in , ,

Gambar Baharu Filem Uncharted Dikongsikan, Para Peminat Mula Risau Melihat Penampilan Drake, Sully

Sekeping gambar dari filem Uncharted telah dikongsikan oleh The New York Times, dan para peminat sudah mula bimbang dengan rupanya yang tidak langsung kelihatan seperti dalam francais game tersebut.

Gambar itu memperlihatkan Nathan Drake (Tom Holland) dan Victor Sullivan (Mark Wahlberg) sedang meneliti sebuah bilik purba.

Apa yang membimbangkan adalah, pertama, pakaian yang dipakai mereka berdua tidak menampakkan ciri-ciri dari game Uncharted itu sendiri, di mana mereka hanya memakai kostum yang generik seperti kebanyakan filem Hollywood lain.

Kedua, Sully tidak mempunyai misai, sesuatu yang cukup sinonim dengan watak tersebut. Walaupun ia merupakan sebuah prekuel kepada francais game-nya, iaitu ketika mereka masih muda, kita semua tahu bahawa Sully tetap mempunyai misai nipisnya itu ketika berusia muda — satu babak yang dapat kita lihat dalam Uncharted 3: Drake’s Deception.

Apa dan di mana sebenarnya babak ini dalam filem itu masih lagi belum kita ketahui. Tetapi ia agak mengelirukan kerana sekitar Oktober tahun lalu, Wahlberg ada memuatnaik satu video di Instagram yang memperlihatkan beliau memakai baju yang cukup sinonim dengan Sully, serta bermisai.

Para peminat sudah mula bercakap-cakap tentang filem yang mungkin bakal menjadi satu lagi filem adaptasi dari video game yang gagal memandangkan kostum yang tidak langsung kelihatan seperti sumber asalnya. Malah, ada peminat yang mengatakan sekiranya mereka tidak tahu apa-apa tentang gambar itu, mereka langsung tidak boleh meneka yang ia merupakan gambar dari filem adaptasi Uncharted.

Artikel The New York Times itu turut menampilkan temuramah bersama Asad Qizilbash, Ketua PlayStation Productions dan Ketua Produk PlayStation Worldwide Studios.

“Kami memiliki tiga objektif, ujar Qizilbash. “Mengembangkan audiens untuk game-game. Bawa produk kepada Sony Pictures. Mempamerkan kolaborasi.”

Beliau turut mengakui terdapat beberapa risiko dalam mengadaptasi sesebuah francais game, menyatakan sekiranya filem tersebut gagal, ia mampu merosakkan siri game itu. “Ia berisiko, tetapi saya rasa kami mampu lakukannya,” tambah beliau.

The New York Times juga mendedahkan bahawa Sony telah membelanjakan sebanyak USD120 juta (sekitar RM497 juta) untuk pembikinan filem ini.

Filem Uncharted diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara arahan yang mengangkat nama Fleischer ialah filem Zombieland dan Venom.

Filem ini dibintangi Tom Holland sebagai Nathan Drake yang muda dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut menampilkan Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.

Filem Uncharted akan ditayangkan di pawagam pada Februari 2022. Selepas tamat tayangan di pawagam, ia akan masuk ke Netflix, melalui perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Pemain GTA V Ini Habiskan Story Tanpa Terkena Satu Tembakan/Tercedera Langsung

Sony Nafikan Filem Atau Siri TV God of War Sedang Dibikin