Empat keping gambar baharu yang diambil dari babak filem Uncharted telah dikongsikan oleh Sony Pictures.
Gambar-gambar ini terdiri daripada sekeping kunci berbentuk salib, kemudian kunci itu digunakan untuk membuka sebuah pintu yang kelihatan seperti digunakan oleh Nathan Drake (Tom Holland), beberapa harta karun di dalam ruang yang lapuk bersawang, serta paparan peta dunia lama.
Perkongsian gambar-gambar ini adalah bagi meraikan sambutan tahun baharu, yang mana kapsyen yang digunakan ialah “Tahun baharu. Pengembaraan baharu menanti.”
Ini merupakan kali kedua Sony Pictures menunjukkan gambar-gambar dari set filem ini, selepas pertama kali memaparkan Tom Holland berpenampilan Nathan Drake pada Oktober lalu.
Penggambaran filem ini telahpun tamat dan kini berada dalam fasa pasca-produksi. Kemungkinan besar kita bakal disajikan dengan trailer pertamanya tidak lama lagi.
Sebelum ini, Mark Wahlberg, yang memegang watak Sully, telah memperlihatkan baju Sully, serta misai yang cukup sinonim dengan karakter itu.
Filem Uncharted ini diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara arahan yang mengangkat nama Fleischer ialah filem Zombieland dan Venom. Ia dibintangi oleh Tom Holland sebagai Nathan Drake yang muda dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut menampilkan Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.
Filem ini dijadualkan akan ditayangkan pada Julai 2021.
Comments
Loading…