Setelah hampir 3 dekad menjalin kerjasama, Electronic Arts (EA) dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan membawa haluan masing-masing.
EA telahpun mengumumkan EA Sports FC — iaitu game bola sepak mereka pada tahun hadapan, manakala FIFA masih lagi dalam pencarian studio manakah yang akan diberikan tugas untuk terus menyalakan obor game “FIFA”.
Jadi, apakah game terakhir FIFA yang dibangunkan EA ini mampu menjadi penutup yang manis kepada sejarah panjang francais game ini?
Formula Sama
Apabila bercakap soal game yang dikeluarkan pada setiap tahun, kita tidak akan dapat lari daripada membicarakan tentang hakikat bahawa game yang yang dikeluarkan pada tahun ini terasa sama sahaja seperti game yang dilancarkan tahun lalu.
Untuk FIFA 23, secara keseluruhan, EA Sports masih lagi menggunakan formula yang sama sepertimana yang mereka guna saban tahun, iaitu hanya membawakan beberapa perubahan kecil jika dibandingkan dengan FIFA 22.
Dan formula ini bukanlah sesuatu yang salah. Sebaliknya, ia sebenarnya satu formula yang tepat untuk genre game bola sepak seumpama ini.
Ungkapan yang selalu kita dengar — “Benda sama je FIFA tahun ini dengan FIFA tahun lepas” — mungkin kedengaran seperti suatu kecaman. Tetapi, bagi aku, FIFA yang “sama” pada setiap tahun adalah sesuatu yang baik sebenarnya.
Hal ini kerana aku sudah merasai trauma tersendiri sebagai peminat setia Pro Evolution Soccer (PES). Melalui sendiri apa yang dilakukan Konami terhadap siri PES — iaitu menukar terlalu banyak elemen, termasuk identiti dan legasinya, dalam tahun yang sama — membuatkan aku bersyukur EA masih menggunakan formula yang sama.
Set Pieces Beri Lebih Kebebasan

Macam yang aku katakan tadi, FIFA 23 masih mengekalkan sebahagian besar gameplay di atas padang yang sama seperti tahun lalu, namun masih terdapat beberapa perubahan yang dapat dirasai dengan ketara.
Perubahan yang paling aku gemari adalah mekanik set pieces. Sepakan penalti, sepakan percuma (free kick) dan sepakan sudut (corner kick) telah mendapat nafas baharu dalam FIFA 23.
Perubahan ini tidaklah terlalu mengejutkan atau terlalu “wow”. Tetapi ia merupakan perubahan yang signifikan kerana memberikan kebebasan kepada para pemain untuk melakukan set pieces yang diingini.
Ia mudah difahami. Dan apabila sudah faham bagaimana mekanik baharu ini berfungsi, kepelbagaian taktik set pieces akan mampu diterjemahkan. Contohnya, untuk corner kick, kita lebih mudah melakukan sepakan ke arah far post, near post, bola lencong ke dalam atau ke luar.
Malah sepakan leret ke kotak D juga mudah untuk dilakukan — yang mana ia sesuatu yang agak sukar dilakukan dalam FIFA 22.
Seni Bertahan Lebih Puas

Macam yang aku pernah sebutkan semasa preview FIFA 23 yang aku cuba dua bulan lepas, aku sukakan sedikit pembaharuan yang dibawakan dalam gameplay bertahan.
Gameplay bertahan terasa lebih susah untuk dikawal — dan ini adalah sesuatu yang aku amat hargai.
Mekanik jockey terasa lebih payah untuk dikawal mengikut kehendak kerana ia seolah-olah seperti mengurangkan jarak dan “ketat” antara pemain yang sedang kita kawal ketika bertahan dengan pemain lawan. Bahkan, aku menggunakan beberapa defender yang memiliki rating yang tinggi pun terasa cukup susah untuk melakukannya dengan kemas.
Bukanlah bermakna mekanik jockey itu terlalu sukar untuk dilakukan. Ia boleh dibuat tapi tak begitu mudah seperti FIFA 22 yang betul-betul “ketat” apabila melakukan marking terhadap pemain lawan.
Penambahan kesukaran ini sememangnya aku sangat alu-alukan kerana semakin sukar gameplay pertahanan itu, semakin puas apabila kita dah benar-benar memahirkannya kelak.
Bercakap soal pertahanan lagi, satu lagi perkara yang amat penting, iaitu bentesan (sliding tackle) juga terasa lebih diperkemas dalam FIFA 23. Setiap bentesan itu terasa lebih mudah untuk diarahkan ke tempat yang ingin disauk, seterusnya membuatkan setiap bentesan itu terasa lebih unik, tepat dan puas.
Cross-Play Separuh Masak

