in , , , ,

FIFA 22: Ultimate Team Masih Ada Loot Box, Tapi Boleh Lihat Dulu Item Dalam Pek Sebelum Beli

Kalau korang masih ingat, FIFA 21 telahpun memperkenalkan pek previu dalam mode Ultimate Team pada Jun lalu.

Setelah mencubanya untuk beberapa bulan, EA nampaknya akan mula menggunakan terus sistem baharu itu untuk FIFA 22 dalam mode yang penuh kontroversi itu.

Secara ringkasnya, Premium Gold Pack dan Premium Silver Pack akan menawarkan pek previu, di mana pemain dibenarkan melihat apakah item-item yang ada dalam pek tersebut sebelum membelinya, lapor Eurogamer.

Selepas melihat dan kemudiannya berminat, pemain diberikan pilihan sama ada ingin membelinya menggunakan FUT Coins (matawang maya yang dikumpul menerusi gameplay) atau FIFA Points (matawang yang dibeli menggunakan wang sebenar).

Sekiranya tidak berminat untuk membeli pek itu setelah melakukan previu, satu pemasa (timer) akan berjalan selama 24 jam. Hanya selepas pemasa ini tamat, barulah kita dibenarkan melakukan previu untuk pek seterusnya. Dalam kata lain, setiap hari, pemain hanya boleh previu satu pek sahaja.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak sanggup menunggu selama 24 jam, ada juga pek yang tidak boleh dipreviu dan boleh dibuka/dibeli pada bila-bila masa.

Langkah EA memperkenalkan pek previu ini disebabkan banyak pihak telah menyamakan sistem loot box dalam Ultimate Team ini dengan satu bentuk perjudian. Apa tidaknya, membeli sesuatu yang si pembelinya tidak tahu apa kandungan di dalamnya, serta membawakan unsur rawak, tentunya sama seperti satu aktiviti judi.

FIFA 22 akan dilancarkan pada 1 Oktober untuk PC (Origin, Steam), PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series dan Stadia.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Walaupun eFootball 2022 Adalah Game Percuma, Konami Jual Pek Premium Harga RM169

Belum Lagi Dilancarkan, PUBG: New State Melepasi 40 Juta Pra-Pendaftaran