in , , , , , ,

For Honor: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Pertarungan antara Knights, Viking dan Samurai – adakah sehebat yang disangka?

For Honor pertama kali diperkenalkan kepada umum oleh Ubisoft pada acara E3 2015. Apabila melihat gameplay yang dipaparkan pada masa itu, penulis terus tertarik dengan game pertarungan senjata tajam pada zaman pertengahan ini.

Jadi, selepas ia telah dilancarkan pada 14 Februari 2017, adakah tertariknya penulis kepada game ini pada 2015 lalu berbaloi? Jom baca pandangan penulis mengenai For Honor.

Gameplay Yang Cukup Menyegarkan

For Honor merupakan sebuah game bergenre action fighting game. Apa yang membezakan game ini dengan game-game fighting yang lain adalah bagaimana ia dimainkan apabila bertemu antara satu sama lain dengan musuh.

Bagi penulis, For Honor telah mencipta satu sub-genre-nya tersendiri yang unik. Ia boleh jadi sebuah game hack-and-slash pada suatu ketika (hanya apabila memainkan mode Dominion & Skirmish yang memiliki minions), dan bertukar menjadi sebuah gameplay yang sama sekali berlainan apabila berhadapan dengan pemain lain.

Kelainan yang dibawakan ke dalam For Honor, yang juga membuatkan ia berbeza dengan game-game perlawanan pedang lain adalah ia bukan sekadar memiliki butang heavy attack, light attack dan menahan (block) sahaja. Setiap heavy attack, light attack dan block itu memiliki tiga arah yang perlu dipilih dan diputuskan dalam jangka waktu yang sangat, sangat singkat apabila sedang bertarung. Lebih-lebih lagi apabila bertarung dengan pemain yang bagus serta menggunakan Hero yang mempunyai gerakan yang cukup pantas.

Apa yang membuatkan penulis begitu seronok memainkan game ini adalah, ia mungkin adalah game perlawanan pedang paling unik dan realistik pernah penulis mainkan. Setiap pukulan dan blocking yang dilakukan haruslah disusuli dengan tiga arah tersebut, membuatkan setiap pertarungan 1v1 itu akan sentiasa terasa lain daripada pertarungan sebelumnya. Sentiasa unik.

Jika diulas dengan lebih lanjut, For Honor mempunyai mekanik pertarungan yang agak kompleks. Heavy attack, light attack, blocking, guardbreak, dodge, dan ditambah dengan serangan istimewa menggunakan d-pad membuatkan pertarungan game ini adalah sangat mendalam. Itu belum diceritakan tentang combo-combo yang dimiliki oleh setiap Hero.

12 Hero Semasa Pelancaran – Cukupkah?

Karakter yang terdapat dalam For Honor dipanggil Hero. Semasa pelancaran, terdapat 12 Hero yang boleh dimainkan, yang mana setiap Factions (Knights, Viking & Samurai) mempunyai 4 Hero.

Jika melihat sahaja kepada bilangan 12 Hero tanpa mencuba game ini sendiri, kita mungkin akan mengatakan bahawa jumlah itu adalah sedikit. Namun, apabila mencuba setiap daripada Hero ini, pandangan anda pasti akan berubah.

Setiap Hero memiliki gameplay yang cukup berbeza daripada Hero yang lain. Kepantasan pukulan, kelajuan larian, senjata yang digunakan, damage yang diberikan, damage yang diterima – semuanya membuatkan seseorang pemain itu hanya ditakdirkan untuk memainkan satu Hero yang sesuai dengan gaya permainan mereka sendiri. Membuatkan ia lebih kompleks dan unik, setiap Hero mempunyai pelbagai combo mereka yang tersendiri. Anda tidak akan boleh menggunakan combo yang sama dengan menggunakan Hero yang lain.

Menambahkan unsur “wow” yang ditampilkan dalam game ini adalah bagaimana gerakan-gerakan bertarung atau koreografi setiap Hero itu cukup membuatkan mata penulis terpersona. Setiap pukulan light attack, heavy attack, parry, deflect, blocking, dodge, guardbreak (tolak, tendang ataupun angkat) – segalanya menampakkan “berseni” dan memperlihatkan setiap Hero itu memiliki identitinya yang tersendiri.

Story Mode – Berbaloi Untuk Dimainkan?

