Final Fantasy VII Remake: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setelah 23 tahun penulis menunggu, Final Fantasy VII Remake kini menjadi realiti dan ia tidak menghampakan!

FINAL FANTASY VII REMAKE
Jejaka idaman semua wanita kini kembali setelah 23 tahun menyepi

Sebagai peminat tegar siri Final Fantasy keluaran Square Enix, penulis sebenarnya risau jika remake ini mungkin akan memunahkan memori-memori indah ketika bermain Final Fantasy VII pada tahun 1997. Tetapi remake ini bukan sahaja berjaya menjaga indah memori tersebut, malah Square Enix mewarnai lagi memori indah tersebut dengan grafik yang sangat detail, sistem battle yang penuh aksi, jalan cerita yang berkesinambungan dan ekspresi karakter yang penuh feel gitu.

Mari kita lihat satu persatu apa yang ada di dalam Final Fantasy VII Remake ini yang penulis suka dan sudah pasti ada juga kekurangan kerana tiada apa yang dicipta manusia adalah sempurna.

Grafik

Grafik dalam Final Fantasy VII Remake ini tidak menghampakan langsung. Setiap kawasan yang dimasuki dicipta dengan sangat tekun dan sangat tepat dengan mood kawasan tersebut. Boleh bayangkan tak piring yang berada di atas kawasan gelandangan direka dengan penuh detail sehingga kita boleh nampak setiap lekuk dan lampu walau jauh mana sekalipun tanpa efek blur. Lebih detail dari spaceships dalam Star Wars!

FINAL FANTASY VII REMAKE
Piring di atas bandar Midgar pun di reka dengan penuh detail!

Kawasan di setiap sektor yang berbeza dalam game juga tidak direka sekadar memenuhi pemandangan. Semuanya dicipta secara unik dan menambahkan lagi immersion kita sebagai pemain membuatkan kita tidak bosan melihat pemandangan yang sama sahaja. Rekaan karakter pula sangat detail. Kita dapat lihat setiap karat di senjata dan armor yang digunakan oleh karakter-karakter di dalam game. Kita juga dapat lihat materia-materia yang digunakan oleh karakter tersebut di senjata mereka.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Jauh ataupun dekat, semua arah di dalam game adalah sangat detail
FINAL FANTASY VII REMAKE
Hero tak pandang belakang bila bom meletup!

Efek-efek dalam battle dan juga cutscenes tidak menghampakan langsung. Tidak pernah sekalipun penulis merasa bosan melihat semua battle dan cutscene di dalam game ini. Malah penulis sentiasa ternanti-nanti bilakah battle dan cutscene yang seterusnya.

Perasaan muak tidak pernah sekali terlintas di fikiran penulis. Penulis juga bukan jenis gamer yang boleh main game berjam-jam sebab selalunya akan rasa mual nak muntah tetapi transisi dalam game antara roaming, battle dan cutscene sangat smooth seperti vanilla ice. Penulis boleh bermain berjam-jam tanpa sebarang keperluan untuk berhenti mengambil udara segar.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Babak battle memang sentiasa meriah dengan efek dan monster yang besar!
FINAL FANTASY VII REMAKE
Babak battle yang sangat lancar dan detail.
FINAL FANTASY VII REMAKE
Ekspresi karakter-karakter di dalam cutscene jelas kelihatan.

Cuma penulis kurang berkenan dengan posisi kamera semasa battle. Ia kurang tepat dan kadangkala sangat menjengkelkan untuk menukar di antara musuh-musuh yang ramai. Yang kelakarnya, command untuk menukar di antara musuh-musuh sama dengan command rotasi kamera di analog kanan secara default. Ini boleh di betulkan di dalam settings di menu tetapi pada penulis ia tetap satu kelemahan di dalam game ini. Tetapi penulis faham yang ini terjadi kerana Square Enix cuba untuk menggabungkan sistem real-time dan turn-base dalam game ini. Ini akan diceritakan dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Dan tentu sekali Square Enix tidak akan melepaskan peluang untuk menunjukkan betapa hensemnya Cloud dan betapa cantiknya heroin-heroin dalam siri Final Fantasy VII ini iaitu Tifa dan Aerith. Sakit kepala penulis dibuat oleh Square Enix kerana tidak sanggup untuk memilih antara Tifa dan Aerith. Grafik Final Fantasy VII Remake memang dahsyat!

FINAL FANTASY VII REMAKE
Kehenseman Cloud makin terserlah dengan lantunan lampu di rambutnya.
FINAL FANTASY VII REMAKE
Antara bunga dengan Tifa, mana lagi cantik?
FINAL FANTASY VII REMAKE
Kelembutan Aerith mampu mencairkan hati keras mana-mana lelaki.

