Minat bermain video game, sama seperti apa jua hobi sekalipun, tidaklah sepatutnya dibeza-bezakan melalui jantina. Ia seharusnya bebas diceburi oleh kedua-dua kaum Adam dan Hawa.

Namun begitu, norma masyarakat negara ini yang masih kurang peka terhadap hobi ini, menganggap bermain video game adalah sebuah permainan hanya untuk lelaki. Akhirnya menyebabkan hobi ini kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki.

Apabila stigma ini mula ditanam dalam masyarakat, ketidaksefahaman acapkali timbul antara pasangan kekasih mahupun suami isteri. Lumrah kehidupan, sedangkan lidah lagi tergigit, pastinya terdapat pada suatu ketika yang mana sesetengah pasangan akan berkelahi terhadap hobi yang “hanya dimainkan” oleh lelaki ini.

Seorang gadis Malaysia, Jolin Ong telah menyatakan pendapatnya dalam perkara ini. Dalam satu post di Facebook-nya (terjemahan World of Buzz), beliau telah menasihati rakan seangkatan wanitanya untuk sentiasa menyokong hobi yang disukai oleh teman lelaki mereka, iaitu bermain video game.

“Sejak kebelakangan ini, saya lihat ramai gadis merungut tentang teman lelaki mereka bermain game dan mengabaikan mereka. Dalam sesetengah situasi, berakhir kepada terputusnya hubungan mereka,” kata Ong memulakan bicara.

Beliau kemudian menceritakan bagaimana beliau dulu juga tidak menyukai teman lelakinya yang meminati hobi ini, namun ada kisah yang menyebabkan pandangannya berubah.

“Saya ingin bercerita kepada anda bahawa pada suatu ketika dulu, saya juga tidak menyukai seorang teman lelaki yang ketagih kepada game, terutamanya apabila dia bersama teman wanitanya (saya). Sehingga kepada suatu hari, saya memutuskan untuk membiarkan dia bermain. Tidak lebih daripada setengah jam selepas itu, dia dengan terujanya memberitahu yang dia telah memenangi game itu.”

“Dan pada detik itulah saya sedar yang saya patut memberikannya sedikit ruang. Apabila dia gembira, secara semula jadinya dia akan membuat anda bahagia juga.”

Kemudian, bermulalah kisahnya di mana Ong sentiasa memberikan sokongan kepada teman lelakinya apabila dia bermain video game.

“Tanpa disedari, saya juga menjadi tertarik dengannya (video game) dan seterusnya memuat-turun game itu. Kini, apabila saya mahu teman lelaki menemani saya ke mana-mana, untuk menonton filem yang dia rasakan bosan, atau pergi membeli-belah, dia tidak akan merungut dan tidak akan membantah.”

“Tetapi jika anda langsung tidak meminati gaming, maka anda boleh sekurang-kurangnya menemani dia secara senyap apabila dia bermain. Jangan merungut dan tidak akan ada perkelahian.”

“Juga, ia hanyalah game dan bukan perempuan simpanan. Teman lelaki anda tidak akan lari dengan game itu, jadi apa yang anda risaukan sangat? Percayakan yang teman lelaki anda sentiasa ada kamu dalam hatinya. Kamu semestinya tidak akan digantikan dengan sebuah game.”

Akhir kata, sama-samalah kita hayati beberapa rangkap daripada lagu evergreen nyanyian Allahyarham Tan Sri SM Salim, Dulu Lain Sekarang Lain:

“Bilalah sudah berumahtangga
Habislah juga zaman muda
Bilalah sudah berumahtangga
Habislah juga zaman muda

Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Tentu selamat rumahtangga”

JomKomen!