Game terbaru dalam siri game bola sepak paling popular di dunia, FIFA 20 telahpun dilancarkan sepenuhnya pada 27 September lalu.

EA Sports pada tahun ini, sama seperti tahun-tahun sudah, telah menggunapakai strategi tradisional mereka — mengekalkan DNA siri game FIFA yang dibentuk saban tahun, sambil membawakan kandungan-kandungan baharu yang kelihatan sedap dipromosikan di ruang-ruang iklan.

Tanpa melengah masa, jom kita ikuti reviu ini, FIFA 20: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Gameplay Lebih Memuaskan

Secara keseluruhan, FIFA 20 tidaklah mempunyai gameplay yang terlalu ketara dengan siri game sebelumnya. Namun, sekiranya korang seorang yang cukup mengenali FIFA, pasti korang akan merasa beberapa kelainan yang positif.

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, untuk gameplay di atas padang, FIFA 20 menyajikan sesuatu yang terbaik pernah penulis mainkan dalam siri game ini. Perbezaan yang paling signifikan ialah bagaimana EA Sports memperlahankan sedikit tempo dan kelajuan pergerakan para pemain.

Pergerakan pemain apabila melakukan hantaran, sepakan, menggelecek dan cubaan untuk melepasi para pemain tanpa bola (off-ball) terasa lebih kemas dan kurang kelam-kabut seperti siri-siri sebelum ini yang terasa terlalu pantas dan memeningkan. Ini sekaligus mengurangkan elemen-elemen ‘tidak logik’ yang sering berlaku dalam FIFA disebabkan pergerakan pemain yang terlalu deras.

Unsur Realistik

Dalam apa jua game bola sepak pun yang dikeluarkan pada setiap tahun, pastinya ia mahu menjadi sebuah game yang lebih realistik berbanding tahun sebelumnya. Dan penulis berani katakan bahawa EA Sports berjaya melakukannya dengan baik sekali untuk tahun ini.

Setiap keputusan untuk membuat hantaran, rembatan, gelecekan, tandukan, dan terjahan harus diputuskan berdasarkan elemen realistik yang mesti sentiasa difikirkan dalam fikiran. Misalnya, untuk melakukan rembatan ke arah gol, pemain harus memikirkan stamina, posisi badan, keseimbangan badan, kaki kanan atau kiri yang ingin disepak — semua ini menjadi resepi penting untuk melakukan satu rembatan yang boleh diterjemahkan ke satu jaringan, atau sekurang-kurangnya berbahaya.

Gameplay FIFA 20 dipuaskan lagi dengan keupayaan penjaga gol yang lebih bijak. FIFA 20 membuatkan para pemain lebih sukar untuk menjaringkan gol, lebih-lebih lagi dalam situasi 1-lawan-1. Penulis memerlukan masa yang lebih lama untuk mencari teknik terbaik untuk menyudahkan situasi 1-lawan-1 disebabkan kemampuan penjaga gol yang lebih sukar untuk ditewaskan.

Volta Football

Dari segi model bisnes, Volta Football boleh dikatakan sebagai pengganti kepada trilogi The Journey yang dimulakan dalam FIFA 17, dan ditamatkan penceritaannya dalam FIFA 19.

Semestinya, ramai yang sudah mengetahui apa itu Volta Football. Senang cerita, mode ini telah menghidupkan semula siri FIFA Street yang mana kali terakhir EA Sports membawakannya pada tahun 2012. Ia sebuah mode yang menyajikan gameplay bola sepak jalanan — memudahkan pemain untuk melakukan skil-skil freestyle, dalam perlawanan sama ada 3v3, 4v4 atau 5v5.

Sama seperti The Journey, Volta turut membawakan penceritaan (story) yang boleh dihayati oleh pemain. Secara asasnya, ia mengisahkan seorang pemain bola sepak jalanan yang datang ke pemilihan sebuah pasukan. Pasukan ini dibentuk untuk berlatih, menyertai dan cuba memenangi sebuah pertandingan yang dipenuhi dengan pasukan bola sepak jalanan yang lebih hebat. Story dalam Volta ini, bagi penulis, agak kurang menarik. Story-nya seolah-olah dijadikan ‘cukup syarat’ sahaja ditampilkan ke dalam Volta.

Secara peribadi, penulis tidaklah terlalu tertarik dengan penampilan Volta ini kerana secara umumnya penulis sendiri kurang gemar dan cepat merasa bosan dengan permainan yang berskala lebih kecil seperti ini.

Namun, bagi yang meminati perlawanan bola sepak seumpama futsal, sememangnya apa yang disajikan oleh EA Sports dalam Volta adalah cukup menarik. Gameplay di dalam gelanggang rasa mantap, boleh bermain dengan pemain-pemain dan kelab-kelab bola sepak ternama serta menyediakan arena yang bermacam.

Walau apa jua kata para peminat, apa-apa kandungan baharu yang dibawakan seharusnya dialu-alukan, dan seharusnya penampilan Volta Football perlu disambut baik.