Apabila bercerita tentang Story Mode yang ditampilkan dalam For Honor, penulis merasai perasaan yang bercampur-aduk. Ada pelbagai elemen positif, tetapi elemen negatif juga bermacam-macam.

Pada mulanya, penulis menjangkakan bahawa Story Mode yang akan ditampilkan hanyalah seperti sebuah tutorial yang diselitkan dengan sedikit babak cinematic yang biasa-biasa. Namun, ternyata, jangkaan penulis meleset. Di samping memfokuskan gameplay yang utama, iaitu perlawanan pedang berhadapan dengan musuh, ia turut membawakan beberapa gameplay lain yang mungkin tidak boleh dan tidak sesuai dimasukkan ke dalam multiplayer.

Boss fight yang ditampilkan dalam For Honor adalah sesuatu yang penulis memang tidak jangkakan yang mereka akan mampu untuk memasukkan kejutan seperti ini. Ia membawakan Boss fight yang game-game action lain kebiasaannya bawakan, sebagai contoh God of War. Ia mampu membuatkan penulis “geram” dengan gaya permainan Boss ini yang “pengecut”.

Anda boleh baca ulasan spoiler di bawah yang mungkin ada sesetengah pembaca yang minat. Sekali lagi penulis ingatkan, ia adalah SPOILER!

[su_spoiler title=”(SPOILER) Boss fight dalam Story Mode (klik untuk baca)” style=”simple” icon=”plus-circle”]Boss akan mempunyai nyawa yang jauh lebih banyak daripada karakter pemain (Boss fight tipikal). Kemudiaan, apabila nyawanya tinggal separuh, terdapat insiden-insiden yang membuatkan Boss ini berpeluang untuk melarikan diri. Pemain perlu berjumpa dengan minion-minion semula dalam perjalanan mengejar Boss yang lari tadi. Selepas itu, apabila nyawa Boss tinggal suku, dia memanggil pula-pula binatang-binatang buas, seperti serigala untuk menyerang pemain. Lebih daripada 10 ekor serigala tidak putus-putus menyerang pemain, yang mana dalam masa yang sama, Boss itu turut melontarkan beberapa serangan.

Selain itu, ada juga pada babak yang lain pula, di mana Boss hanya tinggal satu pukul untuk dimatikan, dan gameplay pun terhenti dan seterusnya memasuki babak cinematic. Boss itu terus melarikan diri dengan menunggang kuda, dan gameplay pun bertukar kepada babak kejar-mengejar menunggang kuda antara watak utama dengan Boss itu tadi. Babak ini pula diselangi dengan kehadiran askar-askar serpihan Boss tadi yang cuba menghalang watak utama daripada mendekati Boss-nya. Pukulan pedang dari satu kuda ke kuda yang lain pula berlaku. Memang mengujakan![/su_spoiler]

Lebih membuatkan Story Mode ini menyeronokkan dan memudahkan, ia juga boleh dimainkan secara co-op bersama 3 rakan yang lain. Keupayaan co-op ini membuatkan For Honor ini boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Itu apabila kita bercakap tentang elemen positif yang terdapat dalam Story Mode. Elemen negatif yang kurang menyenangkan penulis juga amat banyak.

Apabila menjanjikan sebuah Story Mode yang penuh, bagi penulis, jalan cerita dan bagaimana ia disampaikan (naratif) adalah perkara paling utama. Penceritaan yang terdapat dalam Story Mode For Honor boleh dikatakan membosankan. Ia tidak mencapai makna dan standard sesebuah Story Mode yang lengkap.

Bukannya ia tidak memliki asas cerita yang baik. Namun, cara ia dikembangkan dan dibawakan kepada pemain seperti “tidak sampai”. Dialog dan gaya pelakon-pelakon suara melontarkan skrip-skrip yang ditulis terasa sungguh janggal. Kadang-kala dialog terasa seperti bukan berada pada zaman pertengahan. Senang kata, penulisan skrip yang gagal membawa penulis masuk ke dalam era itu.

Ubisoft & Server-nya

Pepatah Melayu ada menyebutkan: apalah nak diharapkan pada dagang, bertukar musim, berlalulah dia. Pepatah gaming pula bolehlah kita katakan: apalah nak diharap pada server Ubisoft, keluar game baru, tak stabil-lah multiplayer-nya.

