mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut ialah Kamala Khan. Kata mereka:

“Ya, itu adalah Kamala Khan semasa muda yang berada di jambatan di atas pengangkut helikopter itu semasa serangan. Kami akan kongsikan info lanjut tentang bagaimana beliau akan dimasukkan ke dalam game pada masa akan datang.”

Persoalan yang timbul pula selepas pengesahan ini ialah, apakah Ms. Marvel akan menjadi watak sampingan sahaja atau ia akan boleh dimainkan oleh pemain dalam game nanti? Apa yang lebih menarik ialah game Marvel’s Avengers ini akan berlangsung selama lima tahun —  bermakna, dari Kamala Khan yang masih muda itu, kita mungkin akan dapat melihat beliau membesar dan seterusnya mempunyai potensi kuasanya.

Dari laman web rasmi Marvel, Kamala digambarkan sebagai seorang berdarah campur Pakistan-Amerika yang membesar di Jersey City. Kamala mengidolakan pelbagai superhero seperti Captain Marvel. Apabila memiliki kuasa luar biasa semasa menjadi Ms. Marvel, beliau berupaya menukar bentuk dan saiz.

Marvel’s Avengers akan dilancarkan pada 15 Mei 2020 untuk PC, PS4, Xbox One dan Stadia.

Terima kasih, Comicbook.

JomKomen!