in , , , , ,

FIFA 22: Boleh Beli or Boleh Blah!?

EA terus menjalankan bisnes siri game FIFA dengan berpegang kepada “kalau ia tidak rosak, mengapa perlu mengubahnya?”.

Itulah apa yang penulis boleh rumuskan terhadap setiap kali FIFA baharu keluar pada setiap tahun, termasuklah juga reviu FIFA 22 ini. Bukanlah bermakna FIFA 22 tidak menampilkan sebarang perubahan langsung, bahkan tahun ini banyak sebenarnya jika dibandingkan dengan beberapa tahun sudah.

Namun, disebabkan perubahan atau penambahbaikan itu tidaklah begitu ketara, membuatkan sesetengah peminat mempunyai stigma bahawa setiap kali FIFA baharu dikeluarkan, ia hanyalah salin dan tampal dari tahun sebelumnya.

Cukup-Cukup Rasa

Sekiranya kita tonton sahaja gameplay di atas padang FIFA 22, tentunya kita sukar untuk membezakannya dengan gameplay FIFA 21. Tetapi, ia sebenarnya membawakan penambahbaikan yang agak signifikan apabila tangan sudah mula memegang controller dan masuk ke dalam padang.

Tempo dan pergerakan pemain terasa lebih perlahan, membuatkan permainan terasa lebih tenang dan tidak terlalu pantas. Animasi menggelecek, membuat hantaran dan model fizikal pemain secara keluruhannya kelihatan lebih kemas.

Grafiknya juga ada penambahbaikan, lebih-lebih lagi apabila memainkannya dalam versi konsol generasi terkini — dalam kes penulis, PlayStation 5. Apatah lagi dengan pengenalan HyperMotion Technology, segala kelakuan dan sifat kemanusiaan para pemain di atas padang kelihatan amat realistik.

Perubahan terbesar tentunya datang dari prestasi penjaga gol. Setiap gerak-geri penjaga gawang itu nampak cukup hidup dengan setiap tangkapan, tepisan, tumbukan, sepakan dan terkaman yang dilakukan sentiasa kelihatan unik pada setiap satunya. Malah, situasi 1-lawan-1 berhadapan dengan penjaga gol juga sungguh sukar untuk menyudahkannya.

Pendapat Tidak Popular

Seperti yang penulis nyatakan di atas, gameplay FIFA 22 menampilkan perubahan yang agak signifikan, namun tidak terlalu ketara. Penulis ingin menyatakan satu pendapat tidak popular bahawa perubahan gameplay tidak ketara ini merupakan formula terbaik untuk kelangsungan sesebuah game bola sepak.

Perubahan yang kecil untuk sesebuah game bola sepak baharu adalah bagi memastikan golongan peminat setia ini tidak terasa asing, dalam masa sama terus mengekalkan identiti gameplay siri ini.

Penulis berani memperkatakan sebegini setelah mengalami dan melihat apa yang Konami telah lakukan kepada siri PES mereka. Bak kata pepatah orang putih, I learned the hard way.

EA tidak perlu menyajikan perubahan yang terlalu besar kerana gameplay sedia ada inilah yang membuatkan peminat tegar siri FIFA terus setia bersama siri ini. Penulis boleh katakan sedikit perubahan gameplay dengan kebanyakannya dikekalkan adalah satu sajian yang secukup rasa.

Kandungan Yang Diraikan

Apa sahaja kandungan yang ditambah, selagi ia tidak membuang atau menggantikan apa-apa kandungan lain, semestinya harus diraikan.

EA dalam FIFA 22 kali ini nampaknya telah membawakan bermacam kandungan baharu merentasi kesemua mode yang ada. Walaupun beberapa ciri baharu yang ada dalam satu mode ini, sebenarnya diambil dari mode yang lain, ia boleh diterima.

Misalnya apa yang EA tambah dalam mode Pro Clubs boleh dikatakan sebagai penambahan kandungan paling banyak dalam setahun sejak mode itu pertama kali diperkenalkan dalam FIFA 09.