Tahap server yang terdapat dalam For Honor buat masa ini adalah apa yang anda boleh jangkakan dengan server tipikal Ubisoft semasa pelancaran sesebuah game baru mereka. Disconnection semasa in-game, semasa loading, semasa baru memasuki round baru – ya, sejarah lama sentiasa berulang dalam server Ubisoft.

Situasi yang lebih menjengkelkan adalah apabila seorang pemain yang disconnected daripada server, dan skrin pemain yang lain pula menjadi freeze. Dan kesemua pemain perlu restart application. Ini berlaku dengan kerap sekali! Boo Ubisoft! Boo!

Offline Mode! Satu Kerugian!

Semua pasti sudah mengetahui bagaimana Ubisoft telah memungkiri janji. Mereka pada awal pengumuman game ini telah menyatakan bahawa For Honor akan didatangkan bersama dengan mode splitscreen, sebelum ia diumumkan pula bahawa splitscreen tersebut telah dibuang.

Semasa Ubisoft mengumumkan bahawa mereka telah membuang mode ini, penulis tidaklah terlalu peduli tentangnya kerana penulis bukanlah seorang yang selalu bermain splitscreen dalam mana-mana game lain. Namun, semakin lama penulis memainkan game ini, semakin penulis sedar bahawa For Honor adalah game yang sangat seronok jika dapat dimainkan dengan splitscreen bersama-sama rakan di sebelah.

Cuba anda bayangkan, sebuah game fighting, tanpa kehadiran offline mode yang boleh dimainkan bersama rakan-rakan di sebelah. Tekken dan Street Fighter tidak boleh berentap secara offline? Atau mungkin siri WWE dan UFC juga dengan ketiadaan mode ini? Begitulah penulis rasakan tentang ketiadaan splitscreen dalam For Honor.

(Video di bawah terdapat SPOILER)

Keputusan: Boleh Beli or Boleh Blah!?

BOLEH BELI – Cuba anda fikirkan sejenak, Knights, Viking dan Samurai – tiga pahlawan yang cukup hebat dan tersohor dalam sejarah ini bertemu. Ya, mereka dalam sejarah tidak pernah dicatatkan bertemu dan bertempur antara satu sama lain. Dan itulah yang boleh kita katakan sebagai indahnya video game, umumnya, dan betapa seronoknya For Honor, khususnya. Ia mempertemukan pahlawan-pahlawan ini dalam sebuah video game, sesuatu yang mungkin kita hanya boleh berimaginasi sebelum ini – dan yang paling penting, pemain boleh mengawalnya.

Senang cerita, For Honor adalah sangat sesuai kepada mereka yang gemarkan game bergenre fighting, lebih-lebih lagi sekiranya anda adalah seorang peminat pertarungan zaman pertengahan.

BOLEH BLAH – Sekiranya anda ingin mencarikan sebuah Story Mode, berlatarbelakangkan era peperangan zaman pertengahan yang mantap, ini bukanlah game yang anda perlu. Story Mode-nya mungkin boleh membuatkan anda jatuh cinta kepada mekanik fighting game ini, namun bukan jatuh cinta kepada jalan cerita itu sendiri.

Dan jika anda seorang yang penyabar, bolehlah anda mendapatkan game ini kerana server yang ada dalam For Honor masih lagi belum stabil. Tunggulah terlebih dahulu untuk Ubisoft berjaya membaiki server game ini sehingga benar-benar stabil.

+ Keseronokan bertarung antara Knights, Viking dan Samurai
+ Gameplay fighting yang cukup mendalam, menyegarkan & menghiburkan
+ Gerakan-gerakan koreografi Hero yang memukau
+ Hero yang unik, memiliki pelbagai combo yang kompleks
+ Boss fight dalam Story Mode yang agak menyeronokkan
+ Beberapa gameplay lain khas yang dibawakan ke dalam Story Mode

Jalan cerita & naratif dalam Story Mode yang membosakan
Server yang sangat tidak stabil
Game kerap kali freeze & crash
Ketiadaan mode splitscreen

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

Leave a Reply
  1. Skrg server dh stabil guys! Boleh beli, aku dah 14 jam lebih dah main game ni. Best gilo weh!

JomKomen!

Loading…

0
Nioh: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Nioh: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Jadikan Cita-Cita Menjadi Mobile Game Developer Suatu Kenyataan! Jom Bina Mobile Game!

Jadikan Cita-Cita Menjadi Mobile Game Developer Suatu Kenyataan! Jom Bina Mobile Game!