Antara ciri baharu terbesar yang ditampilkan ke dalam FIFA 23 adalah fungsi cross-play. Walaupun penambahan ini dialu-alukan, namun apa yang aku boleh simpulkan adalah ia sebenarnya separuh masak.
Pertamanya, fungsi cross-play ini hanya dibawakan ke dalam mode-mode 1v1 sahaja. Maksusdnya, cross-play hanya terpakai dalam mode Ultimate Team, Online Seasons, dan Online Friendlies, manakala mode-mode seperti Pro Clubs, Volta dan 2v2 Co-op tidak akan menampilkan fungsi cross-play.
EA pernah berkata sebelum ini bahawa mereka mahu inovasi produk mereka disajikan dengan berkualiti, dan disebabkan kerumitan teknikal untuk menampilkan fungsi cross-play, mode seperti Pro Clubs tidak akan mempunyai fungsi tersebut buat masa ini.
Keduanya, cross-play ini hanya akan dihimpunkan ke dalam generasi platform masing-masing. Bermakna, para pemain PS5-Xbox Series-PC akan boleh bermain cross-play bersama, manakala pemain PS4-Xbox One pula dalam satu himpunan cross-play yang berbeza.
Dalam kata lain, pemain dalam himpunan yang berbeza tidak akan dapat cross-play bersama, contohnya antara pemain PS4 dengan PS5 atau Xbox One dengan Xbox Series.
Cross-play sepenuhnya tidak dapat dijalankan kerana gameplay yang disajikan dalam versi generasi terkini dengan generasi terdahulu adalah berbeza. Sama seperti FIFA 22, terdapat beberapa ciri gameplay yang hanya eksklusif untuk platform generasi terkini.
Ruang Bernafas Untuk Pro Clubs
Sebagai seorang pemain Pro Clubs sepenuh masa (boooo Ultimate Team), aku lebih gemar untuk mengulas mode ini.
Secara keseluruhan, sememangnya terlalu banyak elemen dan ciri yang aku mahu EA masukkan ke dalam Pro Clubs, tapi masih tiada dalam FIFA 23. Namun, aku merasakan tahun ini mungkin FIFA yang paling banyak mendapat pembaharuan untuk Pro Clubs, walaupun aku masih rasa terlalu sikit.
Masih tiada cross-play. Masih tiada pertukaran pemain semasa dalam game. Masih tiada sokongan kejohanan rasmi. Dan banyak lagi yang masih tiada.
Tapi ada beberapa penambahan yang boleh diraikan.
Penggabungan Pro Clubs dan Volta ke dalam satu ekosistem karakter yang sama boleh dikatakan agak menarik. Sementara menunggu rakan-rakan Pro Clubs yang lebih ramai online, 2-3 pemain yang sedang menunggu boleh menikmati Volta terlebih dulu sambil menaikkan progression karakter yang sama.
Penambahan Skill Games ke dalam Pro Clubs juga bagus. Kita boleh membiasakan dan memperbaiki kesesuaian gameplay menggunakan karakter kita dalam Skill Games, sekaligus meningkatkan teknik kita sendiri dalam beberapa aspek.
Grafik Biasa-Biasa Saja

Apabila bercakap tentang grafik, pastinya tidak akan ada banyak perbezaan untuk sesebuah francais yang dikeluarkan pada setiap tahun.
Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, dan nampaknya keputusan saya ini sememangnya tepat sekali. Ya, ada penambahbaikan dari segi grafik secara keseluruhannya, namun tiada apa yang mengejutkan.
Animasi dan tekstur wajah pemain kelihatan lebih baik. Atmosfera stadium ketika perlawanan sedang berlangsung juga ada terasa sedikit penambahbaikan. Penampakan kesan tackle ke atas padang juga memberi nilat tambah kepada grafiknya.
Tapi setakat itu sajalah. Tiada apa boleh dibanggakan.
Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Secara tuntas, FIFA 23 boleh disimpulkan sebagai sebuah game yang terus mengekalkan legasinya, dalam masa sama memberikan kandungan baharu yang cukup banyak.
Dengan adanya teknologi HyperMotion2, kelab-kelab bola sepak wanita, DLC Piala Dunia yang akan ditambah kelak, kerjasama siri tv Ted Lasso dengan Apple TV+, dan banyak lagi — tidak dapat disangkal lagi bahawa FIFA 23 merupakan game dalam siri ini yang membawakan kandungan paling banyak.
Memandangkan FIFA 23 merupakan game terakhir kerjasama antara EA dan FIFA, para peminat pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan game ini. Ia semestinya BOLEH BELI.
Namun, kalau korang mencari sesuatu kelainan yang terlalu ketara dalam siri FIFA kali ini, korang takkan menemuinya. Ia pastinya BOLEH BLAH.
+ Mengekalkan legasinya
+ Set Pieces lebih baik
+ Bertahan lebih puas
+ Gabungan Pro Clubs, Volta
– Cross-play separuh masak
– Server tak stabil semasa pelancaran
Comments
Loading…