in , , ,

Francais Battlefield Dirombak Besar-Besaran, Kini Diketuai Pengasas Respawn, Akan Bikin ‘Universe Battlefield’

EA kini sedang melakukan rombakan besar-besaran kepada pasukan pembangun francais Battlefield setelah menerima kritikan amat teruk selepas pelancaran Battlefield 2042, lapor Gamespot.

Pengurus Besar DICE, Oskar Gabrielson telah meninggalkan studio tersebut untuk mencari nafas baharu di luar syarikat EA. Peninggalan beliau ini telah membuatkan EA melantik beberapa muka baharu.

Pengganti langsung kepada Gabrielson ialah Rebecka Coutaz, iaitu bekas pengarah studio di Ubisoft Annecy. Gabrielson akan kekal sebentar bersama EA dalam baki tahun ini untuk membantu Coutaz dalam transisi jawatan tersebut.

Vince Zampella, iaitu pengasas-bersama Respawn Entertainment, studio yang terkenal membikin siri Titanfall dan Apex Legends, kini dilantik sebagai ketua untuk keseluruhan francais Battlefield. Bagi yang tidak tahu, Zampella juga merupakan individu penting dalam membangunkan beberapa Call of Duty dan Medal of Honor.

Bekas pereka Halo, Marcus Lehto pula dipertanggungjawabkan untuk membina sebuah pasukan pembangunan baharu di Seattle, Amerika Syarikat yang mana studio itu bakal memfokuskan untuk menyuntik lebih banyak penceritaan dalam universe Battlefield.

Ripple Effect pula, iaitu studio yang membangunkan mode Portal dalam Battlefield 2042, kini diberikan tugas lebih besar untuk membangunkan pengalaman Battlefield baharu dalam universe Battlefield 2042.

Menurut EA, dalam masa terdekat nanti, Ripple Effect dan studio baharu yang dipimpin Lehto akan bekerjasama untuk mengembangkan dan menambahbaik Battlefield 2042.

Segala pengalaman dan perkembangan baharu ini akan mewujudkan satu universe bersambung dalam francais Battlefield. Walau bagaimanapun, butiran lanjut mengenainya dan bilakah kita dapat saksikannya masih belum didedahkan.

Melalui kolaborasi antara studio baharu pimpinan Lehto yang masih belum mempunyai nama itu dan Ripple Effect, objektif mereka adalah untuk memperluas naratif, penceritaan dan peluang-peluang perkembangan karakter dalam siri Battlefield.

Antara individu penting yang akan membantu Lehto mengembangkan penceritaan Battlefield ini ialah Byron Beede, iaitu seorang veteran dalam membangunkan siri Call of Duty sebelum ini.

Sama ada perubahan dan rombakan ini akan membuahkan hasil ataupun sebaliknya, hanya masa yang akan menentukan.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Jualan Game Asal Titanfall Dihentikan – Respawn Mungkin Mengacah Titanfall 3?

Red Dead Redemption 3 Mungkin Sedang Dibangunkan, Menurut Profil LinkedIn Pembangun Ini