in , , , ,

Game-Game Terbaik Generasi Ini (2013-2020) Pilihan Barisan Penulis JomGaming

Tidak keterlaluan untuk kita katakan, rasa macam baru semalam sahaja kita memulakan generasi gaming ini pada tahun 2013. Pejam celik, kita sudah beralih ke generasi gaming seterusnya melalui pelancaran konsol generasi baharu pada November 2020.

Banyak yang telah dicapai dalam generasi ini, sama ada telah membangunkan game-game yang mendefinisikan generasi ini, teknologi-teknologi baharu yang perkenalkan, mahupun perkhidmatan-perkhidmatan langganan yang diinovasikan, serta banyak lagi.

Bagi meraikan penamat kepada sebuah generasi yang cukup cemerlang, barisan penulis telah bersembang sesama kami tentang apakah game dari generasi ini yang benar-benar telah memberikan kesan kepada diri kami masing-masing secara peribadi.

Oleh itu, dalam artikel kompilasi kali ini, kami nyatakan apakah game terbaik dari generasi PS4, Xbox One, Nintendo Switch atau PC yang dikeluarkan dalam tempoh waktu tahun 2013 hingga 2020 pilihan kami, berserta sedikit huraian mengapa kami memilihnya.

Jom kita imbas kembali.

Metro: Last Light — Pilihan Danial DaxZuher

Platform: PS3, PS4, Xbox 360, PC (2013)

Siri Metro memang sesuatu yang tidak asing lagi dalam industri video game. Bermula sebagai senaskah karya novel oleh Dmitry Glukhovsky dan kemudian diadaptasi dalam bentuk video game oleh pembangun 4A Games. Pemain dapat merasai kehidupan protagonis Artyom bagaimana dia hidup di bandar Moscow yang hancur akibat dari perang nuklear.

Artyom yang hidup di stesen kereta api bawah tanah yang dipanggil sebagai Metro melihat nasib manusia disekelilingnya yang pelbagai, dalam masa yang sama misinya mencari Dark Ones.

Kenapa penulis memilih Metro: Last Light sebagai game terbaik generasi ini? Kerana penulis tertarik dengan grafiknya yang cantik dan atmosferanya yang menaikkan ketakutan kepada pemain apabila bersendirian dalam kegelapan di Metro sambil diperhatikan oleh raksasa-raksasa yang bersedia untuk membunuh pemain.

Mekanikme seperti mengecas lampu, menukar silinder gas pada topeng oksigen dan mengelap visor topeng, semua itu adalah elemen survival yang perlu dihadapi oleh pemain. Malah, plotnya yang mudah tapi menarik membuatkan penulis mahu terus bermain sehingga habis.

Titanfall 2 — Pilihan Badd Yblyss

Platform: PC, PS4, Xbox One (2016)

Penulis menyifatkan Titanfall 2 sebagai game shooter paling inovatif bagi generasi ini.

Dilancarkan antara dua francais shooter yang besar, Titanfall 2 seolah lemas diasak hype terlampau game-game tersebut lantas melenyapkan ia dari consciousness gamers circa 2016-2017. Sedih bhai!

Bagi penulis yang bermain Titanfall 1, seterusnya Titanfall 2 dari Tech Test ke beta dan langsung ke day 1 Titanfall 2 – penulis berani jamin dan gerenti korang takkan merasa rugi bermain Titanfall 2. Ianya sebuah naskhah yang digarap dan diperhalusi cukup kemas baik dari aspek single-player (story mode) dan semestinya multiplayer, dan IMHO Titanfall 2 selayaknya menduduki takhta FPS shooter paling inovatif dan berpengaruh.

Berani penulis katakan, Titanfall 2 begitu gamechanging, sehingga game-game shooter lain selepasnya cuba menerapkan aspek-aspek gameplay Titanfall yang mementingkan movement vertical dan melawan hukum fizik gravity. Kerana sebab ini juga penulis jatuh hati dengan Apex Legends, game shooter battle royale yang berlatarbelakangkan dunia yang dibina dalam francais Titanfall.

Jalan cerita single-player yang dipersembahkan berjaya mencampak penulis ke dalam dunia Titanfall lalu penulis terus terbuai dengan dialog dan interaksi antara watak utama dan sidekicknya, si BT. Jujur penulis akui, Titanfall 2 adalah game shooter pertama pernah dimainkan penulis di mana story modenya buat penulis sebak di penghujung jalan cerita!

Multiplayernya juga cukup mendebarkan dan menyeronokkan. Seperti di dalam Titanfall pertama, korang akan bermain sebagai askar upahan yang boleh “menyeru” Titan dijatuhkan dari angkasa lepas untuk digunakan sebagai senjata peperangan! Titanfall 2 juga menjanjikan kepelbagaian senjata, single-player campaign dan juga game mode yang kreatif!

