in

FIFA 21: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Siri game boleh sepak yang dikeluarkan pada setiap tahun bukan sahaja meletihkan para pembeli dan pemain, malah ia turut menepukan fikiran para penulis untuk mengeluarkan ulasan yang berbeza daripada tahun sebelumnya.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, ya FIFA 21 ada menawarkan perubahan gameplay dan penambahan kandungan, namun sukar sekali untuk merasai perbezaan yang ketara dengan siri pada tahun lalu.

Apakah FIFA 21 sebuah game yang Boleh Boleh or Boleh Blah!? Sama-sama kita ikuti ulasan ini.

Fokus Adalah Kunci

Sekiranya menonton sahaja gameplay FIFA 21, grafik dan animasi gerakan pemain sememangnya kelihatan sama sahaja seperti FIFA 20. Namun, apabila bermain, terdapat sedikit penambahbaikan yang penulis suka.

Secara keseluruhannya, langkah pergerakan (pace) kesemua pemain terasa lebih perlahan. Ia membuatkan terasa lebih realistik dan lebih menghiburkan kerana ia membuatkan setiap kesilapan akan lebih mudah dihukum oleh pihak lawan, terutamanya apabila pemain pertahanan yang melakukan kesilapan tersebut.

Sebagai seorang pemain yang gemar bermain di posisi pertahanan dalam Pro Clubs, penulis amat meraikan perubahan ini. Penulis lebih seronok bermain di posisi centre-back kerana penulis akan lebih fokus untuk sentiasa berada di tempat dan waktu yang tepat kerana apabila melakukan positioning yang tidak bagus, pemain lawan akan lebih mudah meloloskan diri. Disebabkan pace yang perlahan itu, pemain pertahanan sukar untuk mengejar semula pemain lawan yang sudah terlepas itu.

Dua lagi ciri baharu yang membuatkan bermain sebagai pemain pertahanan lebih menyeronokkan ialah apabila pengadil dalam FIFA 21 kali ini tidak lagi meniup wisel foul sekerap seperti dalam FIFA 20, dan sistem perlanggaran antara pemain (collisions) yang lebih baik — kedua-dua ciri baharu ini saling melengkapi.

Melalui sistem perlanggaran yang lebih mantap serta pengadil yang jarang meniup wisel foul tidak tentu hala, permainan di atas padang, pergelutan antara pemain bertambah keras dan lasak. Merampas bola dari pemain lawan terasa cukup mengasyikkan, dan berbalas-balas fizikal dengan lawan terasa lebih memberikan kepuasan.

Lebih Memuaskan

Trailer Gameplay Pertama FIFA 21 Diperlihat - Memperkenal Agile Dribbling, Creative Runs

Mekanisme membuat hantaran (passing) juga boleh dikatakan ditambahbaik, walaupun tidaklah terlalu ketara. Yang pasti, ianya lebih memuaskan berbanding tahun lalu.

Hantaran yang dilakukan boleh dikatakan bertambah realistik kerana momen-momen randomness ketika membuat hantaran yang ada dalam sesebuah perlawanan bola sepak itu direka dengan cukup baik ke dalam game ini. Kita tidak akan sentiasa berjaya untuk lakukan hantaran yang cantik seperti yang kita hajatkan — ada saja kesilapan yang dilakukan, namun ia masih lagi dalam lingkungan yang logik, sama seperti yang dilakukan oleh para pemain bola sepak sebenar.

Interactive Match Sim

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, satu penambahan utama dalam Career Mode FIFA 21 ialah pengenalan Interactive Match Sim. Ia merupakan salah satu cara baharu untuk bermain sesebuah perlawanan dalam Career Mode — memaparkan gameplay perlawanan di atas padang, tetapi hanya kelihatan para pemain yang berbentuk ikon bulat dan gameplay dimainkan dengan dua kali ganda lebih pantas.

Macam biasa dengar elemen ini? Ya, satu ciri yang diinspirasikan daripada siri Football Managaer.

Interactive Match Sim sememangnya satu penambahan yang bagus. Dalam siri sebelum ini, Career Mode hanya menawarkan dua cara untuk menghabiskan perlawanan, sama ada main seperti biasa (kita kawal sendiri), atau Quick Sim (kita mulakan perlawanan, ia terus tamat dan memaparkan keputusan).

Kelemahan bermain seperti biasa ialah ia mengambil masa yang terlalu lama untuk dihabiskan — tidak sesuai untuk Career Mode, iaitu satu mode yang memerlukan kita melaburkan masa yang amat lama untuk benar-benar menikmatinya. Kelemahan Quick Sim pula ialah kita tidak mendapat peluang untuk bermain sebagai pengurus untuk menukar taktik semasa dalam perlawanan.

