Walaupun game bola sepak keluaran EA Sports sentiasa dikatakan sebagai sebuah game yang menyajikan pengalaman menonton bola sepak paling realistik ini, dua ciri terkini daripada bola sepak sebenar ini tidak akan diperkenalkan.
EA Sports telah mengesahkan yang sistem ‘video assistant referee’ (VAR) dan atmosfera stadium kosong tanpa penyokong tidak akan ditampilkan ke dalam FIFA 21.
VAR semestinya telah menjadi salah satu kontroversi paling hangat dalam arena bola sepak Eropah pada musim lalu. Ramai mengatakan yang sistem ini telah merosakkan keindahan bola sepak itu sendiri yang sepatutnya penuh dengan drama-drama hangat yang mengejutkan.
Bercakap kepada GamesRadar, ketua penerbit gameplay, Sam Rivera menjelaskan, “sistem sedia ada tahu sama ada bentesan yang dilakukan adalah kesalahan ataupun tidak, jadi kami memutuskan untuk fokus kepada aspek yang kami rasakan lebih prioriti. Itu tidaklah bermakna yang ia tidak akan langsung tiba pada masa akan datang, tapi tiada perancangan untuk masukkannya ke dalam FIFA 21.”
Berbicara tentang stadium kosong pula, Rivera berkata, “kami mahu pastikan yang kami mengekspresikan bola sepak di tahap terbaiknya, paling asli. Bagi kami, yang terbaik itu adalah apabila para penyokong ada di dalam stadium kerana itulah segalanya tentang sukan ini.”
Pada pandangan kami, tidak memasukkan stadium yang kosong tanpa penyokong adalah satu keputusan yang tepat. Stadium kosong tentunya mengingatkan kita kepada dugaan yang kita semua hadapi ketika wabak pandemik. Itu kita tidak mahu.

FIFA 21 akan dilancarkan pada 9 Oktober 2020 untuk PC, PS4 dan Xbox One, serta akan dikeluarkan pula untuk PS5 dan Xbox Series apabila konsol itu dilancarkan pada hujung tahun ini.
Comments
Loading…