Di kala pandemik COVID-19 sedang menggegarkan dunia, Sports Interactive turut terkesan, lebih-lebih lagi terhadap pembangunan siri akan datang, Football Manager 2021 (FM2021).
Dalam satu kenyataan panjang lebar yang dikeluarkan, Sports Interactive telah mengumumkan yang FM2021 akan dilancarkan sedikit lewat berbanding pelancaran setiap tahun francais tersebut. Mereka tidak meletakkan sebarang tarikh lagi bilakah game itu akan dilancarkan, tapi menyatakan yang ia akan dilancarkan pada hujung tahun.
Mereka mendedahkan bahawa bekerja dari rumah sejak bulan Mac lalu untuk membangunkan FM2021 sememangnya sesuatu yang sukar. Jadual bola sepak di seluruh dunia yang masih lagi cacamarba disebabkan pandemik turut memberikan impak kepada pembangunan FM2021 kerana sebagai sebuah game simulasi yang menitikberatkan unsur realistik dari dunia bola sepak sebenar, menunggu jadual bola sepak kembali stabil sudah tentunya mustahak.
Pengumuman ini adalah sesuatu yang dijangka. Tiada apa yang mengejutkan. Walau bagaimanapun ada satu pendedahan menarik di akhir kenyataan ini.
Sports Interactive mendedahkan yang FM2021 nanti akan dilancarkan ke lebih banyak platform dan store daripada apa yang pernah mereka lancarkan sebelum ini. Namun, mereka mengatakan yang ia masih lagi terlalu awal untuk bercakap tentang maklumat lanjut mengenainya.
Kenyataan ini terus menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat bahawa FM2021 kelak akan dilancarkan ke konsol generasi akan datang — PS5 dan Xbox Series X — yang bakal dikeluarkan pada hujung tahun ini.
Apakah penantian pemain konsol untuk merasa game simulasi pengurusan bola sepak paling realistik sejak azali akhirnya bakal tamat? Sekiranya spekulasi ini benar-benar menjadi kenyataan, pastinya kita akan menyaksikan sebuah game yang berbeza dari segi user interface (UI) antara versi PC dan konsol.
Francais Football Manager mempunyai kumpulan peminatnya yang unik dan tersendiri. Di sebalik peperangan antara siri FIFA dan PES, Football Manager sentiasa gah meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah game simulasi pengurusan kelab bola sepak yang paling realistik.
Comments
Loading…