Sistem Battle

Final Fantasy VII dulu terkenal dengan sistem battle turn-based dan ramai tertanya-tanya bagaimana Square Enix mengabungkasistem real-time dan sistem turn-based. Penulis hanya boleh cakap yang gabungan real-time dan turn-based dalam game ini adalah sangat memuaskan dan lancar sekali. Pemain bebas bergerak ke mana sahaja di dalam battle untuk tujuan taktikal dan juga boleh spam attack untuk memusnahkan musuh secepat mungkin.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Gaya Cloud menyeru Summon.

Walau bagaimanapun, jika pemain ingin membuat Abilities, Spells, Items dan Summons di mana ia sinonim dengan sistem battle turn-based, pemain boleh akses menu dengan hanya menekan butang O dan segala-galanya dalam battle akan masuk ke dalam mode slow-mo agar pemain boleh memilih sasaran untuk melaksanakan apa command yang terbaik.

Di sinilah di mana sistem battle Final Fantasy VII Remake bersinar. Cara pelaksanaan dari real-time kepada turn-based dan kembali semula kepada real-time adalah sangat lancar. Ia menggunakan sistem yang hampir sama seperti Final Fantasy XV tetapi kini disempurnakan dengan lebih cantik kali ini dari Square Enix.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Summon Ifrit membakar segala-galanya!

Setiap karakter juga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan mereka juga memerlukan kerjasama yang erat bagi mengalahkan musuh dengan secepat mungkin. Ini yang memberikan keseimbangan di dalam game dan membuat sistem battle lebih mendalam lagi.

Sistem materia juga kembali dalam Final Fantasy VII Remake dan penggunaannya tentu sekali sangat penting. Jika pemain memasang materia yang tepat untuk setiap battle, kemungkinan besar battle itu akan tampak mudah. Begitu juga sebaliknya. Tanpa materia yang betul, ia boleh menentukan menang atau kalah pemain di dalam game ini.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Tifa menyerlah apabila musuh kena Stagger.

Selain itu, Square Enix juga ada menyediakan sistem shortcut di dalam battle di mana pemain boleh set command yang kerap di gunakan melalui kombinasi butang di gamepad. Ini sangat menarik dan membantu melancarkan lagi pergerakan di dalam battle tanpa tekan butang menu. Ini sudah tentu terpulang kepada citarasa masing-masing untuk menggunakan ia atau tidak dan saya rasa bijaknya Square Enix ialah ia membenarkan pemain bebas untuk memilih cara battle yang mereka sukai.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Gabungan real time dan turn base yang sangat gempak!

Jalan Cerita

Jalan cerita dalam Final Fantasy VII Remake tetap sama seperti dulu. Walau bagaimanapun, ia diceritakan dengan lebih mendalam lagi dan ada banyak penambahan baru bagi mewarnai lagi cerita setiap karakter dalam game ini.

Bayangkan, karakter seperti Jessie mampu mencuri tumpuan dalam game ini walaupun dia hanyalah karakter sampingan dalam versi original yang dahulu. Square Enix memang betul-betul memastikan remake kali ini benar-benar memuaskan hati semua peminat tegar Final Fantasy VII.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Babak ikonik lama yang mendapat sentuhan baru.
FINAL FANTASY VII REMAKE
Karakter sampingan seperti Jessie juga mendapat perhatian lebih dari Square Enix.

Ada juga babak-babak yang pada pendapat penulis tidak perlu di mana Square Enix sengaja masukkan untuk memanjangkan game ini tetapi pada penulis itu hanyalah perkara kecil sahaja kerana dengan grafik yang sangat cantik dan jalan cerita yang sangat menarik, penulis enjoy sahaja.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Tifa belanja minuman di bar dia. Babak yang tak perlu tapi penulis tak komplen.
FINAL FANTASY VII REMAKE
Penulis sanggup buat apa sahaja untuk tukar tempat dengan Cloud!

Dan tentu sekali Square Enix tidak melepaskan peluang untuk memainkan emosi peminat tegar Final Fantasy VII dengan membawa beberapa babak ikonik dalam Final Fantasy VII dahulu dengan lebih mendalam lagi. Penulis tidak ingin masukkan spoiler di sini tetapi cukuplah untuk penulis bagitahu yang ada babak-babak yang buat penulis hampir menitiskan air mata dan menjerit nooooooooooooo.

