Filem Beyond Good & Evil Diumumkan Untuk Netflix, Pengarah Detective Pikachu

Laporan tentang siri anime Splinter Cell dengan kerjasama antara Ubisoft dan Netflix yang muncul semalam masih belum disahkan secara rasmi.

Walau bagaimanapun, sehari selepas laporan itu muncul, Ubisoft dan Netflix telah mengesahkan pula projek bersama yang lain. Projek kali ini ialah filem adaptasi video game Beyond Good & Evil dari Ubisoft yang bakal tiba ke Netflix, lapor The Hollywood Reporter.

Filem ini akan diarahkan oleh Rob Letterman, iaitu pengarah sama yang menghidupkan filem Pokemon Detective Pikachu. Malah, visualnya juga adalah seumpama filem Detective Pikachu yang dibintangi Ryan Reynolds itu — iaitu sebuah filem hibrid yang menggabungkan antara visual live-action dan animasi.

Buat masa ini, filem ini masih lagi dalam pembangunan awal dan sedang mencari penulis untuk menjayakannya. Semestinya, tarikh tayangan masih belum diumumkan.

Beyond Good & Evil mengambil latar belakang pada kurun ke-25 di sebuah planet perlombongan asing yang sedang diserang oleh makhluk asing. Seorang jurugambar muda, bernama Jade, telah direkrut untuk menjadi ahli dalam gerakan penentangan bawah tanah.

JomKomen!