in , , , , ,

FIFA 22 Memperkenalkan Volta Arcade – Main Bola Macam Tenis, Dodgeball, Banyak Lagi Party Games

Selepas berkongsikan pembaharuan yang akan dibawakan ke dalam Pro Clubs, Career Mode dan Ultimate Team, EA Sports mendedahkan pula apakah ciri-ciri baharu yang akan diperkenalkan dalam Volta.

Ciri pertama yang benar-benar menarik perhatian kami adalah Volta Arcade.

Volta Arcade akan membawa beberapa Party Games yang pastinya seronok untuk dimainkan bersama rakan-rakan melalui 2v2 atau 1v1v1v1. Antara Party Games yang ada ialah:

Dodgeball: Sama seperti bermain Dodgeball, cuma bezanya kita menggunakan kaki atau tendangan untuk menghapuskan pihak lawan di seberang. Kita harus menendang bola sehingga ia terkena pihak lawan — para pemain juga boleh mengelak untuk tidak terkena bola yang dihantar itu.

Foot Tennis: Peraturannya sudah tertera dalam namanya. Bermain tenis tapi menggunakan kaki. Hantarkan bola ke seberang gelanggang, sesiapa yang membiarkan bola tersentuh ke lantai sebanyak dua kali akan kalah.

Disco Lava: Ini pula umpama Splatoon. Apabila ada lantai yang berwarna putih, kita perlu menggelecek bola ke lantai itu untuk menguasai lantai tersebut sebelum digelecek/dikuasai oleh pemain lawan.

Quick Strike: Party Game ini pula seperti mini game yang selalu kita mainkan dalam Skill Games. Pemain akan dikelilingi banyak gol kecil dalam bulatan yang berputar. Gol akan bertukar-tukar warna, dan apabila ianya berwarna hijau, pemain perlu memasukkan bola ke dalamnya secepat mungkin sebelum ia kembali berwarna hitam.

Wall Ball Elimination: Ini pula boleh dikatakan seperti Skuash. Keempat-empat pemain akan bergilir-gilir menendang bola ke dinding. Giliran pemain mana yang menendang akan diketahui melalui nyalaan bulatan cahaya di bawah kaki. Bulatan cahaya ini juga menandakan masa sedang berjalan yang masih dimiliki pemain tersebut. Untuk menghentikan masa itu, dan menolak giliran ke pemain lain, pemain perlu menendang bola ke dinding. Lebih lama masa kita ambil untuk berlari ke arah bola untuk menendangnya semula ke dinding, lebih banyak masa yang akan dirugikan. Mana-mana pemain yang kehabisan masa terlebih dulu akan tersingkir.

Team Keepaway: Party Game ini sememangnya sesuai untuk latihan permainan possession. Dalam game 2v2 ini, ada satu trofi yang akan diletakkan secara rawak di dalam gelanggang. Setiap pasukan perlu membawa bola melalui trofi untuk terus meluaskan penguasaan gelanggang itu. Maka setiap pasukan perlu sentiasa memastikan bola berada dalam penguasaan untuk membawanya ke trofi itu seterusnya menidakkan penguasaan pasukan lawan.

Target Gallery: Party Game ini ada banyak persamaan dengan Quick Strike. Para pemain diletakkan dalam bulatan yang dikelilingi sasaran/lubang yang berputar/turun naik. Pemain yang menendang ke arah sasaran dan mengumpulkan mata tertinggi, akan dikira pemenang.

Corner Scramble: Setiap pemain akan mempunyai gol masing-masing di setiap penjuru. Pemain perlu menggelecek dan menendang masuk bola ke dalam gol masing-masing untuk mendapatkan mata — dalam masa sama menghalang pemain lawan melakukan perkara yang sama.

Dalam Volta Arcade, kita boleh squad bersama 3 rakan lain secara online atau juga bersama pemain lain yang tidak dikenali. Mainkan kejohanan yang menampilkan 4 Party Games yang disebutkan di atas secara rawak.

Menurut EA, lapan Party Games ini akan tersedia semasa pelancaran, dan bilangan ini akan bertambah pada waktu kemudian.

Satu ciri yang mungkin kurang menyenangkan adalah Volta Arcade hanya boleh dimainkan semasa hujung minggu. Mengapa tidak membenarkan saja ia dimainkan pada bila-bila masa, wahai EA?

FIFA 22 akan dilancarkan pada 1 Oktober untuk PC (Origin, Steam), PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series dan Stadia.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Black Myth: Wukong Kongsi 12 Minit Gameplay Baru, Paparkan Pelbagai Jenis Pertempuran Bos Mitos Cina

Aksi Gameplay Aloy Dari Horizon Zero Dawn Dalam Genshin Impact Diperlihat