Gembira, sedih, teruja, terkejut dan ketawa berdekah-dekah, pelbagai reaksi penulis dirakamkan dalam livestreaming di Facebook Jomgaming ketika bermain game ini dan penulis tidak malu untuk menunjukkannya. Begitulah impak jalan cerita yang dicipta oleh Square Enix ini.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Antara babak ikonik ketika Cloud dan Tifa masih kecil lagi. Mengimbau kenangan lama.
FINAL FANTASY VII REMAKE
Emosi Marlene yang risau tentang Barret dapat kita rasai.

Sekadar nota sampingan, penulis agak terkejut yang side quest dalam game ini tidak terlalu banyak. Yang menariknya, ia bukan sekadar feeler sahaja. Ia sebenarnya mengembangkan lagi jalan cerita dan karakter-karakter dalam game ini. Ada juga momen tipikal dalam game genre RPG seperti tolong carikan kucing dan musnahkan monster tertentu tetapi side quest seperti ini adalah perkara biasa di dalam mana-mana RPG sekalipun.

Cumanya, Square Enix tidak membuat side quest seperti ini menjadi sesuatu yang jauh lari dari cerita utama. Ia tetap ada kena mengena dengan perkembangan jalan cerita keseluruhan. Jangan risau, quest tolong carikan kucing kurang dari bilangan jari di tangan kanan penulis. Adakah berbaloi untuk melakukan kesemua side quest? Ya, sangat berbaloi!

FINAL FANTASY VII REMAKE
Menjadi Sultan of Squat dalam game tiada masalah. Di luar game? Jangan haraplah!
FINAL FANTASY VII REMAKE
Bagaimana penulis nak tolak side quest seperti ini? Penulis lemah

Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Final Fantasy VII Remake ini memang satu masterpiece dari Square Enix dan ada kemungkinan besar boleh menjadi antara game terbaik 2020. Persoalannya di sini, jika anda adalah peminat Final Fantasy VII Remake ini, patutkah anda membelinya sekarang kerana ini hanyalah episod pertama dari beberapa episod yang akan datang.

Pada mulanya bila penulis mendengar yang ia akan dilancarkan dalam beberapa episod, penulis rasa ia tidak berbaloi untuk beli sekarang. Walau bagaimanapun setelah penulis bermain lebih dari 24 jam dan lebih separuh dari game ini, penulis ubah fikiran dan rasakan anda patut main sekarang. Ia adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan dan berapa lama lagi anda patut tunggu lagi untuk kembali ke dunia Final Fantasy VII ini. Anda sudah tunggu selama 23 tahun jika anda bermain pada tahun sama dengan penulis. Jadi pada pendapat penulis, jangan tunggu lagi.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Penat den tunggu 23 tahun nak main ni.

Bagaimana pula jika anda tidak pernah bermain Final Fantasy VII? Adakah anda patut bermain game ini dan adakah anda tidak dapat menikmati keindahan game ini yang dicipta atas permintaan berjuta peminat di seluruh dunia? Pada pendapat penulis, anda patut bermain juga game ini kerana Square Enix benar-benar mencurahkan segala keringat untuk memastikan game ini boleh dinikmati oleh semua jenis pemain. Remake ini tetap bermula dari jalan cerita yang sama seperti dahulu jadi anda tidak ketinggalan apapun.

Mungkin anda tidak tahu apa yang akan berlaku seperti kami yang pernah bermain dahulu tetapi percayalah, anda tetap akan menikmati segala yang ada di dalam game ini. Cuma penulis agak cemburu dengan anda kerana anda dapat menikmati segala yang indah dalam game ini tanpa menunggu selama penulis dan anda tidak tahu apa yang mungkin berlaku. Itulah yang bestnya.

FINAL FANTASY VII REMAKE
Penulis nak cari jodoh macam Aerith. Positif dan baik hati. Ada tak?

Pastikan anda bagitahu kawan-kawan anda yang pernah bermain Final Fantasy VII dan juga versi remake untuk senyap dan tiada spoiler. Siapa spoil putus kawan terus.

+ Grafik sangat cantik dan detail
+ Karakter yang hidup dan unik
+ Jalan cerita tidak meleret dan penuh emosi
+ Muzik sentiasa menyentuh perasaan dan tepat dengan suasana
+ Sistem battle penuh aksi dan taktikal
+ Sesuai untuk yang pernah main atau pemain baru
+ Hampir tiada grinding untuk level up karakter

Kamera dalam battle yang kadang-kadang agak menjengkelkan
Jalan cerita pendek sehingga episod Midgar sahaja
Harga mahal untuk jalan cerita yang pendek berbanding versi original

JomKomen!