Sebagai pemain Pro Clubs sepenuh masa, walaupun masih terlalu banyak ciri dan fungsi yang sepatutnya EA tambah ke dalam mode ini, FIFA 22 ini sekurangnya-kurang menampakkan yang EA semakin mengambil peduli tentang mode yang sering dianaktirikan oleh mereka sebelum ini.

Melalui kehadiran Drop In bersama rakan, penciptaan karakter wanita, sistem progression baharu, Perks, dan lebih banyak pilihan pengubahsuaian untuk pasukan — Pro Clubs tahun ini terasa seperti disuntik semangat yang berlainan.

Selain itu, mode-mode lain juga disajikan dengan pelbagai kandungan baharu. Contohnya, Volta menambah Volta Arcade yang membawakan banyak mini games seperti permainan seakan tenis, skuash, dodgeball dan lain-lain.

Career Mode pula menampilkan kandungan baharu seperti mencipta kelab sendiri, objektif perlawanan, babak sinematik baharu, dan banyak lagi.

Ketiadaan Cross-Play

EA merupakan antara syarikat penerbitan game terbesar dunia. Melalui sumber dan dana yang tentunya cukup, penulis tidak boleh terima FIFA 22 masih tidak menyediakan fungsi cross-play — sama ada merentasi jenama konsol (PlayStation-Xbox) atau merentasi generasi konsol (PS5-PS4).

Penulis telah mencuba kedua-dua FIFA 22 versi PS5 dan versi PS4. Sejujurnya, ya ada sedikit perbezaan dari segi animasi pemain dan grafik, namun tidak jauh beza. Dan tentunya tiada beza dari segi gameplay, membuatkan penulis bingung kenapa EA tidak mahu membenarkan cross-play.

Jawapannya pastinya mudah: EA mahu mengaut keuntungan lebih.

Macam dalam situasi penulis, penulis dalam dilema sama ada ingin membeli versi PS4, versi PS5 atau kedua-duanya sekali — walaupun penulis sudah memiliki konsol PS5. Hal ini kerana kesemua liga kompetitif Pro Clubs masih dipertandingkan dalam versi PS4.

Dual Entitlement

Ketiadaan fungsi cross-play ini membawa kita kepada satu masalah yang menjadi puncanya: iaitu Dual Entitlement.

Isu dilema untuk membeli versi konsol generasi yang mana tidak timbul pada tahun lalu untuk FIFA 21 kerana EA memberikan Dual Entitlement kepada semua edisi pembelian. Untuk FIFA 22, Dual Entitlement hanya disediakan kepada Ultimate Edition yang semestinya lebih mahal berbanding Standard Edition.

Sekali lagi, EA menunjukkan langkah yang tamak di sini.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Sekiranya korang adalah peminat tegar siri ini, tiada alasan untuk tidak mendapatkan FIFA 22. Membawakan pelbagai perubahan signifikan, sementara masih mengekalkan tradisinya, FIFA 22 sudah tentu adalah game BOLEH BELI.

Malah, pemain PES yang telah kecewa dengan tindakan Konami yang menjahanamkan game bola sepak mereka itu, turut boleh sama-sama BOLEH BELI dan berpindah ke FIFA pula.

Walau bagaimanapun, sekiranya korang mengharapkan FIFA tahun ini menampilkan satu perubahan yang begitu besar, sehingga ia terasa seperti sebuah game yang berbeza, ini semestinya BOLEH BLAH untuk korang.

+ Terus kekal identiti gameplay
+ Animasi, grafik lebih baik
+ Pengenalan HyperMotion Technology
+ Tambah kandungan dalam semua mode

– Ketiadaan cross-play
– EA masih tamak

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Battle Royale Mobile, Final Fantasy VII: The First Soldier Akan Dilancarkan Pada November

Epic Games Store Akhirnya Akan Lancarkan Ciri Achievements Minggu Depan