Seperti yang penulis katakan tadi, Titanfall 2 sangat mementingkan gerakan dan gameplay vertical yang laju – sehinggakan jika kita berlari di atas tanah, kita seolah “dihukum” dengan pergerakan yang terasa sangatlah perlahan! Penggunaan grappling hook yang berkesan digabungkan dengan aspek mobility gameplay seperti penggunaan double jump, wallrun dan slide boleh menjadikan korang ninja angkasa lepas yang sangat pantas! Terasa puas dan OP bila berjaya merentasi map tanpa menjejakkan kaki ke tanah!

Bagaimanapun, kerana tarikh pelancaran yang sedikit kurang bijak dari EA selaku penerbit, multiplayer Titanfall 2 di rantau kita ini mati dengan begitu cepat kerana ada game shooter besar lain yang menarik pemain dari Titanfall 2. Kecewa sungguh!

Pendek kata, kalau korang belum memainkan Titanfall 2, korang (mungkin) masih sempat beli di Steam (semasa artikel ini ditulis) yang tengah sale sekarang dengan harga RM36. Kalau tidak pun, beli sahaja, mainkan single-playernya dan simpan di dalam koleksi game kalian bagi meraikan naskhah gaming shooter paling bersejarah bagi generasi ini.

Jalan cerita yang beremosi, multiplayer yang moden dan sangat menguji mechanical skills, sentuhan art style dan lore yang mendalam – semuanya diadun secukup rasa menjadikan Titanfall 2 sebuah game shooter paling awesome walaupun kurang mendapat perhatian gamer yang selayaknya pada waktu itu.

Trust me. Mainkan Titanfall 2, jika hanya untuk jalan cerita single-playernya.

Dah main, bagitahu penulis apa korang rasa. OK?

The Legend of Zelda: Breath of the Wild — Pilihan Zack Salleh

Platform: Nintendo Switch (2017)

Tak pernah mencuba siri Zelda? Mungkin The Legend of Zelda: Breath of the Wild merupakan siri yang patut korang cuba. Penuh dengan eksplorasi dan pengembaraan yang merata-rata dan meluas pastinya akan membuat korang tak jemu untuk meneroka seluruh ceruk Hyrule. Inginkan cabaran? terdapat 100 Shrines of Trials untuk korang hadapi sambil melayan kisah yang telah disediakan dengan cukup teliti dan bakal membuai perasaan.

Sememangnya layak dipanggil game terbaik generasi ini, selain The Witcher 3

JomBaca: The Legend of Zelda: Breath of The Wild: Boleh Beli Or Boleh Blah!?

Red Dead Redemption 2 — Pilihan Faiz Tobeng

Platform: PS4, Xbox One, PC, Stadia (2018)

Sehingga detik ini, penulis masih tidak percaya bagaimana sebuah game yang berlatarbelakangkan zaman koboi mampu benar-benar menambat hati penulis. Secara peribadi, tiada satu pun filem atau drama televisyen bertemakan zaman koboi yang menjadi kegemaran penulis, malah premis cerita, latar belakang dan budaya zaman koboi itu sendiri penulis tidak minat.

Lebih ironi, penulis tidak pernah juga bermain game pertama Red Dead Redemption yang dikeluarkan pada tahun 2010 — dalam erti kata lain, penulis tidak meletakkan apa-apa harapan ketika memulakan game ini. Tapi itulah hakikatnya — Red Dead Redemption 2, prekuel kepada game pertamanya, yang dilancarkan oleh Rockstar Games pada tahun 2018 merupakan game yang penulis pilih sebagai terbaik untuk generasi ini.

Red Dead Redemption 2 penulis nobatkan sebagai sebuah karya agung yang menggabungkan segala aspek untuk menjadikannya sebuah game yang hampir sempurna. Jalan cerita yang penuh bermakna, gameplay yang memuaskan, rekaan open-world yang hidup, grafik memukau penuh sinematik, lagu-lagu soundtrack yang syahdu — menciptakan sebuah pengalaman nirmala yang mampu meremangkan bulu roma.

Tidak ada game lain yang pernah memberikan impak emosi sebagaimana Red Dead Redemption 2 telah sematkan kepada penulis, lebih-lebih lagi penamat ceritanya yang mampu menitiskan air mata.

Red Dead Redemption 2 bukan sahaja game terbaik generasi ini, malah game terbaik yang pernah penulis mainkan dalam hidup, setakat ini.