Pro Club

Sebagai seorang peminat tegar mode Pro Club, pastinya penulis tidak mahu ketinggalan dalam mengulas apakah pembaharuan yang dibawakan ke dalam mode 11v11 sebelum ini.

Walaupun tidak banyak, EA Sports ada menampilkan beberapa penambahbaikan dalam Pro Club. Antaranya seperti menyediakan Play Style kepada lima slot, memperbaharui menu dan opsyen pengubahsuaian penampilan pemain, pemilihan jersi sebelum perlawanan dan membawakan semula Practice Mode (berlawan dengan AI sepenuhnya).

Ini semua pembaharuan yang dinyatakan sendiri oleh EA Sports. Namun ada dua ciri baru yang mengubah gameplay di atas padang yang mungkin ramai tidak perasan.

Pertama, Pro Club kini lebih menghukum stamina pemain dengan lebih “kejam”. Dalam kata mudah, stamina para pemain kini lebih cepat kehabisan berbanding Pro Club dalam FIFA 19. Ini satu penambahbaikan yang amat dialukan kerana ia akan menghindarkan pemain daripada terus berlari tanpa henti dari satu hujung posisi ke hujung yang lain — sekaligus mengurangkan keadaan huru-hara di atas padang disebabkan pemain kini akan lebih berhati-hati untuk menekan butang lari.

Kedua, gameplay Pro Club dicantikkan lagi dengan sistem rating dalam perlawanan yang ditambahbaik, sesuatu yang penulis harus puji. Rating dalam perlawanan kini lebih memberikan ganjaran kepada para pemain pertahanan dan pemain tengah bertahan (defensive midfielder) kerana setiap terjahan (tackle) yang berjaya, pintasan (interception), clear ball dan lain-lain tindakan bertahan, semuanya akan dianugerahkan dengan penambahan rating yang setimpal.

Berbeza dengan tahun lalu, pemain pertahanan Pro Club dalam FIFA 20 yang benar-benar bagus dalam sesuatu perlawanan, lebih mudah untuk mendapat ‘Man of the Match’ — suatu penambahbaikan yang sangat bagus di kala dunia bola sepak sebenar yang lebih memandang tinggi pemain penyerang berbanding pemain pertahanan yang jarang dihargai.

Malapetaka Career Mode

Sesiapa yang mengikuti rapat berita tentang atau sudah merasainya sendiri, pasti sudah tahu apa yang terjadi dalam Career Mode FIFA 20.

Sejak sekian lama, Career Mode merupakan antara mode yang menaikkan siri game FIFA hingga ke tahap ini. Walaupun tidak sepopular Ultimate Team, tetapi Career Mode mempunyai peminat setianya yang besar.

Pada ketika ini, malapetaka yang cukup besar sedang menghantui Career Mode. Mode tersebut sedang dibanjiri dengan glitch dan masalah yang merencatkan permainan mode ini sama sekali.

Sukar untuk dinyatakan isu yang sedang dialami mode ini, kerana glitch yang muncul adalah terlalu banyak sehinggakan timbul glitch-glitch yang tidak masuk akal. Antaranya seperti senarai pemain yang tidak mengikut senarai pemain senior (menyenaraikan pemain simpanan yang kurang dikenali), dialog dalam sidang media yang merepek, semusim liga yang bermain lebih daripada 75 game, dan banyak lagilah.

Para pemain sudah mula berang dan mengamuk dengan isu yang tidak pernah terjadi ini. Ramai yang menzahirkan kekecewaan sehingga ada yang sudah mula bertindak untuk mendapatkan pemulangan wang semula (refund). Malah, gerakan #FixCareerMode juga telah dilancarkan.

Pembangun EA Sports sudahpun memberikan respon kepada isu ini. Kata Ketua Francais Global, Corey Andress, mereka telahpun mengenalpasti apakah masalah tersebut, walau bagaimanapun, mereka menyatakan yang kemaskini tidak mungkin dapat dikeluarkan dalam masa terdekat.

Hal ini kerana Career Mode merupakan client-based (offline), maka mereka memerlukan patch, dan setiap patch memerlukan banyak proses yang perlu dilalui terlebih dahulu sebelum dibenarkan dikeluarkan kepada pemain.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Sekiranya tanpa bencana yang melanda Career Mode serta Ultimate Team yang masih kekal sebagai mode memerah wang para pemain, FIFA 20 boleh dikelaskan sebagai antara yang terbaik dalam siri ini sejak beberapa tahun belakangan. Melalui kehadiran Volta Football serta gameplay di atas padang yang lebih memuaskan, semestinya ia sebuah game yang seronok untuk dinikmati.

+ Tempo gameplay semakin perlahan
+ Pergerakan pemain lebih kemas
+ Ciri pemain lebih realistik
+ Penjaga gol lebih bijak
+ Lebih banyak pilihan dengan Volta
+ Pro Club lebih menghargai pemain pertahanan

Story Volta kurang menarik
Malapetaka Career Mode
Ultimate Team masih lagi memerah wang

1 komen

JomKomen!