Apa yang mengagumkan tentang Interactive Match Sim ini ialah kita boleh bila-bila masa sahaja bertukar kepada gameplay biasa FIFA untuk mengambil-alih. Misalnya, apabila mendapat sepakan penalti atau sepakan percuma, kita boleh mengambilnya sendiri tanpa hanya melihat sahaja pemain AI (ikon-ikon bulat) melakukannya. Selepas mengambilnya, kita boleh kembali kepada paparan Interactive Match Sim — satu elemen seumpama menggabungkan gameplay FIFA dan pengurusan Football Manager.

Masih Sama

Trailer Gameplay Pertama FIFA 21 Diperlihat - Memperkenal Agile Dribbling, Creative Runs

Selain penambahan yang penulis sebutkan di atas, FIFA 21 masih lagi sebuah game yang sama seperti tahun sebelumnya. EA Sports mempromosikan itu dan ini dalam bermacam iklannya, namun hakikat pahit yang perlu ditelan ialah ia sebenarnya sebuah game yang serupa dengan hanya perubahan yang tidak menampakkan sebuah game baharu.

Ya, Ultimate Team (FUT) ada menambah mode co-op, tetapi itu sahajalah. Ia masih lagi sebuah mode yang mengangkat unsur pay-to-win. Pemain yang berbelanja sahaja akan mendapat pemain yang bagus, tidak setimpal dengan pemain tidak berbelanja lain, walau sebanyak mana pemain itu grind. Itu belum disebut pula elemen perjudian yang ada dalam mode ini.

Ya, Pro Clubs ada menambah keupayaan untuk mengubahsuai nama dan penampilan pemain AI. Pertama, ia hanyalah kosmetik — menukar nama, rambut, warna kulit, but, stokin — tidak memberikan kesan kepada gameplay sama sekali. Kedua, Pro Clubs adalah mode yang memfokuskan permainan 11v11 antara pemain sebenar — apa ke hal kita nak ambil peduli tentang penampilan AI?!

Relevankah?

Memasuki tahun kedua penampilannya, penulis ingin tanya satu soalan sahaja — masih relevenkah mode Volta Football ini?

Tambah sikit jalan cerita, tambah sikit kostum, tambah sikit legenda, tambah sikit arena — itu sahaja. Penulis tidak tertarik langsung dengan gameplay Volta ini. Ia hanyalah gameplay yang sama seperti di atas padang besar, yang berbeza hanyalah kawasan bermain yang jauh lebih kecil.

Penulis sehingga kini masih musykil mengapa EA Sports benar-benar ingin mengangkat Volta. Ia langsung tidak mengembalikan aura bermain FIFA Street yang pada suatu ketika dahulu jauh lebih seronok dimainkan berbanding Volta.

EA Sports hanya membazirkan sumber yang mereka ada untuk membangunkan mode ini, yang pada hemat penulis lebih baik digunakan sumber itu kepada sesuatu yang lebih penting — contohnya membangunkan dan mempromosikan Pro Clubs dalam skala yang lebih besar.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

FIFA 21: Boleh Beli or Boleh Blah!?
FIFA 21 Match Day Live 0-0 PSG V INT, 1st Half

Sejujurnya, penulis dan ramai lagi pemain di luar sana sudah letih dengan keluaran game bola sepak setiap tahun, tetapi menyajikan benda yang sama. Ini jujur daripada seorang peminat bola sepak sebenar dan peminat game bola sepak.

Namun, untuk memenuhi keperluan harian penulis sebagai peminat tegar bola sepak, penulis terpaksa juga bermain FIFA 21 setiap hari serta membelinya pada setiap tahun. Satu loop dan perangkap yang tidak dapat dileraikan, dan EA Sports akan terus selesa dengan model bisnes mereka ini untuk satu jangka waktu yang sangat lama lagi.

FIFA 21 BOLEH BELI untuk korang yang ingin merasakan gameplay di atas padang sedikit lebih baik berbanding tahun lalu, namun sekiranya korang ingin membeli sebuah game yang mempunyai elemen yang mendefinisikan ia adalah sebuah yang berbeza dengan tahun sebelumnya, FIFA 21 BOLEH BLAH.

+ Hantaran memuaskan
+ Langkah pergerakan lebih perlahan
+ Pengadil jarang tiup wisel
+ Sistem perlanggaran lebih baik
+ Kehadiran Interactive Match Sim

– Tiada kandungan baharu ketara
– FUT masih lagi pay-to-win
– Membazirkan sumber kepada Volta

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Sony Jangkakan Jualan PS5 Akan Lebih Tinggi Berbanding PS4 Dalam Tempoh Tahun Fiskal Pertama

Sony Jangkakan Jualan PS5 Akan Lebih Tinggi Berbanding PS4 Dalam Tempoh Tahun Fiskal Pertama

Poster Baru Filem Monster Hunter Memperlihatkan Milla Jovovich, Tony Jaa Dengan Senjata Masing-Masing

Filem Monster Hunter Memperlihatkan Rathalos Dan Diablos Dalam Video Terbaru