JomBaca: Red Dead Redemption 2: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Star Wars Jedi: Fallen Order — Pilihan Intan Zarthana

Platform: PS4, Xbox One, PC (2019)

Sejak konglomerat Mickey Mouse iaitu Disney memeterai perjanjian eksklusif dengan syarikat yang paling tidak disukai orang ramai dua tahun berturut-turut pada 2014, perjalanan game francais Star Wars di bawah lesen eksklusif EA penuh dengan onak dan duri.

Meskipun EA terpalit dalam kontroversi lootbox dan mencurah minyak ke dalam api dengan kenyataan “game single player tak laku”, EA menukar haluan dari berpaksi ke arah multiplayer kepada singleplayer dengan membawa masuk Respawn Entertainment (studio terkenal dengan siri Titanfall & Apex Legends) untuk membangunkan game single player berjudul Star Wars Jedi: Fallen Order yang dilancarkan pada 15 November 2019.

Saya memilih Star Wars Jedi: Fallen Order kerana inilah game yang ditunggu-tunggu oleh peminat Star Wars seperti saya sendiri. Tanpa perlu lootbox untuk lariskan jualan, game singleplayer ini meletakkan pemain sebagai seorang Jedi Padawan bernama Cal Kestis yang terlepas daripada tragedi Order 66 di mana kesemua Jedi diburu dan dibunuh di seluruh galaksi — 5 tahun selepas kejadian berlaku dalam filem Star Wars: Episode III – Revenge of the Sith.

Gaya gameplay Star Wars Jedi Fallen Order bukanlah ternyata baru, malah ia adalah perkahwinan mekanik game yang laris daripada kebanyakan game terkenal seperti sistem pertarungan mencabar dan tempat save point seperti dalam Dark Souls, teka-teki ala Uncharted dan Metroid, dan aksi blockbuster seperti Titanfall dan God of War.

Anda mengharungi latihan memori Force, cabaran mengalahkan bos, dan dikejar oleh bounty hunter bersama-sama dengan Cal antara golongan Jedi yang hampir pupus serta dibantu oleh karakter-karakter lain yang membantu serta membentuk perspektif Jedi ini. Gabungan mekanik-mekanik dipadankan dengan kisah Cal diburu oleh Second Sister berjaya menghasilkan game yang memberi pengalaman bermakna kepada pemain.

Secara jujurnya, saya tiada apa-apa jangkaan bagus kepada game ini setelah saya penat dengan francais ini setelah melihat keluaran Star Wars: Battlefront I & II penuh dengan lootbox serta plot filem The Rise of Skywalker menghampakan saya. Namun selepas Star Wars Jedi: Fallen Order mendapat sambutan hangat dalam kalangan pemain, ini membuktikan masih lagi ramai pemain yang mengidamkan game berbentuk singleplayer.

JomBaca: Star Wars Jedi: Fallen Order: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ghost of Tsushima — Pilihan Afiq Phirinko

Platform: PS4 (2020)

Pada pendapat saya, Ghost of Tsushima adalah game terbaik untuk generasi ini. Pertama sekali, salah satu sebab ianya layak adalah skala kandungan selari dengan dunianya yang besar. Setiap kali saya menerokai dunia GoT, terdapat sidequests yang pelbagai dan ada penceritaan mereka sendiri. Saya dapat mempelajari mengenai dunia GoT itu sendiri dan karakter-karakternya.

Di samping itu, sistem permainannya juga salah satu faktor. Menggunakan pedang samurai di samping alat-alat untuk melawan musuh membuatkan saya teruja sepanjang bermain. Ia memudahkan saya untuk membuat pelbagai variasi dalam strategi permainan saya dan membuatkan saya berasa seperti seorang samurai.

Tak lupa juga, cara penceritaan juga menjadi satu daya tarikan. Cara penceritaannya seperti filem-filem samurai lama, di mana kita boleh lihat melalui cutscene-cutscene sepanjang permainan. Fokus kepada watak utama juga banyak, di mana kita dapat mengenali selok-belok watak utama dan lebih mendalami jiwanya.

JomBaca: Ghost of Tsushima: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Inilah game-game pilihan barisan penulis JomGaming yang kami rasakan sebagai game yang telah mendefinisikan generasi gaming yang berlangsung dari 2013 hingga 2020 ini.

Tapi ini kami, bagaimana pula dengan korang? Apa game pilihan korang? Kongsikannya di ruangan komen dan nyatakan sebabnya.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

No Straight Roads Umumkan Kandungan Percuma Bertemakan Perayaan Krismas

Yuna Adalah Individu Pertama Miliki PS5 Set Malaysia Secara Rasmi