in , , , , , ,

FIFA Akan Lancarkan Game Bola Sepak Sendiri Untuk Menyaingi EA Sports FC, Dibangunkan Studio Lain

EA telahpun mengumumkan berita yang dijangka ramai, iaitu perpisahan antara game bola sepak keluaran EA Sports dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

EA akan menggunakan jenama FIFA dalam game bola sepak mereka buat kali terakhir pada tahun ini, dan bermula tahun hadapan, game bola sepak mereka akan dikenali sebagai EA Sports FC.

Sejurus EA mendedahkan pengumuman ini, pihak FIFA juga telah memberi respon.

FIFA berkata perpisahan daripada EA membenarkan mereka untuk melancarkan beberapa game bola sepak yang dibangunkan oleh studio-studio dan penerbit-penerbit pihak ketiga, lapor VGC.

FIFA menyatakan yang mereka akan “menyediakan lebih banyak pilihan kepada para peminat bola sepak dan gaming” mengjelang Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Dunia Wanita Australia & New Zealand 2023.

Menurut FIFA lagi, beberapa perbincangan sedang berjalan ketika ini dengan “peneraju penerbit-penerbit game, syarikat-syarikat media dan pelabur-pelabur” untuk pembangunan sebuah game simulasi bola sepak untuk tahun 2024, di mana ia tentunya bakal bersaing secara langsung dengan EA Sports FC.

Sebelum melancarkan game “utama” tersebut, FIFA juga kini sedang membangunkan dan merancang untuk mengeluarkan beberapa game “bukan simulasi” lain sekitar suku ketiga tahun ini, yang mana salah satu daripadanya digambarkan sebagai “pengalaman gaming yang sesuai” menampilkan Piala Dunia Qatar 2022.

Dalam satu nada yang agak keras, Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan yang hanya game-game yang membawa lesen rasmi mereka akan dikira sebagai game bola sepak “sebenar”.

“Saya boleh jamin bahawa satu-satunya game yang asli, sebenar yang memiliki nama FIFA adalah yang terbaik untuk para gamer dan peminat bola sepak,” ujar Infantino.

“Hanya judul FIFA merupakan game global, asli. FIFA 23, FIFA 24, FIFA 25, dan FIFA 26 dan seterusnya — yang tetap adalah nama FIFA dan ia akan kekal selamanya dan kekal yang terbaik.”

Menarik untuk kita nantikan studio dan penerbit manakah yang bakal ditugaskan oleh FIFA untuk membangunkan game bola sepak utama baharu mereka selepas hampir 30 tahun bekerjasama dengan EA Sports.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Rasmi: EA Akan Guna ‘EA Sports FC’ Bermula Tahun Depan, ‘FIFA’ Terakhir Tahun Ini

Ubisoft Masih Jadualkan Avatar, Roller Champions, Mario + Rabbids 2, Skull & Bones Dilancarkan Sebelum April 2023